Monday, June 28, 2010

Sedarlah…kematian tepat pada masanya..

Detik kematian tidak dapat ditangguhkan atau dicepatkan walaupun sedetik. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Ali-Imran, ayat ke-145 yang bermaksud, “Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan Allah).”

Tiada seorang pun yang hidup di dunia ini mengetahui bila detik kematiannya. Walaupun dia seorang cerdik pandai yang mempunyai sijil master mahupun doctor falsafah, dia tidak mampu untuk mencipta formula bila dia akan bertemu dengan kematian. Hatta seorang doctor pakar sekalipun tidak dapat mencipta ubat atau teknik untuk melambatkan saat kematian seseorang.

Tersebutlah kisah seorang menteri di zaman Nabi Daud AS bernama Jalil al-Qadri. Selepas Nabi Daud AS meninggal, dia menjadi menteri kepada Nabi Sulaiman bin Daud AS.
Di suatu pagi, Nabi Sulaiman mengadakan majlis bersama menteri ini. kemudian seorang lelaki masuk memberi salam dan berbisik sesuatu ke telinga Nabi Sulaiman AS. Lelaki ini memandang tajam kepada Jalil sehingga dia ketakutan.

Ketika lelaki itu keluar dari majlis, menteri bertanya kepada Nabi Sulaiman, “Wahai Nabi Allah, siapa lelaki yang baru keluar tadi? Pandangan matanya membuatku takut.”
Nabi Sulaiman AS menjawab, “Ia adalah malaikat maut yang menjelma sebagai manusia. Ia mendatangiku.” Ketika itu gementarlah menteri itu dan menangis. Dia berkata kepada Nabi Sulaiman AS, “Wahai Nabi Allah, demi Allah aku memohon kepadamu agar kau perintahkan angin bertiup membawaku ke tempat yang paling jauh, ke India.”

Nabi Sulaiman memenuhi permintaannya. Menteri itu pun terbang ditiup angin. Keesokan harinya, malaikat maut datang kembali menemui Nabi Sulaiman sebagaimana kelmarin. Nabi Sulaiman AS berkata, “Kelmarin kau telah membuat sahabatku gementar. Mengapa kau memandangnya begitu tajam?”

Malaikat itu berkata, “Wahai Nabi Allah, aku mendatangimu di pagi hari. Aku terkejut mengetahui orang itu masih bersamamu di sini, padahal Allah telah memerintahkan aku mencabut nyawanya selepas Zuhur di India.”

“Lalu apa yang kau lakukan?” tanya Nabi Sulaiman. “Aku pergi ke tempat yang Allah perintahkan aku untuk mencabut nyawanya di sana. Ternyata aku dapati dia menungguku, lalu aku cabut nyawanya, “ jawab malaikat itu.

Allah berfirman dalam surah al-Jumu’ah yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri itu tetaplah ia akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).”



Kematian adalah sesuatu yang pasti akan menimpa kepada semua makhluk ciptaan Allah. Kita tidak dapat mengelak untuk menemuinya walau dengan cara apa sekalipun. Pastinya maut akan menjemput kita sepertimana yang telah ditetapkan di Luh Mahfuz kepada kita semua. Perlu diingat kita semua adalah pemilik sebenar kematian. Bersedialah menghadapinya kerana ianya akan datang menamui kita tidak kira masa, dan tidak menunggu sama ada kita sudah bersedia atau belum.

Sunday, June 27, 2010

Islam Agama Keganasan?

Sejak kebelakangan ini kita dikejutkan dengan kewujudan kembali Jama’ah Islamiyah (JI) di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia. Malangnya, penyebaran maklumat ini langsung tidak mempunyai bukti yang kukuh oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuktikan kegiatan JI memang benar-benar wujud di IPTA.

Menurut pihak berkuasa, JI sedang merancang untuk mengebom dua buah tempat ibadat agama Hindu dan Buddha di Selangor dan juga di Pulau Pinang. Adakah kenyataan yang tidak berasas dan mempunyai bukti yang kukuh ini perlu keluar dari pihak yang sepatutnya menjaga ketenteraman masyarakat di negara kita? Pada saat ini, semua agama bukan Islam memandang tinggi pada agama Islam dan percaya Islam adalah agama yang selamat untuk semua kaum. Mengapa kita perlu menjatuhkan kepercayaan mereka di saat mereka memberikan kepercayaan kepada agama kita?

