Friday, July 2, 2010

Pandangan Mengenai Peperiksaan Sekolah

Pandangan 1

SAYA agak terkejut apabila kerajaan ingin memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan negara. Bagi saya ia adalah satu tindakan yang agak melulu dan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak. UPSR sebagai contohnya digunakan sebagai ujian untuk menguji kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Ia adalah asas untuk digunakan oleh semua pelajar pada masa akan datang. Jika tiada ujian diadakan, bagaimana untuk kita mengetahui adakah sukatan yang diajar guru berjaya atau tidak

Bagi PMR, ia wajar dimansuhkan kerana memadai untuk menjadikan SPM sebagai kayu ukur dalam prestasi pelajar di sekolah menengah. Masyarakat kita sebenarnya hidup dalam masyarakat yang berasaskan peperiksaan

Dalam sektor kerajaan sendiri, ada peperiksaan PTK yang akan menentukan kenaikan pangkat dan gaji bagi penjawat awam. Peperiksaan juga akan mendorong pelajar untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran mereka. Begitu juga kakitangan awam sendiri. Budaya membaca sukar dibentuk jika tidak ada sedikit unsur paksaan yang dilakukan secara halus menerusi peperiksaan yang bakal mereka hadapi.

Walaupun kini beberapa gerakan membaca dilakukan oleh pertubuhan buka kerajaan (NGO) seperti Baca@LRT, Baca@Komuter dan sebagainya, tetap ia tidak cukup kerana golongan sasaran sebenarnya ialah golongan pelajar. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika budaya membaca tidak dipupuk ketika masih muda. Ia lebih sukar apabila pada tahap yang lebih dewasa dengan ada pelbagai jenis hiburan pada zaman ini. Diharap kerajaan dapat meneliti kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan agar bangsa Malaysia akan terus berjaya pada masa akan datang.

MOHD SHAMSURIYADI MAMAT, Kuala Kangsar, Perak




Pandangan 2


CADANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada dasarnya memang baik. Tujuannya amat murni, dengan harapan agar guru dapat memberikan pendidikan yang tulen berdasarkan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, pelajar pula dapat disemaikan dan dimantapkan dengan nilai mencari ilmu, mengukuhkan jati diri, bernilai murni dan pelbagai lagi aspek kehidupan yang akhirnya melahirkan insan kamil

Dewasa ini, apa yang kita lihat di kebanyakan sekolah, guru dan pelajar hanya bersungguh-sungguh mengajar dan belajar semasa anak didik ini berada di dalam kelas untuk peperiksaan saja. Pada masa inilah guru mengadakan kelas tambahan, pihak pentadbir melaksanakan pelbagai program peningkatan akademik, manakala ibu bapa memberikan perhatian kepada anak mereka yang bakal menghadapi peperiksaan

Namun, bagaimana pula halnya dengan kelas yang pelajarnya tidak menduduki peperiksaan? Terlalu kurang program malahan kelas tambahan jarang diadakan. Ibu bapa pula kurang memberi perhatian kepada anak ini kerana tiada peperiksaan awam yang harus ditempuhi. Oleh itu, jika sepanjang 11 tahun pelajar berada di sekolah dan hanya akan menduduki peperiksaan SPM saja, bayangkan apa yang akan berlaku terhadap pelajar dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Empat? Yakinlah, komitmen semua pihak akan berkurangan untuk memberi didikan yang sewajarnya kepada anak didik ini.

Saya yakin, niat Muhyiddin merangkap Menteri Pelajaran agar semua pelajar dapat menimba ilmu sebanyak mungkin di sekolah tanpa terlalu bergantung kepada latihan menjawab soalan pada sepanjang tahun. Apa yang penting dalam sistem pendidikan kita ialah mengurangkan kandungan sukatan pelajaran tetapi sebaliknya bagi setiap tajuk diberikan penekanan yang lebih mendalam. Misalnya, bagi mata pelajaran sains, apa salahnya, hanya dikekalkan 50 peratus sukatan pelajaran saja, tetapi bagi setiap tajuk disertakan dengan ilmu tambahan, dikaitkan dengan kehidupan dan isu semasa.
Oleh itu, peperiksaan harus dikekalkan bagi memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas tetapi bentuk soalan haruslah berubah yang menjurus kepada semua pelajar dapat menjawabnya cuma kualiti jawapannya saja yang dapat membezakan kematangan mereka.

Saya berharap, Kementerian Pelajaran tidak tersalah langkah seperti yang berlaku menghapuskan yuran peperiksaan akhirnya ramai yang tidak menghargai peperiksaan itu, memberikan buku teks percuma kepada semua pelajar sama ada miskin dan kaya, menghantar ke sekolah komputer, LCD, CD, VCD dan akhirnya terbiar begitu saja di bilik kelas atau di dalam stor. Semuanya ini mengundang perbelanjaan yang besar tetapi kesannya amat minimum.

GURU C2, Johor

Dipetik daripada lhakim-suarahati.blogspot.com

No comments:

Post a Comment