Showing posts with label Komentar. Show all posts
Showing posts with label Komentar. Show all posts

Monday, May 17, 2010

Mulianya Menjadi Guru…

Seperti biasa tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang diraikan oleh golongan pengajar iaitu guru. Pelbagai sambutan yang dilakukan untuk mengingati tarikh ini. Kita sebagai bakal guru juga tidak terlepas dari meraikan hari ini dengan menghantar pelbagai ucapan hari guru dalam bentuk sms kepada sahabat seperjuangan kita, menghadiahkan bingkisan kepada rakan dan meraikan sambutan hari guru di peringkat IPG masing-masing.

Tidakkah kita sebagai bakal seorang guru berasa beruntung dengan profesion yang bakal kita miliki ini? Ada sesetengah daripada pelajar IPG malu untuk memberitahu tempat balajarnya kerana merasakan profesion perguruan hanyalah kerjaya yang dipandang rendah sahaja. Tetapi sedarlah kerjaya perguruan adalah suatu ibadah yang begitu mulia di sisi agama jika kita benar-benar ikhlas untuk menjadi guru.

Dalam soal keikhlasan ini Imam Ghazali pernah menyebut, “Wajib membetulkan niat murid-murid, maka wajib juga membetulkan niat guru, bahkan itu adalah lebih penting kerana ibadat mengajar lebih mulia daripada ibadat belajar.”

Mungkin ada di kalangan kita ini sebelum melangkah ke alam perguruan menanam cita-cita untuk menjadi seorang doctor, peguam, arkitek, jurutera, atau saintis. Tetapi disebabkan desakan daripada keluarga terpaksa meninggalkan kerjaya yang sangat diidamkan tersebut. Hasilnya, kita belajar di IPG dalam keadaan yang sambil lewa sahaja kerana untuk menunjukkan rasa memberontak terhadap keputusan keluarga. Tidakkah pernah terfikir bahawa jika kita melangkah ke profesion perguruan kita bakal melahirkan puluhan atau lebih insan yang bernama doctor, peguam, jurutera malah Perdana Menteri. Bayangkan betapa mulia dan beratnya tanggungjawab yang akan digalas oleh guru untuk membentuk generasi yang dapat dimanfaatkan oleh bangsa, agama dan negara.

Mengapa dikatakan kerjaya sebagai guru ini sangat menguntungkan? Hal ini bertepatan dengan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a, bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat, penghuni langit dan bumi, termasuk semut yang berada di dalam lubang dan ikan ikan pau, sesungguhnya akan memberkati dan memberi rahmat kepada orang yang mahu mengajarkan kebaikan (ilmu) kepada manusia.”

Nabi SAW juga bersabda lagi yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud, “Ingatlah, sesungguhnya dunia ini terlaknat. Semua seisi dunia itu terlaknat kecuali orang yang ingat kepada AllahSWT atau melakukan sesuatu yang dekat dengan mengingatiNya dan orang yang mangajar serta orang yang belajar.”

Berdasakan daripada hadis yang dinyatakan, terlalu banyak ganjaran yang dikurniakan oleh Allah khususnya kepada golongan guru. Tetapi untuk mendapatkan ganjaran tersebut hendaklah timbul rasa ikhlas dalam hati untuk menjadi guru dan ikhlas untuk mengajar. Mungkin perkataan ikhlas mudah untuk dilafazkan, tetapi apa sebenarnya yang tersirat di dalam hati. Mungkinkah kita tetap merasa ikhlas sekiranya kita tidak diberi sebarang gaji dan elaun untuk mengajar anak bangsa? Sanggupkah kita mengajar kelas tambahan kepada anak murid walaupun tidak dibayar kerana kebanyakkan mereka berasal daripada keluarga yang miskin? Renungkan sahabat sekalian bagaimana pengorbanan yang bakal dihadapi oleh seorang guru kelak.

Belum terlambat rasanya HALAQAH IPG ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua pensyarah, guru dan juga bakal guru di seluruh Malaysia. Selalulah bermuhasah diri untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran kita dan menjadikan kita sebagai guru yang lebih berdedikasi.

"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

Tuesday, December 2, 2008

Sekolah satu sistem


KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Menurutnya, menerusi sistem pendidikan sedemikian semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Sudah tentunya murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.

“Malah di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mukhriz berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk melepaskan sistem sekolah berbeza yang dilaksanakan sekarang memandangkan ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Beliau berharap pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak melihat cadangan tersebut secara negatif kerana ia bertujuan menjadi penyelesaian kepada masalah perkauman yang menjejaskan semangat kebangsaan rakyat Malaysia.

“Jika ada yang menolak cadangan ini, mereka perlu menjelaskan sebab-sebab mereka menentangnya. Bagaimana mungkin mereka bercakap mengenai perpaduan dan mempersoalkan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama masih berkeras untuk mengamalkan sistem sekolah berbeza bagi kaum mereka?

“Kalau kita mahu hak yang sama rata, kita tidak boleh mempunyai sistem pendidikan berbeza. Kita tidak boleh mendapatkan kek dan mahu makan kesemuanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, semua pihak khususnya pemimpin parti-parti komponen BN perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh meregangkan hubungan antara mereka, termasuk membangkitkan isu ketuanan Melayu.

Beliau yang melihat isu itu sebagai perkembangan yang tidak sihat berkata, sejak akhir-akhir ini banyak kenyataan dibuat oleh pemimpin parti komponen BN yang mampu menaikkan kemarahan orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO.

“Sekiranya mereka berdegil dan terus mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ketuanan Melayu, janganlah pula terkejut jika orang Melayu mula membuat reaksi balasan mengenai apa yang dianggap mereka sebagai ketuanan ekonomi kaum bukan Melayu di negara kita.

“Jadi eloklah kita elakkan polemik ini kerana walau apa pun yang dikatakan mengenai isu ketuanan Melayu, orang Melayu tidak pernah merasakan mereka tuan apabila bercakap tentang ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beberapa tokoh pendidikan negara menyokong cadangan Mukhriz tersebut.

Mereka berpendapat sistem pendidikan Malaysia kini adalah hasil peninggalan zaman penjajahan British yang menampilkan sekolah aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, cadangan Mukhriz itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli-ahli politik negara ini.

“Lebih-lebih lagi politik negara sekarang dilihat lebih menekankan perkauman dan sehubungan itu terpulang kepada kerajaan untuk melaksanakannya,’’ kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bersetuju dengan saranan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu untuk mewajibkan murid mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

“Memang tidak kena. Kaum Cina mempunyai bahasa Kantonis, Hokkien dan Mandarin.

“Bahasa Tamil pula jelas sekali bukan merupakan bahasa ibunda untuk pelajar kaum India. Ada lagi bahasa Telegu dan Punjabi,” jelas beliau.

Ahli sejarah, Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan cadangan Mukhriz itu sebagai sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes 1951.

“Malangnya cadangan itu tidak dapat dilaksanakan dan kemudian dilupakan begitu sahaja ekoran orientasi pendidikan yang lebih menekankan markah ‘A’ dalam peperiksaan.

“Pelajar belajar tanpa matlamat positif untuk perpaduan, hanya untuk peperiksaan. Seringkali mereka tidak faham apa-apa yang dipelajari... mereka hanya tahu menghafal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, cadangan Mukhriz itu bukan sesuatu yang baru tetapi pelaksanaannya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

“Cadangan itu sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956.

“Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan sampai ke hari ini. Ternyata sistem pendidikan negara kini adalah ciptaan penjajah British dulu yang masih kita warisi selepas kemerdekaan negara,” katanya.

IGPIS : Apa pendapat anda mahasiswa IPG sekalian? Sebarang respon boleh nyatakan melalui komen dibawah.