Kini, penganut agama bukan Islam memandang serong terhadap agama Islam disebabkan kenyataan yang tidak berasas tersebut. Ianya hanya sekadar mencambahkan fahaman Islamophobia di kalangan orang bukan Islam, iaitu perasaan takut kepada Islam yang dipelopor oleh Barat sejak peristiwa pengeboman World Trade Center (WTC). Sepatutnya kita jangan mengikut jejak langkah Barat atau Zionis yang sengaja mereka-reka cerita untuk menakutkan orang lain kepada Islam.

Tindakan yang dilakukan oleh sesetengah pihak di Malaysia menampakkan persamaan seperti mana yang dilakukan oleh Barat dan Zionis. Barat terutamanya US mengatakan pejuang Islam di Iraq adalah pengganas sedangkan tentera US yang menyerang Iraq adalah tentera pengaman antarabangsa. Zionis juga menyifatkan pejuang Briged al-Qassam yang menjaga kedaulatan bumi Palestin adalah pengganas sedangkan tentera zionis yang merampas bumi Palestin disifatkan sebagai tentera yang menjaga keamanan. Boleh diterima akalkah kenyataan dangkal sedemikian bagi kita manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras? Jadi, bagi kita yang mengaku Islam sebagai agama yang mulia mengapa perlu menuruti jejak langkah golongan kuffar yang jelas menentang Islam.

Lebih mengejutkan lagi tuduhan yang dilemparkan oleh Timbalan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Ust Zamihan yang menuduh beberapa tokoh agama tanah air terlibat dengan JI. Tuduhan ini dilemparkan oleh beliau di hadapan menteri, timbalan menteri dan TNC-TNC dari seluruh negara bertempat di Bukit Aman bertarikh 22 Jun 2010. Antara tokoh agama tersebut ialah bekas mufti Perlis iaitu Dr Asri Zainal Abidin, Dr Juanda Jaya yang merupakan Mufti Perlis dan presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) iaitu TG Abd Hadi Awang. Kesemua mereka merupakan individu yang berpengaruh dan terkenal dalam penglibatan dakwah di Malaysia.

Tidakkah beliau teringat pada tahun 2007 TG Abd Hadi memenangi samannya ke atas akhbar ternama Britain iaitu Daily Mirror atas tuduhan akhbar tersebut yang mengaitkan TG Abd Hadi sebagai pemimpin nombor 3 al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamo Bay. Mengapa masih lagi mahu mengulangi tuduhan yang sama ke atas pemimpin utama pertubuhan Islam semata-mata untuk menjaga kepentingan politik pihak tertentu? Jika benar TG Abd Hadi seorang pengganas, nescaya PAS yang dikepalai olehnya tidak memilih jalan demokrasi tetapi memilih jalan mengangkat senjata untuk menggulingkan kerajaan sedia ada.

Di Malaysia kita boleh menilai siapa sebenarnya pengganas. Ianya boleh diperhatikan semasa perhimpunan aman yang dijalankan oleh sesebuah kumpulan untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan hati kepada sesuatu dasar kerajaan. Kumpulan tersebut yang berarak secara aman, tidak membawa sebarang senjata dan tidak melakukan sebarang kerosakan diperlakukan seperti binatang oleh pihak berkuasa atas arahan pihak atasan. Mereka ditembak dengan gas pemedih mata, diterajang, dipukul dengan cota, ditangkap dan pelbagai lagi tindakan liar oleh pihak berkuasa. Adakah tindakan ganas sedemikian wajar dilakukan oleh pihak yang sepatutnya menjaga keamanan semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik? Jadi, di sini siapa yang sepatutnya digelarkan sebagai pengganas?



Yang menjadi mangsa dalam isu ini adalah pertubuhan Islam IPTA di seluruh Malaysia. Gerakan dan aktiviti pertubuhan ini pasti akan menjadi intipan TNC yang telah didoktrinkan oleh Ust Zamihan dan juga KDN. Mereka sengaja menimbulkan isu ini dan seterusnya mengaitkan dengan IPTA kerana mereka tahu kebanyakkan kader Islam telah dan akan ditarbiyahkan di kampus-kampus. Ianya dibuktikan dengan sejarah perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia antaranya Ikhwanul Muslimin, HAMAS, dan PKS yang mentarbiah pejuang-pejuang Islam dengan menggunakan wadah kampus. Ternyata ianya memberi kesan yang besar kepada gerakan Islam itu sendiri.

Inilah yang ditakuti oleh golongan yang benci melihat sinar Islam yang kian bercahaya di bumi Malaysia ini. Justeru itu, mereka melemparkan pelbagai tuduhan untuk mengelakkan daripada pertubuhan Islam di kampus dijadikan sebagai cara untuk mentarbiyah seberapa ramai kader untuk gerakan Islam.

