Saturday, December 27, 2008

Serangan Israel



Semalam Israel melancarkan kira-kira 30 peluru berpandu melalui pesawat pejuang semalam, mengakibatkan kira-kira lebih 155 terbunuh manakala lebih 300 lagi cedera.

30 peluru berpandu itu sisasarkan ke arah kedudukan ibu pejabat polis Hamas di Genting Gaza.

Serangan besar-besaran yang bermula pada pukul 11.30 pagi (5.30 petang waktu Malaysia).

Ia memusnahkan ibu pejabat serta beberapa pekarangan polis Hamas dan menyebabkan kerosakan teruk kepada bangunan lain.

Mangsa yang terkorban termasuk 120 di bandar ini dan 23 lagi di Khan Younis dan Rafah, lapor Al Jazeera dengan memetik kenyataan ketua perkhidmatan ambulans di Gaza.
Antara yang terbunuh ialah ketua polis Gaza, Mejar Jeneral Tawfiq Jabber.

Sejurus selepas serangan itu, Hamas dan puak-puak Palestin lain mengisytiharkan, mereka telah mengarahkan pejuang masing-masing supaya menuntut bela terhadap keganasan rejim Yahudi itu.

"Semua pejuang diarah bertindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel," menurut kenyataan Hamas, Jihad Islam dan puak bersenjata lain yang dipetik daripada agensi berita.

"Hamas akan terus mempertahankan diri sehingga ke titisan darah terakhir," kata jurucakapnya, Fawzi Barhoum.

Stesen televisyen menunjukkan beberapa hospital di Gaza sesak dengan orang ramai yang menghantar mangsa dengan menggunakan kereta, van dan ambulans.

"Kami merawat pesakit di atas lantai atau di laluan pejalan kaki (kerana tidak cukup ruang). Kami tidak tahu identiti mereka tetapi apa yang penting ialah untuk memberikan rawatan segera," kata seorang doktor.

Tentera Israel mengesahkan mereka melancarkan serangan tersebut, yang menyusuli keputusan Kabinet keselamatan Perdana Menteri, Ehud Olmert untuk memperhebatkan tindakan balas ke atas pejuang Palestin.

Sementara itu Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, beliau sedang berhubung dengan banyak negara ekoran serangan Israel berkenaan.

"Saya sedang berhubung dengan banyak negara Arab dan negara-negara lain bagi mendesak Israel menghentikan serangan berkenaan yang merupakan pembunuhan beramai-ramai," katanya kepada AFP dari Arab Saudi hari ini.

p/s: disaat akhir tahun Hijrah ini, umat Islam diserang dengan teruk. Di manakah peranan kita selaku Mahasiswa Islam?

No comments:

Post a Comment