Written by S.M Zakir
Pada awal abad ke-20, kolonial British mula memperkenalkan ekonomi moden yang tersusun di Tanah Melayu berasaskan pengeluaran komoditi berasaskan ekspot secara besar-besaran. Dua komoditi utama yang dikeluarkan di Tanah Melayu ialah bijih timah dan getah. Lalu bermulalah apa yang disebut sebagai ‘capitalist mode of production’. Kesan daripada ekonomi kapitalis ini telah melahirkan struktur sosial yang baru di Tanah Melayu iaitu garis pemisahan masyarakat yang berasaskan bangsa Melayu peribumi, dan buruh imigran (imigrant labourers) yang terdiri daripada kaum Cina dan India. British ternyata mengeksploitasi semaksimumnya struktur sosial ini demi kepentingan ekonomi kapitalis mereka.
Bagaimanapun buruh imigran diserapkan secara langsung untuk menjadi ‘alat pengeluaran’ ekonomi moden dan ini menjadikan mereka terutamanya kaum Cina menjadi bahagian daripada struktur ekonomi moden tersebut.
Sementara bangsa Melayu peribumi diasingkan untuk berada di luar ekonomi moden bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam ekonomi sara diri (subsistence economy), dengan dua sebab. Pertama, mengekalkan kedudukan orang Melayu dalam lingkaran kemunduran demi kepentingan politik British. Dengan itu, penguasaan kolonial terjamin daripada menerima penentangan daripada orang Melayu yang lumpuh dari segi mental dan serba kekurangan dari segi fizikal.
Dan kedua, meletakkan kedudukan orang Melayu sebagai alat logistik itu alat pengeluaran makanan kepada keperluan tenaga untuk pergerakan ekonomi moden melalui kerja-kerja tradisi orang Melayu sebagai penanam padi serta petani dan nelayan.
Penguasaan terhadap orang Melayu oleh kolonial British ini dibantu oleh golongan feudal dan pembesar Melayu (Malay ruling class) yang membina hubungan erat dengan British dan memperolehi laba serta kepentingan mereka dengan mengeksploitasi kedudukan mereka dalam struktur tradisi masyarakat Melayu itu.
Dalam kata lain, struktur tradisi politik Melayu dimanipulasikan oleh British dengan memanfaatkan golongan pembesar Melayu bagi menjalankan polisi pentadbiran British. Pecah perintah yang dilakukan oleh kolonial British ini adalah untuk apa yang dikatakan sebagai, “set about the gradual and systematic exploitation of the country’s resources for the benefit of foreign interest”.
Menurut antropologis-ekonomi ketika ini, kurangnya penyertaan orang Melayu dalam struktur ekonomi moden waktu itu bukanlah disebabkan oleh mitos Melayu yang ditanam oleh kolonial British iaitu sifat tidak acuh dan malas (indifferent and laziness) orang Melayu; tetapi sebenarnya ialah kerana ciri dan sifat masyarakat Melayu, yakni sistem nilai dalam masyarakat Melayu yang tidak meletakkan keutamaan kepada kepentingan individu melangkaui kepentingan kolektif dan tidak menggalakkan pengejaran matlamat kekayaan yang melampau secara individu.
Sebaliknya sistem nilai masyarakat Melayu yang dibentuk oleh hubungan persaudaraan (close-knit society) lebih mementingkan pembentukan masyarakat yang berdasarkan kepentingan kolektif dan pegangan agama dalam mewujudkan nilai-nilai baik seperti menjauhi sifat tamak, mementingkan diri, sombong, mencintai keduniaan dan sebagainya.
Sistem nilai yang utuh sejak ratusan tahun berakar dalam masyarakat Melayu menjadikan mereka sebagai satu bangsa yang kuat memahami keberadaan mereka dalam konteks daya ilmu yang dibina dalam persekitaran budaya mereka; contohnya pemahaman terhadap ilmu atau pandangan hidup melalui simbol-simbol yang wujud dalam bahasa mereka yakni bahasa Melayu.
Sistem nilai yang wujud dalam sistem ekonomi moden adalah amat bercanggah dengan sistem nilai masyarakat Melayu. Apatah lagi ia membawa sifat budaya Eropah dan sifat budaya daripada entiti ekonomi masyarakat Cina dan lain-lain; yang ternyata sesuatu yang asing bagi orang Melayu.
Dari segi kebolehan dan keupayaan tidak dapat dinafikan bahawa orang Melayulah orang yang pertama menerokai lombong-lombong bijih yang menjadi entiti penting dalam ekonomi moden yang diperkenalkan British di Tanah Melayu. Namun kegiatan ekonomi komoditi ini dilakukan hanya separuh masa dan hanya dilakukan dalam skala yang kecil.