Persoalannya di sini, mengapa isu pengganas dimainkan di seluruh kampus IPTA. Sedangkan pelbagai lagi masalah yang lebih besar telah melanda suasana dan mahasiswa IPTA. Masalah keruntuhan akhlak yang begitu meruncing dalam kalangan mahasiswa seperti pergaulan bebas, sumbang mahram, zina, pengambilan pil kuda, dan pelbagai lagi adalah permasalah utama yang sepatutnya dititik beratkan oleh pihak berkuasa khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Kita sering melihat di dada-dada akhbar yang melaporkan berita mahasiswi yang menjadi pelacur VIP, kes pembuangan bayi dan pelbagai lagi berita yang menyedihkan. Pergaulan bebas di IPTA yang akhirnya menyebabkan kes pembuangan bayi meningkat perlu dipandang serius oleh semua IPTA.



Masalah ini mempunyai bukti yang kukuh yang menunjukkan ianya dilakukan oleh kebanyakan mahasiswa. Ini yang sepatutnya diberi perhatian oleh kementerian, bukan isu pengganas yang hanya bersifat polimik dan tidak mempunyai sebarang bukti yang kukuh. Pembinaan generasi yang berilmu dan juga berakhlak mulia sangat penting untuk memastikan negara kita dipimpin oleh generasi yang benar-benar mantap dari segi akidah dan akhlak agar dasar negara tidak lari dari syariat Islam.

Kesimpulannya, sebagai umat yang dikurniakan akal fikiran, kita perlu menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia agar kesemua rakyat menerima kesejahteraan daripada Islam itu sendiri. Sebaliknya, kita perlu mengelak daripada mencetuskan prasangka buruk penganut agama lain terhadap agama Islam untuk mengelakkan daripada merugikan Islam itu sendiri.

*Segala komentar penulis perlu dinilai secara positif dan elakkan fahaman politik sempit agar mesej benar-benar sampai kepada pembaca.

Sunday, June 20, 2010

UPSR dan PMR akan dimansuhkan?


MUAR 20 Jun – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mungkin dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik kepada pelajar.

Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan kini sedang mengkaji dengan teliti cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Di Malaysia, kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Umumnya sepanjang 11 tahun murid masuk ke sekolah ada tiga peperiksaan awam. Ada pihak berpendapat ini menyebabkan cara pembelajaran lebih menjurus usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam.

“Maka sebab itu di Malaysia selain di sekolah, ibu bapa hantar anak ke tuisyen sebab hendak keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM.

“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelaksanaan UPSR dan PMR adalah baik namun disebabkan terlalu menjurus kepada peperiksaan, tujuan utama menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba pengetahuan secara holistik tidak tercapai sepenuhnya.

Beliau berkata, disebabkan terlalu berorientasikan peperiksaan, fokus utama guru dan pelajar tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.

“Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tidak pakai lagi PMR dan UPSR. Orang (majikan) tidak tanya pun berapa ‘A’ yang dapat dalam PMR dan UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan di peringkat universiti saja orang ambil kira,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebanyakan negara lain hanya mempraktikkan satu peperiksaan awam sepanjang persekolahan dan contoh itu boleh diambil Malaysia dengan memberi lebih penekanan kepada penilaian di peringkat sekolah.

“Saya sendiri berpendapat adalah lebih wajar kalau perlu adanya penilaian, kita buat di peringkat yang terakhir, selepas belajar 11 tahun (di sekolah rendah dan menengah) sebelum masuk universiti.

“Saya mengajak golongan pakar pendidikan dan masyarakat untuk memberi respons kerana kita belum ada keputusan tetapi banyak pihak mencadangkan untuk mengubah sistem kepada hanya satu sahaja peperiksaan awam,” katanya.

Namun menurut Muhyiddin, sekiranya peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan, ia hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Tegas beliau, banyak perkara harus diteliti terlebih dahulu dan penstrukturan semula perlu dilakukan bagi membolehkan keputusan penilaian di peringkat sekolah dapat diguna pakai oleh pelajar untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

“Ini ada hubung kait dengan rombakan sistem pendidikan negara untuk mengubah bentuk kurikulum supaya lebih banyak masa terluang untuk fokus kepada subjek-subjek utama serta aktiviti sukan.

“Di peringkat kementerian, kita sedang meneliti dan memerlukan input dari warga akademik, pendidik dan masyarakat. Debat sihat dalam media juga bagus untuk perkara ini,” katanya.


-sumber dari Utusan-


sebagai bakal guru, apakah pandangan anda mengenai perkara ini? adakah selama ini kita hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan dunia atau sebagai bekalan untuk menuju ke peperiksaan akhirat?


tepuk dada tanya Iman..

