Tuesday, December 2, 2008
Dua beradik hanyut, kakak maut .
KOTA BHARU – Keseronokan tiga beradik bersama sepupunya bermain di tepi tali air sedalam dua meter akhirnya bertukar tragedi menyayat hati apabila salah seorang daripada mereka mati lemas dekat Melor, di sini semalam.
Mangsa, Nur Amelia Ayob, 11, meninggal dunia dalam kejadian jam 11 pagi itu selepas tergelincir dan jatuh ke dalam tali air tersebut.
Sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya, Mohd Azizi, 13, dan adiknya, Mohd Ashraf, 10, serta sepupunya, Arif Fadhlan Sapuan, 11, dikatakan ke tali air berkenaan untuk melihat penduduk menahan pukat.
Ibu mangsa, Masnizan Jaafar, 46, ketika ditemui memberitahu anak kedua daripada lima beradik tersebut tidak pernah ke tempat kejadian kerana dia selalu mengingatkan mengenai bahayanya kawasan tersebut memandangkan musim hujan.
“Sebelum ini saya pernah memarahi Amelia dan adik-adiknya yang lain supaya tidak mendekati tali air berkenaan tetapi hari ini saya tidak mengetahui mereka berempat ke situ.
“Selepas pulang dari kelas tambahan, Amelia hanya pulang untuk menyimpan begnya dan terus keluar bersama abang dan adiknya tanpa memberitahu saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Bagaimanapun, adik mangsa, Mohd Ashraf yang turut lemas dalam kejadian tersebut bersyukur kerana dia diselamatkan oleh penduduk kampung dan kini masih dalam keadaan trauma.
“Kakak licin.” Hanya itulah yang mampu diucapkan Mohd Ashraf yang masih terkejut dengan kehilangan kakaknya kerana dia menyaksikan sendiri detik cemas tersebut.
Sepupu mangsa, Arif Fadhlan yang bersama-sama bermain terkilan kerana dia tidak dapat menyelamatkan arwah ketika Amelia dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tali air dan dibawa arus.
“Saya hanya mampu melihat dan melaung sekuat-kuat hati untuk meminta tolong penduduk supaya menyelamatkan Amelia kerana saya tidak pandai berenang.
“Saya melihat arwah tenggelam dan tidak timbul-timbul sehinggalah mayatnya dijumpai penduduk kampung dengan bantuan anggota bomba,” katanya.
IGPIS mengucapkan takziah kepada keluarga Nur Amelia Ayob. Semoga adik Amelia ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Al-Fatihah..
Sumber: Sinar Harian 2Dis 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment