Thursday, July 22, 2010
Pray Hard, Work Smart
“Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni,” kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.
“Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?” tanya saya bergurau.
“Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan. Satu workaholic dan satu lagi solatholic.”
Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar tetapi kalau solatholic itulah kali pertama saya mendengarnya.
“Encik tahu apa maksud workaholic?” tanyanya.
“Orang yang gila atau mabuk kerja,” jawab saya merujuk kepada makna yang diberi dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.
“Solatholic pula orang yang gila solat!” jelasnya tanpa dipinta.
“Jadi apa masalahnya?’
“Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini.”
“Bagaimana?”
“Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggal solat…”
Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, “mereka ini kerja beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain.”
“Yang solatolic bagaimana?”
“Rajin solat tetapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja.”
“Itu kira tak bagus beragamalah, “pintas saya perlahan.
“Mengapa?”
“Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan seluruh sistem hidup. Jadi, orang yang culas kerja ertinya culas juga beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itu pun tidak sempurna dalam beragama,” jelas saya agak panjang.
“Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatolic ni?”
“Solatholic bukan masalah, “ ujar saya.
“Tak masalah kata awak. Orang ini mabuk sembahyang!”
“Apa maksud dengan mabuk sembahyang?”
“Banyak sembahyang?’
“Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu…”
“Maksud awak?”
“Nabi Muhammad terlalu banyak dan lama berdiri solat, sehingga kakinya bengkak-bengkak. Kalau itu boleh dikatakan solatholic, ya Nabi Muhammad adalah seorang yang solatholic. Bahkan baginda menganjurkan jika kita hendak bersamanya di syurga kelak, perlu banyakkan sujud. ”
“Rasulullullah diberitakan bila sujud, seakan-akan tidak mahu berakhir,” tambah saya lagi.
Pengurus itu kehairanan. Jelas kelihatan dia jadi serba-salah dengan kata-katanya tadi. Saya senyum, sambil menepuk bahunya.
“Tapi nabi Muhammad juga workaholic.”
“Baginda juga workaholic?”
“Ya. Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w begitu banyak kerja dan urusannya. Mentadbir seluruh negara, menyusun masyarakat, mengajar, mendidik, memimpin dan pelbagai lagi tugasan dalam keluarga, masyarakat dan negara.”
“Baginda seorang yang workaholic?”
“Tak tahulah apa yang dimaksudkan dengan istilah workaholic tu tetapi jika itu bermaksud kerja keras, banyak bekerja dan gigih pula… yang Rasulullah saw memang begitulah.”
“Jadi seorang itu boleh jadi solatolic dan dia juga workaholic pada suatu masa yang sama seperti Rasulullah?”
“Ya, sewajarnya begitu. Cuba dengar apa yang diluahkan oleh Sayidina Umar Al Khattab insan yang berjaya meneladani Rasulullah s.a.w…”
“Apa katanya?”
“Aku bimbang untuk tidur pada siang hari, takut urusan ku dengan manusia tidak selesai. Dan aku juga bimbang untuk tidur pada malam hari takut urusan ku dengan Allah tidak selesai.”
Dia diam. Benar-benar dalam berfikir.
“Pada siang hari Umar Al Khattab seorang yang workaholic dan pada malam harinya pula dia seorang yang solatolic. Itu maksud awak?”
“Pray hard, work smart. Begitulah kira-kiranya.” Saya mengiakan.
“Bagaimana boleh jadi begitu? Apa yang saya faham solatolic dan workaholic tidak mungkin bersatu pada diri seorang manusia. Kalau dia solatolic, secara automatik dia bukan workaholic. Begitulah sebaliknya.”
“Tidak begitu. Bekerja adalah satu ibadah… ibadah umum namanya. Manakala solat juga satu ibadah. Ia ibadah yang khusus dan asas. Kedua-duanya dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan. “
“Ada kaitan antara ibadah asas dan ibadah umum? Maksud saya antara solat dan kerja?”
“Ibadah asas itu banyak berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah. Ibadah umum pula berkaitan dengan hubungan kita sesama manusia.”
“Ada kaitan tidak?” tanyanya sekali lagi.
Saya diam. Berfikir sejenak.
“Orang yang paling kuat hubungannya dengan Allah dialah yang juga paling kuat hubungannya sesama manusia.”
“Kenapa?”
“Sebab kesan daripada kuat hubungan seseorang dengan Allah akan memberikan dia satu ketulusan dan kekuatan untuk berhubung sesama manusia. Solat akan memberi satu tenaga, semangat dan kekuatan dalam bekerja.”
“Bagaimana?”
Saya mula diasak dengan soalan bertubi-tubi. Tapi saya akur, bukan maksudnya untuk berbahas. Tetapi didorong oleh rasa ingin tahunya yang semakin tinggi.
“ Solat akan memberikan kita ketenangan hasil mengingati Allah. Solat akan mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran. Cuba lihat rukun fik’li, qauli dan qalbi semasa mengerjakan solat… Bukankah semua itu mendidik kita agar bersih, menepati waktu, amanah, bercakap dan berbuat yang dibenarkan sahaja? Kesan solat yang sempurna akan memberikan kekuatan, keberkesanan dan kecekapan dalam bekerja,” terang saya satu persatu.
“Tetapi kenapa ada yang solatolic tetapi malas bekerja?”
“Tentu ada yang salah dengan solatnya. Mungkin solat itu dilaksanakan berdasarkan ritual semata-mata. Tidak difahami makna, tuntutan dan tujuannya. Itu solat yang tidak berjiwa. Umpama bangkai yang tidak bernyawa. Solat semacam itu tidak akan memberi kesan apa-apa pada perlakuan dan pekerjaan selepas mengerjakannya.”
“Hairan pula kenapa yang workaholic tetapi malas solat?’
“Sebabnya sama sahaja. Jika golongan pertama tadi mengerjakan solat tanpa kefahaman dan penghayatan, golongan kedua ini pula enggan mengerjakan solat kerana tidak nampak apa manfaat solat dalam kehidupan mereka… apatah lagi pada pekerjaan mereka. Solat dan kerja terpisah. Itu anggapan mereka.”
“Jadi bagaimana mengatasinya?”
“Golongan rajin solat mesti disedarkan, difahamkan dan dididik untuk bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Tanda akrabnya seorang dengan Allah adalah banyaknya dia berkhidmat untuk manusia. Sayidina Umar pernah mengusir sekumpulan lelaki yang asyik duduk di dalam masjid tetapi tidak bekerja.”
“Bagi golongan workaholic pula?”
“Mereka mesti juga melalui proses yang sama yakni menyedari bagaimana solat itu akan memberi kekuatan dan ketenangan semasa bekerja. Ingat, tadbir kita walau sekuat atau sebijak mana sekalipun masih tertakluk kepada takdir Allah yang Maha Besar.”
Dan bagi mereka yang workaholic ini juga, kita perlu berikan peringatan, “ jangan nanti stres, kecewa dan keletihan melanda kita kerana keterlaluan memerah keringat atau mengasah fikiran. Solat perlu kerana ia memberi satu kerehatan dan penyembuhan kepada keletihan jiwa dan jasad. Lagipun rugi, jika solat ditinggalkan kerja mereka yang banyak itu tidak akan dikira sebagai ibadah. Hanya dapat laba tetapi kosong pahala. Ingat, solat itu kepala ibadat. Tanpa solat, segala amalan yang lain tidak akan diterima Allah.”
“Jadi tidak salah menjadi workaholic dan solatholic jika kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Bahkan kita memang dituntut begitu. Bukankah begitu?”
Saya mengangguk.
“Workaholic untuk manusia, solatolic untuk Allah?”
“Yang paling tepat ialah bekerja kerana Allah untuk manusia!”
“Apa dia ungkapan yang awak katakan tadi?”
“Yang mana satu?” saya sendiri sudah terlupa.
“Pray hard, work smart!”
“Orang yang solatolic seharusnya menjadi orang yang workaholic. Solat akan membentuk orang yang mampu bekerja keras. Orang yang workaholic perlu melaksanakan solat, agar mendapat kekuatan, ketenangan dan mencegahnya daripada penyelewengan seperti rasuah, penindasan dan perbalahan sewaktu melaksanakan kerjanya.”
“Pemikiran ini akan saya sampaikan untuk meredakan konflik antara solatolic dan workaholic dalam organisasi ini!” ujarnya gembira.
Saya senyum lebar akhirnya. Alhamdulillah, semoga semuanya persoalan tadi dapat diselesaikan dengan jelas dan tuntas. Namun, jauh di sudut hati, masih ada kesedihan yang berbekas. Ya, jelas sekali betapa hubungan yang sinergi dan serasi antara solat dengan kerja sudah semakin kabur dalam diri umat ini. Bukan sahaja dalam amalinya bahkan dalam teorinya. Benarnya seperti yang selalu diungkapkan, Islam bukan sahaja agama yang paling disalahertikan oleh bukan Islam malah oleh umat Islam sendiri!
Sumber : http://genta-rasa.com
Saturday, July 3, 2010
The Headmaster Who Sleeps At School

BUKIT PELANDOK, Negeri Sembilan: A headmaster treats his school as his second home, and has been literally living in the school three days in a week. As a result, students' parents can look for him day or night.
He is headmaster Liu Shuang Zhen of SRJK (C) Kampung Baru Tanah Merah. He was appointed the principal of this school only last December, and has begun to live in the school for three days a week since the new semester started this year.
His "bedroom" at the school used to be a store room measuring 12 feet by 12 feet. There are only some simple furniture and a single bed with a mosquito net hanging over it in his bedroom. At night, he would spend his leisure time reading Sin Chew Daily and some books.
Tak ramai guru yang sanggup memanfaatkan masanya untuk mendidik dan memastikan prestasi anak muridnya sentiasa cemerlang. Diharapkan apa yang dilakukan oleh guru tersebut dapat memotivasikan kita agar lebih bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada anak didik kita.
Friday, July 2, 2010
Pandangan Mengenai Peperiksaan Sekolah
SAYA agak terkejut apabila kerajaan ingin memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan negara. Bagi saya ia adalah satu tindakan yang agak melulu dan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak. UPSR sebagai contohnya digunakan sebagai ujian untuk menguji kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Ia adalah asas untuk digunakan oleh semua pelajar pada masa akan datang. Jika tiada ujian diadakan, bagaimana untuk kita mengetahui adakah sukatan yang diajar guru berjaya atau tidak
Bagi PMR, ia wajar dimansuhkan kerana memadai untuk menjadikan SPM sebagai kayu ukur dalam prestasi pelajar di sekolah menengah. Masyarakat kita sebenarnya hidup dalam masyarakat yang berasaskan peperiksaan
Dalam sektor kerajaan sendiri, ada peperiksaan PTK yang akan menentukan kenaikan pangkat dan gaji bagi penjawat awam. Peperiksaan juga akan mendorong pelajar untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran mereka. Begitu juga kakitangan awam sendiri. Budaya membaca sukar dibentuk jika tidak ada sedikit unsur paksaan yang dilakukan secara halus menerusi peperiksaan yang bakal mereka hadapi.
Walaupun kini beberapa gerakan membaca dilakukan oleh pertubuhan buka kerajaan (NGO) seperti Baca@LRT, Baca@Komuter dan sebagainya, tetap ia tidak cukup kerana golongan sasaran sebenarnya ialah golongan pelajar. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika budaya membaca tidak dipupuk ketika masih muda. Ia lebih sukar apabila pada tahap yang lebih dewasa dengan ada pelbagai jenis hiburan pada zaman ini. Diharap kerajaan dapat meneliti kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan agar bangsa Malaysia akan terus berjaya pada masa akan datang.
MOHD SHAMSURIYADI MAMAT, Kuala Kangsar, Perak

Pandangan 2
CADANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada dasarnya memang baik. Tujuannya amat murni, dengan harapan agar guru dapat memberikan pendidikan yang tulen berdasarkan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, pelajar pula dapat disemaikan dan dimantapkan dengan nilai mencari ilmu, mengukuhkan jati diri, bernilai murni dan pelbagai lagi aspek kehidupan yang akhirnya melahirkan insan kamil
Dewasa ini, apa yang kita lihat di kebanyakan sekolah, guru dan pelajar hanya bersungguh-sungguh mengajar dan belajar semasa anak didik ini berada di dalam kelas untuk peperiksaan saja. Pada masa inilah guru mengadakan kelas tambahan, pihak pentadbir melaksanakan pelbagai program peningkatan akademik, manakala ibu bapa memberikan perhatian kepada anak mereka yang bakal menghadapi peperiksaan
Namun, bagaimana pula halnya dengan kelas yang pelajarnya tidak menduduki peperiksaan? Terlalu kurang program malahan kelas tambahan jarang diadakan. Ibu bapa pula kurang memberi perhatian kepada anak ini kerana tiada peperiksaan awam yang harus ditempuhi. Oleh itu, jika sepanjang 11 tahun pelajar berada di sekolah dan hanya akan menduduki peperiksaan SPM saja, bayangkan apa yang akan berlaku terhadap pelajar dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Empat? Yakinlah, komitmen semua pihak akan berkurangan untuk memberi didikan yang sewajarnya kepada anak didik ini.
Saya yakin, niat Muhyiddin merangkap Menteri Pelajaran agar semua pelajar dapat menimba ilmu sebanyak mungkin di sekolah tanpa terlalu bergantung kepada latihan menjawab soalan pada sepanjang tahun. Apa yang penting dalam sistem pendidikan kita ialah mengurangkan kandungan sukatan pelajaran tetapi sebaliknya bagi setiap tajuk diberikan penekanan yang lebih mendalam. Misalnya, bagi mata pelajaran sains, apa salahnya, hanya dikekalkan 50 peratus sukatan pelajaran saja, tetapi bagi setiap tajuk disertakan dengan ilmu tambahan, dikaitkan dengan kehidupan dan isu semasa.
Oleh itu, peperiksaan harus dikekalkan bagi memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas tetapi bentuk soalan haruslah berubah yang menjurus kepada semua pelajar dapat menjawabnya cuma kualiti jawapannya saja yang dapat membezakan kematangan mereka.
Saya berharap, Kementerian Pelajaran tidak tersalah langkah seperti yang berlaku menghapuskan yuran peperiksaan akhirnya ramai yang tidak menghargai peperiksaan itu, memberikan buku teks percuma kepada semua pelajar sama ada miskin dan kaya, menghantar ke sekolah komputer, LCD, CD, VCD dan akhirnya terbiar begitu saja di bilik kelas atau di dalam stor. Semuanya ini mengundang perbelanjaan yang besar tetapi kesannya amat minimum.
GURU C2, Johor
Dipetik daripada lhakim-suarahati.blogspot.com
Tuesday, May 4, 2010
ADAB-ADAB MAKAN MENURUT AL-QUR'AN DAN AS-SUNNAH
Dari 'Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, " Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah'). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwaluhu wa akhirahu' (HR Abu Dawud dan atTirmidzi.)
2. Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)
3. Makan yang berhampiran.
Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: Wahai budak, ucapkan 'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu. (HR Bukhari dan Muslim)
4. Galakan guna tiga jari.
Dari Ka'ab bin Malik r.a., "Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)" (HR Muslim)
5. Larangan mencela makanan
Dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan" (HR Bukhari dan Muslim)
6. Tidak bersandar ketika makan
Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah s.a.w bersabda, "Aku tidak makan sambil bersandar" (HR Bukhari)
7. Kutip makanan yang terjatuh.
Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan" (HR Muslim)
8. Mula makan dari tepi (pinggir)
Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah" (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)
9. Jilat jari setelah selesai
Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)" (HR Bukhari dan Muslim)
10. Doa setelah selesai makan
Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' (HR Bukhari)
11. Menjawab salam
Imam Nawawi dalam al-Azkar mengatakan makruh hukumnya memberikan salam kepada orang yang sedang makan. Orang yang diberi salam pula tidak wajib menjawabnya.
12. Bercakap ketika makan
Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir ra sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahwa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602) Adalah tidak benar meja makan menjadi tempat yg kaku dan senyap sepi dari perbualan.
13. Tak melengahkan makan setelah terhidang
Dari Anas ra, Nabi saw bersabda, “Jika makan malam sudah disajikan dan Iqamah solat dikumandangkan, maka dahulukanlah makan malam.” (HR Bukhari dan Muslim)
14. Jangan tergesa menghabiskan makan
Ibnu Umar menyatakan bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah kalian tergesa-gesa menyelesaikan makan malam kalian jika sudah disajikan.” (HR. Ahmad)
15. Tidak mengambil makanan lebih dari satu
“Sesungguhnya Rasulullah saw melarang mengambil makanan lebih dari satu kecuali sesudah minta izin kepada saudaranya.” (HR Bukhari no. 2455 dan Muslim no 2045)
16. Menyantap makanan setelah dingin
Dalam Zaadul Ma’ad (4/223) Imam Ibnul Qoyyim mengatakan, “Nabi saw tidak pernah menyantap makanan dalam keadaan masih panas.”
17. Makan dan minum sambil berdiri
Dalam riwayat Ahmad dinyatakan bahwa Ali bin Abi Thalib mengatakan, “Apa yang kalian lihat jika aku minum sambil berdiri. Sungguh aku melihat Nabi saw pernah minum sambil berdiri. Jika aku minum sambil duduk maka sungguh aku pernah melihat Nabi saw minum sambil duduk.” (HR Ahmad no 797)
18. Larangan bernafas dan meniup air minum
Dari Ibnu Abbas, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk mengambil nafas atau meniup wadah air minum.” (HR. Turmudzi no. 1888 dan Abu Dawud no. 3728)
19. Anjuran bernafas sebanyak tiga kali
Dari Anas bin Malik ra beliau mengatakan, “Ketika Rasulullah saw minum beliau mengambil nafas di luar wadah air minum sebanyak tiga kali.” Dan beliau bersabda, “Hal itu lebih segar, lebih selesa dan lebih nikmat.” Anas mengatakan, “Oleh karena itu ketika aku minum, aku bernafas tiga kali.” (HR. Bukhari no. 45631 dan Muslim no. 2028)
20. Anjuran makan bersama dalam satu pinggan
Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahwa beliau mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Makan satu orang itu cukup untuk dua orang. Makanan dua orang itu cukup untuk empat orang. Makanan empat orang itu cukup untuk lapan orang.” (HR Muslim no 2059)
21. Makruh makan terlalu banyak/sikit
Dari Miqdam bin Ma’di Karib, beliau menegaskan bahawasanya beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah seorang manusia memenuhi satu wadah yang lebih berbahaya dibandingkan perutnya sendiri. Sebenarnya seorang manusia itu cukup dengan beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Namun jika tidak ada pilihan lain, maka hendaklah sepertiga perut itu untuk makanan, sepertiga yang lain untuk minuman dan sepertiga terakhir untuk nafas.” (HR. Ibnu Majah no. 3349)
Dipetik daripada halaqah-online.com
Monday, April 12, 2010
Percubaan Untuk Mencuri Jasad Rasulullah SAW

Umumnya, semua umat Islam mengetahui bahawa makam Rasulullah SAW kini terletak di dalam Masjid Nabawi ,iaitu di kota Madinah. Pada asalnya Rasulullah SAW telah dimakamkan di dalam bilik di rumahnya. Kepalanya terletak di barat dan kakinya di timur dengan mukanya ke arah kiblat. Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu adanya percubaan jahat untuk mencuri mayat Rasulullah SAW itu.
Ianya telah berlaku pada sekitar tahun 557 H. Perbuatan khianat ini telah dirancang dengan teliti oleh orang-orang Kristian. Mereka telah merancang untuk memindahkan mayat Rasulullah SAW daripada makamnya di Madinah.Bagi melaksanakan niat mereka itu, mereka telah mengupah dua orang lelaki Kristian yang menyamar sebagai orang Maghribi yang datang dari Andalusia, Sepanyol. Bagi memudahkan lagi pekerjaan mereka, dua orang lelaki ini telah menyewa sebuah rumah yang berdekatan dengan Raudhah iaitu berhampiran dengan makam Rasulullah SAW. Raudhah merupakan satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi. Ia juga merupakan tempat Rasulullah SAW dan para sahabat beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW.
Kedua –dua lelaki itu telah berpura-pura menjadi orang alim untuk mengaburi mata penduduk Madinah. Mereka sentiasa menunaikan solat di Masjid Nabawi dan selalu memberi sedekah kepada fakir miskin. Semuanya dilakukan untuk mendapat kepercayaan daripada penduduk sekitar bahawa mereka merupakan orang yang baik dan mengelakkan daripada syak wasangka orang ramai terhadap mereka. Mereka juga rajin menziarahi perkuburan Baqi’. Perkuburan Baqi’ merupakan kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa yang meninggal dunia di Madinah, termasuk para jemaah haji atau umrah.
Tetapi di sebalik semua ini, sebenarnya mereka mula melakukan gerak kerja untuk merealisasikan impian mereka untuk mencuri mayat Rasulullah SAW. Bermula dari rumah, mereka mula menggali secara rahsia sebuah terowong yang akan berakhir di dalam makam Rasulullah SAW. Tanah-tanah dari terowong tersebut dipunggah ke dalam telaga di dalam kediaman mereka dan kadang-kadang diisi ke dalam beg untuk di buang di Perkuburan Baqi’. Rancangan jahat mereka ini berjalan lancar tanpa disedari oleh penduduk Madinah. Tetapi mereka lupa bahawa kegiatan mereka itu sentiasa di lihat oleh Allah SWT.
Sehinggalah Allah SWT telah memberikan petanda kepada Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki dari Syria melalui satu mimpi.Di dalam mimpi tersebut Sultan Nuruddin telah terdengar Rasulullah SAW berkata, “ Wahai Mahmud, selamatkanlah aku daripada mereka,” ketika berkata demikian, Rasulullah SAW telah menunjukkan kepadanya dua orang lelaki yang berambut perang.Sultan Nuruddin pun bangun dari tidurnya dengan panik,dia berdoa dan kembali tidur. Tetapi mimpi itu berulang sebanyak tiga kali.
Baginda kemudiannya mengarahkan menterinya membuat persediaan untuk berangkat ke Madinah.Sultan Nuruddin dan pengikutnya menyeberangi jarak dari Syria ke Madinah dalam masa 16 hari. Apabila sampai di Madinah, baginda terus menuju ke Masjid Nabawi, mengerjakan solat dan termenung di sana kerana baginda tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Melihat keadaan Sultan Nuruddin itu, menterinya bertanya, adakah baginda dapat mengecam dua lelaki di dalam mimpinya itu? Baginda menjawab bahawa baginda amat yakin dapat mengecam kedua-dua lelaki tersebut.
Serentak dengan itu, menterinya pun memanggil seluruh penduduk Madinah yang memerlukan bantuan untuk datang mengadap baginda. Walaubagaimanapun,tidak ada kedua orang lelaki tersebut di antara orang ramai yang datang mengunjungi baginda. Setelah di selidik, baginda di beritahu bahawa ada dua orang asing yang tidak datang mengadap baginda. Mendengar berita tersebut, lalu Sultan Nuruddin mengarahkan mereka berdua mengadap baginda. Apabila keduanya dibawa mengadap,baginda segera mengecam bahawa itulah lelaki yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimpinya.
Kedua lelaki itu telah disoal siasat untuk membuktikan segalanya. Mereka menyatakan bahawa mereka berasal daripada Maghribi dan datang untuk menunaikan haji dan melawat Masjid Nabawi dan bercadang untuk tinggal di Madinah selama setahun. Bagi mengesahkan segalanya, Sultan Nuruddin sendiri telah pergi ke rumah lelaki tersebut untuk menyiasat. Tetapi malangnya baginda tidak menjumpai apa-apa pentunjuk melainkan sejumlah wang yang banyak.
Baginda tetap tidak berpuas hati dan terus berfikir apa yang perlu dilakukannya lagi dengan kehendak Allah SWT, baginda tersepak satu kepingan kayu. Apabila diangkat kayu itu,maka terbukalah pintu terowong yang menghala ke arah makam Rasulullah SAW. Apabila di siasat,didapati terowong tersebut telah pun melepasi tembok dan dinding Masjid Nabawi.
Kedua-dua lelaki tersebut kemudiannya disebat sehingga mereka mengaku apa yang mereka lakukan dan bercerita hal yang sebenarnya. Mereka sebenarnya adalah orang Kristian dan di hantar oleh Raja mereka untuk menyamar sebagai jemaah haji dari Mahribi. Mereka dibekalkan dengan wang yang banyak dan diarahkan untuk mengambil mayat Rasulullah SAW dari makamnya dan membawanya pulang bersama mereka.Mereka kemudiannya dijatuhi hukuman bunuh di atas perbuatan mereka yang hina itu.

(Dipetik daripada sinarrasul.blogspot.com)
Tuesday, September 1, 2009
BIngkisan Ramadhan

Tuhan
ku mohon maghfirah Mu
Dalam tiap titisan embun
Ku pinta rahmat Mu
Sebanyak titisan hujan
Ku rayu redha Mu
Dalam setiap perbuatan
Izinkan aku Rabbi
untuk memasuki Madrasah Ramadhan
pilihlah aku Illahi
untuk menemui
malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Bingkisan dari:
SHAMR
IPG Kampus Perempuan Melayu.
Monday, August 10, 2009
Puisi Dakwah
Puisi Dakwah
Katakanlah:
‘ inilah jalanku,
aku mengajak kalian kepada Allah dengan bashiroh,
aku dan pengikut-pengikutku
Mahasuci Allah!
dan aku bukan termasuk orang-orang yang musyrik
Jalan dakwah panjang terbentang jauh ke depan
Duri dan batu terjal selalu menganjal,
lurah dan bukit menghadang
hujungnya bukan di usia,
bukan pula di dunia
Tetapi Cahaya Maha Cahaya,
Syurga dan Redha Allah Cinta adalah sumbernya,
hati dan jiwa adalah rumahnya.
Pergilah ke hati-hati manusia ajaklah ke jalan Rabbmu
Nikmati perjalanannya,
berdiskusilah dengan bahasa bijaksana
Dan jika seseorang mendapat hidayah karenamu
Itu lebih baik dari dunia dan segala isinya…
Pergilah ke hati-hati manusia,
ajaklah ke jalan Rabbmu
Jika engkau cinta maka dakwah adalah faham,
Mengerti tentang Islam,
Risalah anbiya dan warisan ulama
Hendaknya engkau fanatik dan bangga dengannya
Seperti Mughiroh bin Syu’bah di hadapan Rustum Panglima Kisra
Jika engkau cinta maka dakwah adalah ikhlas menghiasi hati,
memotivasi jiwa untuk berkarya Seperti kata Abul Anbiya,
“Sesungguhnya solatku,
Ibadahku,
hidupku,
dan matiku semata bagi Rabb semesta".
” Berikan hatimu untuk Dia,
katakan “Allah Ghayatuna”
Jika engkau cinta maka dakwah adalah amal
Membangun kejayaan ummat bila-bila masa,
di mana saja kamu berada
Yang bernilai adalah kerja bukan semata ilmu apalagi lamunan
Sasarannya adalah perbaikan dan perubahan,
al ishlah wa taghyir
Dari diri pribadi,
keluarga, masyarakat hingga
terbangunnya sebuah daulah islamiah
Jika engkau cinta maka dakwah adalah jihad
Sungguh-sungguh di medan perjuangan melawan kebatilan
Tinggikan kalimat Allah rendahkan dugaan syaitan durjana
Kerja keras tak kenal lelah adalah rumusnya
Tinggalkan kemalasan, lamban, dan berpangku tangan
Jika engkau cinta maka dakwah adalah taat
Kepada Allah & Rasul, Al-Qur’an & Sunahnya Serta orang-orang bertaqwa
Taat adalah wujud syukurmu kepada hidayah Allah
Kerananya nikmat akan bertambah melimpah penuh berkah
Jika engkau cinta maka dakwah adalah tsabat
Hati dan jiwa yang tegar walau banyak rintangan
Buah dari sabar meniti jalan,
teguh dalam barisan
Istiqomah dalam perjuangan dengan kaki tak tergoyahkan
Berjalan lempang jauh dari penyimpangan
Jika engkau cinta maka dakwah adalah tajarrud
Ikhlas di setiap langkah menggapai satu tujuan
Padukan seluruh potensimu libatkan dalam jalan ini,
Engkau da’I sebelum apapun adanya engkau
Dakwah tugas utamamu sedang lainnya hanya selingan
Jika engkau cinta maka dakwah adalah tsiqoh
Kepercayaan yang dilandasi iman suci penuh keyakinan
Kepada Allah, Rasul, Islam, Qiyadah dan junudnya
Hilangkan keraguan dan pastikan kejujurannya…
Karena inilah kafilah kebenaran yang penuh berkah
Jika engkau cinta maka dakwah adalah ukhuwah
Lekatnya ikatan hati berjalin dalam nilai-nilai persaudaraan
Bersaudaralah dengan muslimin sedunia,
utamanya mukmin mujahidin
Lapang dada merupakan syarat terendahnya,
itsar bentuk tertingginya
Dan Allah yang mengetahui menghimpun hati-hati para da’I dalam cintaNya
Berjumpa karena taat kepadaNya
Melebur satu dalam dakwah ke jalan Allah
Saling berjanji untuk menolong syariatNya
sebuah perkongsian dari :
MAHASISWI IPGM Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat

Saturday, August 8, 2009
Getaran Jiwa
2.10 pagi…terasa masih bugar mata ini untuk dilelapkan. Peluang ini sudah tentu tidak bisa dilepaskan…rindu padaNya tidak tertahan. Namun, keadaan diri menghalang qiyam hamba, ruku’ dan sujud pada Maha Pencipta. Hanya puji-pujian padaNya meniti di bibir…istighfar membasahi lidah, menyuburkan hati yang gersang sambil telinga dipasang teliti mendengar alunan ayat suci Al-Quran.
Resah gelisah silih berganti menduduki hati biarpun pelbagai sumber ketenangan menelusuri sanubari. Mungkin terhalang dek kotornya hati yang selama ini lalai dari mengingatiNya. Mata cuba dipejam namun hati terasa gentar lantas otak terus ligat cuba meneliti satu persatu perjalanan hidup yang lampau…sambil komputer riba terus terpasang dengan bacaan Al-Quran.
Sahabat-sahabat yang entah dari mana datangnya muncul dalam keresahan. Biarpun tiada kata diluahkan, kehadiran mereka meleraikan sedikit kekacauan ini. Alhamdulillah mereka hadir pada masa yang tepat.
Entah kenapa semakin mereka hampir, semakin longlai tubuh ini dirasakan. Tatkala tangan ini digenggam, tersungkur akhirnya dalam dakapan sadiq yang setia. Kabur pandangan ini tatkala diri cuba mencari wajah sahabat-sahabat yang baru seketika bersama. Dalam kesamaran, muram dan suram pandangan keakraban yang mereka lontarkan. Hanya itulah perasaan yang hadir dalam suasana yang tiba-tiba diselubungi kegelapan.
Tiada lagi kedengaran alunan Al-Quran. Dalam kekalutan berperang dengan perasaan sendiri, deria pendengaran yang masih dipinjamkan menangkap seruan nama yang amat dikenali. Lantas, pesanan yang memuncakkan ketakutan semakin jelas kedengaran.
“Namamu sebentar lagi hanya akan menjadi sebutan sahabat-sahabat dan guru-gurumu…dalam kenangan kaum keluargamu”…begitu terjaga ia dilafazkan.
Jantung ini bardegup kencang. Tidak sabar mengakhiri tugasannya yang masih berbaki hanya sedikit. Seluruh sistem bagai berkejar-kejaran sesama sendiri. Semuanya tidak betah lagi tinggal di sini. Mahu cepat pulang barangkali. Masakan bisa mereka menunggu lagi andai masanya sudah tiba untuk mereka kembali.
Pun begitu, diri ini terus merintih. Merayu pada Yang Maha Kuasa agar diberi masa supaya benar-benar bersedia. Lirih rintihannya…syahdu rayuannya. Mohon diperkenankan. Dalam kekalutan, jemari yang mula membeku masih sempat mencoret kata di atas helaian berlakarkan potret berwarna yang seolah-olah merelakan nukilan terakhir seorang insan buat sadiq setia. Setiap ruang dipenuhkan sebaiknya agar tiada sesiapa akan menuntut apa-apa selepas pemergian ini kelak.
Setiap saat dirasakan amat berharga. Bernilainya setiap detik yang berlalu. Sukar sekali menghadapi keadaan ini. Hati ini terus menagih belasNya.
Mata yang dipejam sedari tadi tiba-tiba mampu dibuka dengan asakan naluri kurniaan Ilahi…mungkin untuk melemparkan senyuman terakhir buat sadiq setia…sebagai suatu pesanan bermakna…”temani daku dengan hadiah kudus darimu”.
Sebaik mata terbuka,semua sadiq setia tidak lagi kelihatan. Suasana hening menyelubungi diri. Mata yang baru diberi peluang melihat kembali tertancap pada jarum jam yang masih konsisten detikannya.
3.35 pagi…komputer riba masih di sisi. Screen saver yang diset dengan tayangan slide gambar-gambar kenangan ditatap dengan kebingungan. Pandangan pada gambar-gambar tersebut diselang-selikan dengan pandangan pada jam meja. Kebingungan dan ketakutan yang bersangatan masih menyelubungi diri.
Pandangan kemudian dialihkan pada telefon bimbit yang kian akrab. Pantas ditekan…membuka mesej daripada seorang teman. Masih belum tidur. Tekun mengulangkaji agaknya. Telefon bimbit dilepaskan. Tiada balasan.
Suasana kembali tegang. Hati mula meliarkan kebimbangan. Tidak keruan dibuatnya. Pipi yang masih lembap kembali basah. Hangat dirasakan tangisan kesyukuran kerana masih diberi peluang menghirup udara milikNya.
Jiwanya cukup terbeban. Telefon bimbit kembali dicapai. Mata ini pantas mencari nombor yang sesuai untuk dihubungi. Kewarasan yang masih bersisa menyedarkan…4 pagi, biarkan mereka bersendiri.
Air mata diseka sebolehnya. Diri ini cuba ditenangkan sebaiknya. Masa terus berlari. Debar menanti fajar menyingsing…membenarkan ungkapan yang telah dibisikkan.
Diri ini cuba digagahkan untuk bangun mencari teman yang bisa membantu mencari penyelesaian dengan iman yang utuh kepadaNya. Tirai disingkap. Masih enak dibuai mimpi. Namun diri ini tetap berusaha memohon petunjuk dan bantuanNya. Satu demi satu tirai disingkap sekali tidak putus-putus. Terjaga juga seorang teman akhirnya.
Setiap rentetan diluahkan berhati-hati…takut tersilap tafsiran. Helaian demi helaian dibuka. Satu persatu kisah terungkai. Kekeliruan diperbetulkan sebaik mungkin sambil hati terus berzikir…mengingatiNya.
Malam akhirnya perlahan-lahan bersembunyi sambil siang mula menjejak. Sujud diri mencecah bumi tanda syukur yang tidak terhingga. Segala puji hanya layak bagiMu Ya Allah.
Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku. Terimalah taubatku…Ya Rahman…Ya Rahim.
Artikel di sumbangkan:
Srikandi IPPM
Monday, April 6, 2009
Modul Bina Insan Guru

a
KUCHING 2 APRIL 2009- Seramai 66 0rang guru pelatih KPLI (Sains,Matematik dan Kajian Sosial)telah mengikuti Kem Bina Insan Guru Siri 1 2009 di Kem Alapong, Lundu Sarawak. Kem ini telah berlansung pada 30 Mac - 2 April 2009.
Majlis penutupan rasmi disempurnakan oleh Encik Abdillah bin Adam (Pengarah IPGM Kampus Batu Lintang). Turut hadir ialah Encik Abdul Malik bin Tahir ( Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar),Semua Jurulatih dan Beberapa orang Pegawai Pembantu.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan semasa kem tersebut. Pada kali ini para peserta menamakan anggota mereka sebagai 'CERDAS'dan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 'CER' dan 'DAS'. Kesemua peserta telah mengharungi cabaran seperti berakit,absoiling,berkhemah,mengembara,membuat gejet dan menjaga tongkat amanah yang dilakukan di lokasi darat dan laut.
Di dalam ucapan, tuan pengarah menegaskan kepada semua peserta bahawa setiap aktiviti yang dilakukan itu mempunyai makna dan analogi yang tepat. Aktiviti yang dilaksanakan dalam bentuk kumpulan itu menerapkan nilai kerjasama dan toleransi. Sikap toleransi penting kerana ia perlu ada dalam diri seseorang pendidik. Jika sifat ini ada dan diamalkan,tidak ada masalah untuk seseorang itu berhadapan dengan guru-guru lain dan masyarakat luar selepas tamat pengajian nanti.
Beliau juga menegaskan semua peserta supaya memperkemaskan diri dengan akhlak yang baik dan penampilan diri sebelum melangkah ke sekolah kelak.
Sebenarnya dah lama fikir tentang modul-modul BIG yang digunakan sekarang.
1-Adakah ia sama utk setiap IPG?
2-Siapa yang membentuk modul tersebut? BPG? atau IPG tersebut?
3-Adakah untuk setiap BIG modul yang sama akan digunakan atau modul yang berbeza?
4-Sejak bila modul ini dibentuk? Adakah ia bersifat terkini? atau ia adalah warisan dahulu kala?
5-Sejauh mana tahap keberkesanan modul-modul yang diketengahkan?
6-Pernahkah modul-modul ini dibuat post moterm?
ini antara sebahagian dari soalan-soalan yang terfikir dalam pemikiran saya. Saya idamkan BIG yang hebat dengan modul-modul yang terkini dan menggugah minda para mahasiswa IPGM. Ini akan lahirkan ramai tokoh-tokoh guru yang mempunyai daya intelektual yang tinggi.
Pada pendapat saya kalau setakat nak buat sekadar cukup syarat, sangat merugikan. Baik tak perlu buat.
Di Malaysia kita ramai pakar-pakar psikologi dan motivator. Mereka ni sepatutnya boleh dijemput untuk jadi panel penilai pada modul-modul BIG yang kita guna sekarang. Mereka boleh juga perkenalkan modul-modul terkini.
Mungkin sudah tiba masanya perlu ada revolusi dan penilaian semula dalam modul-modul BIG.
Jika kita berhasrat untuk lahirkan guru yang hebat dan kehadapan, elemen BIG yang diterapkan oleh BPG juga harus bersifat seperti itu. Kalau ianya agak kuno dan tak 'update' maka ia akan mencetak guru yang 'layu' menjelang 2020.
Maka di sini saya lihat mahasiswa IPG harus diberi peluang utk mengadakan satu sidang untuk membincangkan modul-modul terbaik. Biar kita yang cetuskannya.
Dari situ kemudiannya kita akan usulkan pada BPG.
Mungkin idea-idea kita lebih 'muda' dan terkini sifatnya.
Amacam?
perkongsian dari:
ashabul_kahfi88
Tuesday, March 10, 2009
Mahasiswa Islam: Apakah Peranannya?


Memahami hukum syarak yang berkaitan dengan aktiviti seharian, adalah fardhu ain bagi seorang Muslim. Namun mempelajari hukum syarak yang tidak berkaitan dengan aktiviti sehari-hari, adalah fardhu kifayah (An Nabhani, 1953). Seorang petani wajib memahami hukum-hukam syarak tentang tanah, penyewaan tanah pertanian, musaqat dan sebagainya. Seorang doktor pula wajib memahami hukum syarak tentang perubatan, pembedahan mayat, pengguguran janin, pemindahan organ tubuh, pengklonan dan sebagainya. Seorang tentera pula harus memahami hukum tentang jihad, tawanan, perdamaian, perjanjian, harta rampasan perang, dan sebagainya.
Demikian pula seorang mahasiswa, dia seharus-nya memahami hukum syarak yang berkaitan dengan kegiatannya sehari-hari sebagai mahasiswa. Disamping itu, seorang mahasiswa Muslim adalah secara de facto adalah seorang Muslim, maka dia wajib memahami kewajibannya yang utama dalam kedudukannya sebagai Muslim.
Atas dasar itu, ke atas seseorang mahasiswa Muslim, tugas utama yang wajib dipikulnya setidak-tidaknya ada 3 (tiga):Pertama, menuntut ilmu-ilmu yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Tugas ini berkaitan dengan posisinya sebagai mahasiswa yang aktiviti utamanya sehari-hari adalah belajar. Dalam hal ini nabi Muhammad saw telah bersabda:
“Menuntut ilmu adalah fardu bagi setiap muslim.” [HR. Abu Dawud].
