Showing posts with label Diskusi Buku. Show all posts
Showing posts with label Diskusi Buku. Show all posts

Saturday, May 29, 2010

Buku Yang Mesti Dimiliki




Tajuk: Tokoh - Tokoh Gerakan Islam Abad Moden Siri 2
Penerbit : Jundi Resources
Cetakan Pertama : May 2010
Harga : RM25 (Semenanjung) dan RM27 (Sabah/Sarawak)

Buku ‘ Tokoh - Tokoh Gerakan Islam Abad Moden Siri 2 ’ merupakan karya terbaru tulisan Ust Riduan Mohamad Nor bersama Ust Zainudin Hashim. Karya ini merupakan rentetan daripada keluaran yang pertama yang diterbitkan pada 2009.

Buku ini memaparkan latar belakang dan perjuangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Islam di seluruh dunia. Antara tokoh yang dapat dinyatakan di sini ialah seperti Dr. ‘Aidh al-Qarni, Dr Abdul Karim Zaidan, Sa’id Ramadan, Ust Fadzil Noor, Syeikh ‘Izzuddin al-Qassam, Ismail Haniyyeh, Khaled Masy’al, Dr Zakir Naik, Dr Tariq Ramadan, Dr Muhamad Natsir, dan Prof Dr Zulkifli mohammad. Mereka adalah antara beberapa tokoh sahaja yang dapat dicatatkan di sini yang terdapat dalam buku ini.

Kehidupan yang dilalui oleh setiap tokoh sehingga menjadi seorang tokoh Islam dan segala mehnah yang dihadapi oleh mereka untuk memperjuangkan Islam telah diulas oleh kedua-dua orang penulis ini. Apabila kita menghayati cabaran yang dikenakan ke atas mereka, kita merasakan cabaran yang kita hadapi terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan mereka. Secara tidak langsung ianya akan meningkatkan semangat juang kita untuk terus memperjuangkan agama Allah dan menjalankan tugas kita sebagai seorang pendakwah atau pendidik. Setiap tokoh disertakan dengan gambar untuk membolehkan kita mengenali wajah seorang tokoh Islam.

Ilustrasi luaran dan dalaman buku ini lebih menarik berbanding dulu. Buku ini setebal 229 muka surat. Buku ini dijual dengan harga RM25 (Semenanjung) dan RM27 (Sabah/Sarawak). Sahabat juga boleh dapatkan buku ‘Cinta di Langit Gaza’ yang berharga RM20 (Semenanjung) dan RM25(Sabah/Sarawak). Buku ini telah diulas pada posting yang lalu.

Sahabat boleh dapatkan dengan harga asal buku tanpa bayaran pos penghantaran. Bayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank atau Bank Islam.

Jika berminat untuk mendapatkan buku ini, bolehlah menghubungi KHAIRUDIN di nombor 013-2003297.

Marilah kita menggunakan sedikit rezeki yang ada untuk membeli saham akhirat.

Monday, April 12, 2010

Cinta di Langit Gaza



Penulis : Riduan Mohamad Nor
Penerbit: Jundi Resources
Cetakan : Mac 2010
Harga : RM20.00 (Sem Malaysia), RM25.00 (Sabah & Sarawak)
M/s : 291

Penulis merupakan seorang pendakwah bebas begitu aktif memperjuangkan nasib penduduk Palestin dan juga seorang ulama’ muda yang gigih menghasilkan pelbagai buah buku untuk rujukan kita bersama.

Sebuah buku yang baru selesai dikarang oleh Ustaz Riduan ialah ‘Cinta di Langit Gaza’. Buku ini bercirikan novel yang menceritakan pengalaman beliau semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan di Palestin dan juga di pelbagai Negara yang ditimpa musibah seperti di Acheh, Solo, Kemboja, Pakistan dan banyak lagi.

Plot penceritaannya menjadikan kita seolah-olah berada di tempatnya dan merasai suasana pengembaraan ke Gaza. Pelbagai cabaran yang dilalui untuk memasuki ke wilayah Gaza sehingga perlu melalui pelbagai sekatan daripada Negara suruhan Israel iaitu Mesir.

Unsur monolog dan dialog yang digunakan dalam novel ini menjadikan ianya lebih mudah difahami dan menyeronokkan untuk dibaca. Penggunaan beberapa perkataan yang sedikit bombastik menyukarkan untuk memahami maksud sebenar perkataan yang ingin disampaikan kecuali pembaca memang benar-benar memahami semantik.

Untuk pengalaman yang lebih bermakna marilah kita mengembara bersama-sama di dalam buku ini agar ianya dapat memberikan maksud sebenar erti sebuah perjuangan yang semestinya dihalangi dengan pelbagai rintangan. Diharapkan juga dengan pembacaan buku ini dapat menyuntikkan semangat jihad pada diri kita agar bersedia untuk memperjuangkan Islam tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

Saturday, April 10, 2010

Indahnya Hidup Bersyariat



Penulis: Dato’ Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid
Penerbit: Telaga Biru
Harga: RM55.00 (Sem Malaysia), RM57.00 (Sabah & Sarawak)

Kitab yang berjudul Indahnya Hidup Bersyariat ini mengandungi panduan lengkap asas fardhu ain untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Fardhu ain asas yang mencakupi aspek bersuci, solat, puasa, zakat, haji, umrah, sembelihan dan korhan diterangkan dengan begitu jelas oleh penulis ini. Kitab ini sepatutnya wajib berada di setiap rumah dan pada setiap individu kerana ianya merupakan panduan penting pada setiap ibadah yang kita lakukan.

