Showing posts with label Makluman. Show all posts
Showing posts with label Makluman. Show all posts

Friday, June 18, 2010

Info Palestin


salam perjuangan buat sahabat2 IPG. dalam entri kali ini halaqaH ipg cuba berkongsi dengan sahabat2 sekalian satu website yg sangat berguna buat kita,umat Islam yang sentiasa mengambil berat tentang keadaan saudara mara kita di Palestin khususnya. Harap sahabat2 dapat layari website ini, http://palestinkini.info/. Pihak kami ada menyediakan pautan ke laman ini pada bahagian info terkini. Harap Maklum

Monday, June 14, 2010

Takziah


iNNaliLLahi wa iNNa iLaihi raji`un...

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.


Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.




Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.


Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.


Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.


Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.


Jenazah beliau masih lagi di hospital kini.


Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.


"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.


Sebelum timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.


Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Mujahdi Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).


Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.


Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 9.00 pagi esok di Surau Taman Melewar.

-sumber berita harakahdaily-

Friday, May 21, 2010

Kepada Semua Pelajar IPG

Selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar IPG di seluruh Malaysia. Semoga segala ilmu yang kita perolehi di bilik kuliah akan dimanfaatkan sepenuhnya ketika menjawab soalan peperiksaan kelak. Gunakan masa dengan sebaiknya untuk mengulangkaji agar kita benar-benar bersedia menghadapi peperiksaan. Tingkatkan masa beribadah dengan Allah SWT dan perbanyakkan doa kepadaNya agar dipermudahkan segala urusan kita.

Dimaklumkan juga blog HALAQAH IPG akan berhenti rehat buat seketika waktu sehingga waktu peperiksaan tamat..InsyaAllah.

Semoga berjaya kepada semua sahabat dan sahabiah sekalian.

Monday, May 10, 2010

Konvensyen Gerakan Islam Dan Persaingan Demokrasi

Tarikh : 22 Mei 2010
Tempat : Hotel D'Palma Ampang
Masa : 8.00am hingga 3.30pm
Yuran : RM30 (makan dan kertas kerja)
Anjuran : Lajnah Dakwah dan Pembela Islam DPPP

Penampilan khas tokoh gerakan Islam daripada PAS, Ikhwanul Muslimin, Parti Sejahtera (PKS) Indonesia serta tokoh akademik yang membuat pengkhususan dalam bidang gerakan Islam.

Menurut Pengerusi Lujnah Dakwah DPPP, Ustaz Riduan Mohamad Nor, matlamat konvensyen untuk menganalisis kekuatan dan kelemahan gerakan Islam dalam persaingan demokrasi abad ke 20 hingga 21. Beliau juga merupakan penulis buku Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden.

Sahabat sekalian dijemput hadir ke program ini untuk membolehkan kita mendapat penerangan yang jelas mengenai gerakan Islam di seluruh dunia.

Segala pertanyaan hubungi Nik 019-3238455.

Thursday, May 6, 2010

Perhimpunan Perdana Palestin


Dijemput kepada semua sahabat yang berkesempatan untuk hadir ke program ini supaya turut serta memeriahkan progrma ini dan tunjukkan rasa prihatin kita terhadap nasib saudara kita di Palestin.

Pesanan untuk Umat Islam di Malaysia

Ini adalah pesanan Dr. Khalil Ismail al-Hayya mewakili HAMAS di Palestin untuk umat Islam di Malaysia. Pesanan ini diterjemahkan oleh saudara Maszlee Malik atas permintaan Dr. Khalil.

Alhamdulillah, Allah memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami dipilih oleh Allah bagi mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh Allah dan mempertahankan Masjid al-Aqsa. Kami juga dipilih oleh Allah bagi mewakili umat Islam di seluruh dunia supaya menjadi benteng pertahanan kepada al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid suci ketiga. Kami juga dipilih oleh Allah supaya menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan berbanding kehidupan dunia.