Friday, June 18, 2010

Info Palestin


salam perjuangan buat sahabat2 IPG. dalam entri kali ini halaqaH ipg cuba berkongsi dengan sahabat2 sekalian satu website yg sangat berguna buat kita,umat Islam yang sentiasa mengambil berat tentang keadaan saudara mara kita di Palestin khususnya. Harap sahabat2 dapat layari website ini, http://palestinkini.info/. Pihak kami ada menyediakan pautan ke laman ini pada bahagian info terkini. Harap Maklum

Monday, June 14, 2010

Takziah


iNNaliLLahi wa iNNa iLaihi raji`un...

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.


Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.




Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.


Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.


Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.


Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.


Jenazah beliau masih lagi di hospital kini.


Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.


"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.


Sebelum timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.


Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Mujahdi Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).


Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.


Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 9.00 pagi esok di Surau Taman Melewar.

-sumber berita harakahdaily-

Thursday, June 3, 2010

Tuntutan Berjama’ah atau Berorganisasi

Setiap orang Islam wajib menceburkan diri dalam jama’ah tidak kiralah sama ada solat berjama’ah di masjid, bergaul dengan orang ramai, dan bekerja di dalam organisasi Islam. Tidak ada pengecualian terhadap orang Islam untuk tidak terlibat dalam jama’ah. Hal ini bertepatan dengan hadis nabi SAW yang bermaksud, “Wajiblah kamu bersama-sama jama’ah Muslimin dan pemimpin mereka.”

Jama’ah mengikut pengertian bahasa adalah pertubuhan, kumpulan atau organisasi. Mengikut maksud syara’ pula adalah suatu pertubuhan yang perlu disertai oleh orang Islam untuk mengelak daripada kesesatan. Di Malaysia ini kita boleh perhatikan dan menilai jama’ah mana yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah untuk mengelakkan kita daripada tersesat. Adakah kumpulan yang sedang khayal berjoget di pusat hiburan atau sekumpulan orang yang sedang merasai ‘dunianya’ di bawah jambatan dan di lorong-lorong gelap yang perlu kita sertai? Semestinya ia bertentangan dengan konsep jama’ah yang dinyatakan sebentar tadi kerana kita akan jauh tersesat.

Kebiasaannya, saban hari kita pasti akan berada dalam jama’ah iaitu solat berjama’ah di masjid atau duduk dalam majlis ilmu. Ini adalah contoh konsep berjama’ah yang paling mudah difahami. Tetapi ianya bukan sekadar terhenti di situ sahaja. Setiap individu Muslim perlu menceburkan diri dalam gerakan atau pertubuhan Islam yang mendokong asas-asas Islam yang tidak terikat dengan perkara ibadah sahaja tetapi bersifat menyeluruh dalam kesemua aspek kehidupan. Ini adalah erti sebenar konsep jama’ah Islam yang melakukan ma’aruf dan mencegah kemungkaran.

Selaras dengan firman Allah SWT dalam surah as-Saff, ayat ke-14 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong) Nabi Isa Ibnu Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalanan) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?” Penyokong-penyokong Nabi Isa menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari Kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi tidak beriman. Lalu Kami memberikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

Islam juga melarang umatnya daripada tidak terlibat dalam jama’ah atau lari meninggalkan jama’ah. Larangan ini selaras dengan hadis nabi yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi, an-Nasa’i dan Ibn Hibban yang bermaksud, “Barangsiapa yang memisahkan dirinya dari jama’ah sekadar sejengkal, sesungguhnya ia telah menanggalkan Islam dari lehernya, sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menyangka dirinya seorang Islam.”

Begitulah wajibnya perintah berjama’ah yang perlu dipatuhi oleh setiap orang Islam menurut al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, walaupun kita sebagai seorang remaja atau pelajar, kita perlu terlibat dalam jama’ah atau organisasi Islam yang merupakan tanggungjawab kita semusa sebagai umat Islam. Tidak ada alasan yang boleh diberikan untuk tidak terlibat dengan jama’ah. Serangan pemikiran yang dilakukan oleh Yahudi hari ini telah berjaya menarik perhatian umat Islam khususnya remaja untuk cenderung menyukai hiburan dan sukan, seterusnya melupakan tugas utama iaitu menyertai jama’ah Islam.

Jama’ah yang dipilih juga perlulah mempunyai ciri-ciri untuk menegakkan Islam secara keseluruhannya, bukan tertakluk kepada konsep ibadah sahaja. Ciri-ciri jama’ah Islam akan diterangkan pada posting akan datang.