Lafaz “al ‘ilm” di atas bersifat umum, iaitu meliputi ilmu-ilmu berasaskan wahyu, seperti ulumul Qur`an, ulumul hadits, usul fiqh, juga ilmu-ilmu yang tidak berasaskan wahyu, seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, dan ilmu-ilmu keprofesional lain yang dipelajari di institusi pendidikan, yang wajib ada demi berputarnya roda kehidupan. Jelaslah sebagai mahasiswa, tugasnya yang utama adalah belajar dalam rangka meraih ilmu sebagai bekalan hidup. Hendaklah tugas ini dilaksanakan semaksimum mungkin sehingga menghasilkan manfaat dunia dan akhirat setinggi-tingginya.
Kedua, mengkaji Tsaqofah Islamiyah (ilmu-ilmu keislaman). Tugas ini berkaitan dengan posisinya sebagai seorang Muslim yang wajib mempunyai pandangan hidup Islam. Tanpa kajian Tsaqofah Islam yang mendalam, sukar membayangkan seorang Muslim mampu mempunyai pandangan hidup yang Islami malah bertambah sukar pula membayangkan dia mampu berfikir dan berperilaku secara Islami.
Tsaqofah Islamiyah adalah pengetahuan Islam yang dasar pembahasannya adalah Aqidah Islamiyah. Contohnya adalah pembahasan Aqidah Islamiyah, ilmu tauhid, tafsir, hadits, bahasa Arab, dan sebagainya. Tugas kedua ini tidak kurang pentingnya dengan tugas pertama kerana tugas ini sebenarnya adalah tugas mendasar setiap Muslim, sama ada mahasiswa ataupun bukan. Setiap Muslim wajib mempunyai pengetahuan Islam yang memadai agar dapat menjalani kehidupan sesuai dengan Islam. Jadi, jika tugas pertama tadi tujuannya adalah untuk hidup, maka tugas kedua ini tujuannya agar: saya dapat hidup dengan benar.
Ketiga, memikul dakwah Islamiyah. Tugas ini berkaitan dengan statusnya sebagai seorang Muslim dan sebahagian dari keseluruhan umat Islam seantero dunia. Dia wajib mempunyai sikap mengambil tahu keadaan dan realiti umat dan berjuang untuk mengubah keadaan agar lebih baik. Mahasiswa Muslim tidak seharusnya hanya memikirkan dirinya sendiri sahaja, sebab sikap ego dan mementingkan diri ini jauh terpesong dari nilai-nilai Islam yang menghendaki adanya sensitiviti kepada manusia lain. Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa pada pagi hari tidak memperhatikan urusan kaum muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka.” [HR. Al Hakim].
Di samping itu, Islam menuntut setiap Muslim untuk melakukan taghyir (perubahan) apabila dia melihat suatu penyimpangan atau kemungkaran. Tidak boleh dia hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh, apalagi pasrah dan menyerah. Rasulullah saw bersabda lagi:
“Barangsiapa di antara kamu melihat ke-mungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (fizikal). Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya (perkataan). Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya (tidak redha) dan itulah selemah-lemah iman.” [HR. Muslim].
Oleh yang demikian, mahasiswa Muslim seharusnya sedar akan tanggung jawabnya melakukan perubahan dan bersama-sama menyeru kepada Islam, sebagaimana telah dicontohkan Rasulullah saw ketika baginda memikul dakwah Islam untuk mengubah masyarakat Jahiliyah menjadi masyarakat Islamiah.Saat ini, tugas melakukan perubahan seperti ini wajib digerakkan, kerana waktu ini kita hidup dalam sebuah masyarakat yang tidak Islami, yakni masyarakat yang tidak berdiri di atas kalimah tauhid. Kita wajib men’taghyir’ secara keseluruhan menuju masyarakat Islam yang menerapkan Islam secara kaffah.
Oleh kerana itu, tidak seharusnya seorang mahasiswa Muslim berdiam diri menyaksikan kekufuran dan kemaksiatan menggila disekelilingnya dan berdiam diri sahaja menyaksikan ideologi kapitalisme yang kafir menguasai dunia. Nabi saw mencela orang yang hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri terhadap kemaksiatan sebagai syaitan yang bisu. Sudahlah syaitan, bisu lagi! Na’uzhu billah min dzalik! Nabi Saw bersabda:
“Orang yang berdiam diri dari kebenaran (tidak mahu mengingatkan atau berusaha membuat perubahan), adalah seperti syaitan yang bisu.” [HR. Al Hakim].
Dikaitkan dengan tugas kedua, maka tugas ketiga ironinya seperti berikut: jika tugas kedua tujuannya adalah: saya dapat hidup dengan benar, maka tugas ketiga ini tujuannya adalah: saya dan saudara-saudara umat Islam saya dapat hidup dengan benar.
Penutup
Mahasiswa Muslim yang mempunyai pandangan hidup Islam adalah generasi harapan umat. Di bahu merekalah (bersama lapisan umat yang lain) terpikul tanggung jawab melakukan perubahan masyarakat menuju masyarakat yang diredhai Allah swt.Bukan saatnya lagi untuk bersikap keanak-anakan dengan ego dan mementingkan diri sa-haja, sementara umat Islam dibiarkan begitu sahaja terkontang-kanting hidup sengsara dan hina dina di bawah hegemoni ideologi kapitalisme yang bathil yang dipimpin oleh US dan sekutu-sekutunya. Tugas ini sememangnya berat, namun kemuliaan menunggu dihadapan. Marilah kita singsingkan lengan baju dan menyahut seruan untuk menyongsong kejayaan Islam!
HALAQAH IPG: APAKAH PERANAN MAHASISWA IPG SEBELUM MENDAPAT IJAZAH?