Ini memandangkan wujudnya sistem nilai seperti hubungan spritual orang Melayu dengan tanah, alam dan sifat kemanusiaan yang membuatkan keutamaan mereka lebih diberikan kepada aktiviti berasaskan pertanian. Sistem nilai yang bercanggah dengan gejala-gejala kapitalis dalam sistem ekonomi, ditambah pula dengan kegiatan melanggar pegangan agama Islam mereka seperti perjudian, menghisap candu, amalan riba, dan kegiatan-kegiatan ‘dosa’ yang lain membuatkan masyarakat Melayu meletakkan sempadan antara mereka dan dunia ekonomi moden.
Apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar kepada mata pelajaran sains dan matematik, kesan keburukannya adalah lebih kepada masyarakat Melayu. Pertamanya, bahasa Inggeris bukan sahaja sekadar membawa logika simbolisme Barat tetapi juga sistem nilai dari Barat yang dimanifestasi secara tidak langsung sebagai suatu bentuk perwakilan kepada ‘superioriti Barat’.
Kedua, sistem nilai masyarakat Melayu yang keseluruhannya dibentuk daripada sifat budaya mereka khususnya lambang-lambang seni dalam bahasa Melayu bertentangan dan bercanggah sistem nilai yang wujud daripada lambang-lambang yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Ini membuatkan masyarakat Melayu menerima isyarat yang salah dan seterusnya pemahaman yang tidak tepat terhadap makna-makna yang terkandung dalam bahasa Inggeris.
Perkara pertama membawa kepada lunturnya keyakinan anak-anak Melayu terhadap keperibadian mereka sendiri lantaran wujudnya kesan secara psikologi jangka panjang yang menanam keyakinan terhadap superioriti Barat. Ini akan mewujudkan suatu bentuk kekaburan yang akhirnya menghilangkan keaslian daya fikir bangsa Melayu, sebaliknya menjadikan mereka sebagai pembonceng dan hanya pengguna kepada pemikiran orang lain.
Perkara kedua membawa kepada kegagalan untuk memahami konsep, makna dan inti ilmu lantaran lambang-lambang yang ada dalam sistem nilai yang dibawa oleh bahasa Inggeris bertentangan atau tidak wujud dalam sistem nilai yang dibawa dalam budaya Melayu. Maka konsep dan makna tersebut akan difahami dari sisi penerimaan hafalan dan bukan penerimaan fahaman.
Perkara ini akan membentuk pengajaran ilmu yang lebih bersifat vokasional iaitu keupayaan untuk hanya menggunakan ilmu bagi keperluan teknikal dan pemasangan kepada yang sedia ada; dan bukan keupayaan untuk menggunakan ilmu bagi keperluan yang lebih tinggi seperti penciptaan sains baru melalui daya cipta kreatif dan penerokaan kepada penemuan-penemuan baru melalui penguasaan filosofikal serta mekanikal ilmu tersebut.
Dalam pada itu bahasa Inggeris adalah bahasa sistem ekonomi moden. Maka timbul kepercayaan bahawa dengan penguasaan bahasa Inggeris maka sesebuah bangsa atau masyarakat akan lebih menguasai penglibatan mereka dalam dunia ekonomi moden.
Hal ini memang tidak dinafikan, tetapi apabila dilihat kepada demografi masyarakat di Malaysia ini ternyata orang Melayu sepertimana apa yang berlaku pada awal kemunculan ekonomi moden di Tanah Melayu, rata-ratanya hidup di luar bandar adalah masyarakat yang berada di pinggir (peripheral) dunia ekonomi moden ini.
Sedangkan kaum lain merupakan masyarakat yang berada dalam pusat (center) ekonomi moden. Ini tentunya menjadikan penguasaan bahasa Inggeris dalam dunia ilmu akan mengambil masa yang panjang untuk dikuasai oleh orang Melayu, berbeza dengan kaum lain yang sememang telah menguasainya sebagai bahasa pusat ekonomi moden di mana mereka berada.
Akibatnya anak-anak Melayu akan lebih ramai yang ketinggalan berbanding kaum lain. Ini akan mewujudkan jurang ekonomi yang besar antara kaum pada akhirnya. Keadaan ini lebih bahaya lagi akan mewujudkan polarisasi kaum yang boleh membawa kepada kemungkinan-kemungkinan ketidakstabilan masyarakat.
Pertimbangan terhadap perkara-perkara yang ditimbulkan ini haruslah diberi perhatian yang serius oleh pembuat dasar khususnya Menteri Pelajaran dan Kementerian Pelajaran; kerana di tangan merekalah terletak kejayaan dan kegagalan pembentukan bangsa yang utuh dan maju dalam acuan mereka sendiri pada masa hadapan.
Sumber: http://www.wasilahonline.net/v1/modules/news/article.php?storyid=273
No comments:
Post a Comment