Sunday, June 27, 2010

Islam Agama Keganasan?

Sejak kebelakangan ini kita dikejutkan dengan kewujudan kembali Jama’ah Islamiyah (JI) di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia. Malangnya, penyebaran maklumat ini langsung tidak mempunyai bukti yang kukuh oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuktikan kegiatan JI memang benar-benar wujud di IPTA.

Menurut pihak berkuasa, JI sedang merancang untuk mengebom dua buah tempat ibadat agama Hindu dan Buddha di Selangor dan juga di Pulau Pinang. Adakah kenyataan yang tidak berasas dan mempunyai bukti yang kukuh ini perlu keluar dari pihak yang sepatutnya menjaga ketenteraman masyarakat di negara kita? Pada saat ini, semua agama bukan Islam memandang tinggi pada agama Islam dan percaya Islam adalah agama yang selamat untuk semua kaum. Mengapa kita perlu menjatuhkan kepercayaan mereka di saat mereka memberikan kepercayaan kepada agama kita?

Kini, penganut agama bukan Islam memandang serong terhadap agama Islam disebabkan kenyataan yang tidak berasas tersebut. Ianya hanya sekadar mencambahkan fahaman Islamophobia di kalangan orang bukan Islam, iaitu perasaan takut kepada Islam yang dipelopor oleh Barat sejak peristiwa pengeboman World Trade Center (WTC). Sepatutnya kita jangan mengikut jejak langkah Barat atau Zionis yang sengaja mereka-reka cerita untuk menakutkan orang lain kepada Islam.

Tindakan yang dilakukan oleh sesetengah pihak di Malaysia menampakkan persamaan seperti mana yang dilakukan oleh Barat dan Zionis. Barat terutamanya US mengatakan pejuang Islam di Iraq adalah pengganas sedangkan tentera US yang menyerang Iraq adalah tentera pengaman antarabangsa. Zionis juga menyifatkan pejuang Briged al-Qassam yang menjaga kedaulatan bumi Palestin adalah pengganas sedangkan tentera zionis yang merampas bumi Palestin disifatkan sebagai tentera yang menjaga keamanan. Boleh diterima akalkah kenyataan dangkal sedemikian bagi kita manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras? Jadi, bagi kita yang mengaku Islam sebagai agama yang mulia mengapa perlu menuruti jejak langkah golongan kuffar yang jelas menentang Islam.

Lebih mengejutkan lagi tuduhan yang dilemparkan oleh Timbalan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Ust Zamihan yang menuduh beberapa tokoh agama tanah air terlibat dengan JI. Tuduhan ini dilemparkan oleh beliau di hadapan menteri, timbalan menteri dan TNC-TNC dari seluruh negara bertempat di Bukit Aman bertarikh 22 Jun 2010. Antara tokoh agama tersebut ialah bekas mufti Perlis iaitu Dr Asri Zainal Abidin, Dr Juanda Jaya yang merupakan Mufti Perlis dan presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) iaitu TG Abd Hadi Awang. Kesemua mereka merupakan individu yang berpengaruh dan terkenal dalam penglibatan dakwah di Malaysia.

Tidakkah beliau teringat pada tahun 2007 TG Abd Hadi memenangi samannya ke atas akhbar ternama Britain iaitu Daily Mirror atas tuduhan akhbar tersebut yang mengaitkan TG Abd Hadi sebagai pemimpin nombor 3 al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamo Bay. Mengapa masih lagi mahu mengulangi tuduhan yang sama ke atas pemimpin utama pertubuhan Islam semata-mata untuk menjaga kepentingan politik pihak tertentu? Jika benar TG Abd Hadi seorang pengganas, nescaya PAS yang dikepalai olehnya tidak memilih jalan demokrasi tetapi memilih jalan mengangkat senjata untuk menggulingkan kerajaan sedia ada.