Disertakan ilustrasi bergambar menjadikan kitab ini lebih mudah difahami dan seterusnya dapat diamalkan tanpa rasa keliru. Beberapa surau dan masjid juga menggunakan kitab ini sebagai bahan rujukan dalam kuliyah mereka. Rasanya tidak perlu untuk dihurai dengan lebih mendalam kerana susah untuk menghuraikan kitab yang begitu istimewa untuk kita semua ini.

Walaupun harganya mahal sedikit, tetapi ianya berbaloi dengan apa yang dihidangkan kepada pembaca. Jadikanlah buku ini sebagai panduan kita bersama agar beroleh keberkatan dalam melakukan amal ibadah.

Friday, April 9, 2010

Gerakan Freemasonry: Musuh Dalam Menghancurkan Islam



Penulis: Hj Nik Azran Muhamed, Hj Mohd Mahadi Hj Isa
Penerbit: Hijjaz Record Publishing
Harga: RM35.90 (Sem Malaysia), RM37.90 (Sabah & Sarawak)

Buku ini dikarang untuk menyelongkar gerakan rahsia yang begitu memusuhi Islam iaitu Freemason. Penulis buku ini berjaya menerangkan dengan begitu mendalam segala perancangan yang telah dilakukan oleh gerakan ini yang lahir daripada kefahaman zionisme. Segala percaturan hidup di dunia ini yang meliputi dari segi pentadbiran, ekonomi, penyiaran, dan penerbitan semuanya dikawal oleh gerakan ini.

Buku ini membongkar rahsia matlamat utama gerakan ini ditubuhkan dan bagaimana gerakan ini boleh bertapak dengan kukuh di seluruh dunia. Kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah juga telah dirancang oleh gerakan bawah tanah ini dan melantik ejennya iaitu Mustafa Kamal Ataturk untuk menggantikan Sultan Abdul Hamid ke-2 seterunya menubuhkan kerajaan sekular di Turki.

Gerakan rahsia ini menyusup ke tengah mansayrakat dengan menggunakan nama yang boleh mengelirukan kita. Kita tidak menyangka bahawa gerakan tersebut adalah freemason kerana menggunakan platform sebagai badan berkebajikan. Jadi, buku ini sesuai dijadikan panduan untuk mengenal pasti gerakan ini sebelum ianya menguasai keadaan persekitaran dan pemikiran kita.

Pemahaman mengenai gerakan ini penting pada masa sekarang lebih-lebih lagi dengan tindakan kerajaan melantik gerakan freemason yang berselindung di sebalik nama APCO worldwide. Tindakan ini seolah-olah mengundang pembunuh ke rumah kita. Dasar kebangsaan yang dicanangkan oleh sesetengah pihak juga merupakan pemikiran yang dibawa oleh gerakan ini. Sanggupkah kita membenarkan pihak yang telah membunuh jutaan nyawa yang tidak berdosa di Palestin sebagai penasihat bagi Negara kita?

Oleh itu, jadikan buku ini yang mengandungi pelbagai maklumat sebagai panduan kita bersama untuk mengenali dengan lebih terperinci musuh Islam. Buku ini menarik kerana disertakan ilustrasi atau gambar yang dipaparkan jelas dan kertasnya lebih berkualiti.

HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK



Penulis: Razali Saran
Penerbit: mustread SDN BHD
Cetakan Pertama 2010
Harga: RM19.90 (sem Malaysia) RM22.90 (Sabah & Sarawak)

Pada ruangan bicara buku ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengulas sebuah buku yang sesuai dijadikan sebagai panduan khususnya kepada bakal guru seperti kita. Ramai yang beranggapan tugas seorang guru ini hanyalah kelas bawahan sahaja dan tidak perlu dipandang tinggi. Mungkin sesetengah daripada kita hanya memilih profesion perguruan ini sebagai pilihan yang terakhir setelah gagal mendapatkan kerja yang diimpikan.
Buku yang dihasilkan ini dapat menaikkan lagi semangat dan memotivasikan kita dalam meneruskan profesion sebagai seorang pendidik. Tulisannya menerangkan kepada kita tugas sebenar seorang guru yang bukan hanya tertumpu kepada penerimaan ilmu yang berdasarkan kepada sukatan pelajaran sahaja. Tetapi ianya merangkumi peranan guru yang mendidik anak muridnya menjadi insan yang lebih sempurna dan berdisiplin.
Fokus utama buku ini adalah menumpukan kaedah yang diguna pakai oleh nabi dalam menyampaikan ilmu kepada para sahabat. Ianya dibuktikan dan dikuatkan dengan hadith-hadith nabi yang terdapat dalam buku ini. Jadi, sebagai bakal guru kita dapat mengaplikasikan segala teknik yang telah digunakan oleh nabi untuk mendidik anak murid kita.
Semoga buku ini dapat menjadi panduan kepada semua guru dan semoga dengan usaha sedikit ini akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT di akhirat kelak.