Di Malaysia kita boleh menilai siapa sebenarnya pengganas. Ianya boleh diperhatikan semasa perhimpunan aman yang dijalankan oleh sesebuah kumpulan untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan hati kepada sesuatu dasar kerajaan. Kumpulan tersebut yang berarak secara aman, tidak membawa sebarang senjata dan tidak melakukan sebarang kerosakan diperlakukan seperti binatang oleh pihak berkuasa atas arahan pihak atasan. Mereka ditembak dengan gas pemedih mata, diterajang, dipukul dengan cota, ditangkap dan pelbagai lagi tindakan liar oleh pihak berkuasa. Adakah tindakan ganas sedemikian wajar dilakukan oleh pihak yang sepatutnya menjaga keamanan semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik? Jadi, di sini siapa yang sepatutnya digelarkan sebagai pengganas?



Yang menjadi mangsa dalam isu ini adalah pertubuhan Islam IPTA di seluruh Malaysia. Gerakan dan aktiviti pertubuhan ini pasti akan menjadi intipan TNC yang telah didoktrinkan oleh Ust Zamihan dan juga KDN. Mereka sengaja menimbulkan isu ini dan seterusnya mengaitkan dengan IPTA kerana mereka tahu kebanyakkan kader Islam telah dan akan ditarbiyahkan di kampus-kampus. Ianya dibuktikan dengan sejarah perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia antaranya Ikhwanul Muslimin, HAMAS, dan PKS yang mentarbiah pejuang-pejuang Islam dengan menggunakan wadah kampus. Ternyata ianya memberi kesan yang besar kepada gerakan Islam itu sendiri.

Inilah yang ditakuti oleh golongan yang benci melihat sinar Islam yang kian bercahaya di bumi Malaysia ini. Justeru itu, mereka melemparkan pelbagai tuduhan untuk mengelakkan daripada pertubuhan Islam di kampus dijadikan sebagai cara untuk mentarbiyah seberapa ramai kader untuk gerakan Islam.

Persoalannya di sini, mengapa isu pengganas dimainkan di seluruh kampus IPTA. Sedangkan pelbagai lagi masalah yang lebih besar telah melanda suasana dan mahasiswa IPTA. Masalah keruntuhan akhlak yang begitu meruncing dalam kalangan mahasiswa seperti pergaulan bebas, sumbang mahram, zina, pengambilan pil kuda, dan pelbagai lagi adalah permasalah utama yang sepatutnya dititik beratkan oleh pihak berkuasa khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Kita sering melihat di dada-dada akhbar yang melaporkan berita mahasiswi yang menjadi pelacur VIP, kes pembuangan bayi dan pelbagai lagi berita yang menyedihkan. Pergaulan bebas di IPTA yang akhirnya menyebabkan kes pembuangan bayi meningkat perlu dipandang serius oleh semua IPTA.



Masalah ini mempunyai bukti yang kukuh yang menunjukkan ianya dilakukan oleh kebanyakan mahasiswa. Ini yang sepatutnya diberi perhatian oleh kementerian, bukan isu pengganas yang hanya bersifat polimik dan tidak mempunyai sebarang bukti yang kukuh. Pembinaan generasi yang berilmu dan juga berakhlak mulia sangat penting untuk memastikan negara kita dipimpin oleh generasi yang benar-benar mantap dari segi akidah dan akhlak agar dasar negara tidak lari dari syariat Islam.

Kesimpulannya, sebagai umat yang dikurniakan akal fikiran, kita perlu menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia agar kesemua rakyat menerima kesejahteraan daripada Islam itu sendiri. Sebaliknya, kita perlu mengelak daripada mencetuskan prasangka buruk penganut agama lain terhadap agama Islam untuk mengelakkan daripada merugikan Islam itu sendiri.

*Segala komentar penulis perlu dinilai secara positif dan elakkan fahaman politik sempit agar mesej benar-benar sampai kepada pembaca.

No comments:

Post a Comment