Selama lebih 60 tahun kami hidup di medan pertempuran. Selama tempoh itu juga kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa? Hanya kerana kami mengucapkan la ilaha illah dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami.
Pelbagai bentuk kesengsaraan sudah dilalui oleh rakyat Palestin. Pengusiran dari rumah, kampung halaman dan juga tanah air. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan pelbagai perbuatan tidak bertamadun yang dapat disenaraikan, sudah kami lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited supaya terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka. la adalah jihad, kemuliaan dan bukti yang ingin kami bawa sebagai mahar ke syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami ini.

Semasa detik-detik awal penjajahan, kami, saudara anda daripada gerakan Islam menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan Islam dibantai penjajah. Walau bagaimanapun, pembantaian itu tidak cukup bagi melemahkan kami. Sehingga zaman Jamal Abdul Naser, sepertimana saudara-saudara kita di Mesir dibantai, kaki juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh itu, gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kami menumpukan usaha membina semula struktur perjuangan. Usaha pendidikan, dakwah, tarbiah dan kebajikan menjadi agenda utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sehingga pada pertengahan 80-an apabila arus sekular mula jemu dengan perjuangan. Semasa arus sekular yang asalnya memandu perjuangan rakyat Palestin mula lesu, kaki mula memunculkan diri sebagai peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami berteraskan Islam Gan kaki membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar mahu memerdekakan sekeping tanah, tetapi bagi memandu kebangkitan semula umat Islam dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.

Semenjak hari pertama penubuhannya, HAMAS menjadikan jihad sebagai jalan utama bagi memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan. HAMAS juga memberikan nyawa ahli-ahli mereka bagi tujuan itu dan berganti pada rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam supaya terus komited dengan perjuangan kami. HAMAS iuga berjuang hendak memerdekakan Masjid al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami.

Selepas hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasil¬nya kepada perjuangan HAMAS. Kami diberi kepercaya¬an oleh rakyat bagi memerintah mereka. Kemenangan ini walaupun indah, namun ia adalah ujian yang getir bagi kami. Kemenangan itu adalah era baru perjuangan HAMAS. Kami terpaksa menambahkan satu lagi ruang dalam perjuangan kami iaitu politik pemerintah. Semakin bertambah beban, semakin tinggi pengorbanan kami.

Buat umat Islam di Malaysia, kalian adalah saudara kami yang paling hampir di Malaysia. Hati-hati kita sudah diikat dengan fikrah dan akidah yang sama. Kita dihimpunkan dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita ditakdirkan bersama dalam perjuangan dengan manhaj atau tujuan yang sama. Kami adalah wakil saudara di Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan saudara. Pemerintahan kami adalah pemerintah saudara. Kerajaan HAMAS adalah kerajaan umat Islam dan hadiah buat perjuangan pencinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah saudara sedar perkara ini? Jika saudara tidak sedarkan perkara ini, siapa lagi yang akan menyedarinya?

Umat Islam di Malaysia sekalian, menjadi memerintah tidak mudah. Apatah lagi memerintah dalam fasa penjajahan dan peperangan. Ditambah pula apabila memerintah hanya memerintah sebuah negara yang tidad berdaulat dan dinafikan kedaulatannya serta memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan penjajah Zionis yang didokongi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Manakala pemerintahan itu sebenarnya mewarisi pemerintah sebelumnya yang meninggalkan beban hutang sebanyak USD3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti kerajaan yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang diterajui oleh HAMAS di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili saudara semua di seluruh dunia.

Sehingga kini, para pegawai kerajaan, termasuk para menteri, tidak menerima gaji semenjak tiga bulan yang lalu. Tahap pengangguran mencapai 31 peratus di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan tekanan dan petrol sernakin berkurangan. Ubat-ubatan di hospital semakin berkurangan. Baru-baru ini, tiga orang bayi meninggal di hospital berdekatan Gaza kerana tiada ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan kerana kehabisan kertas di sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing Barat. Malah persidangan parlimen (Majlis Legislatif) kami di Gaza hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.

Mengapa ini semua berlaku? la kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis, AS dan juga EU. Tekanan yang dikenakan hanya kerana rakyat Palestin memilih calon yang rakyat inginkan dalam pilihan raya yang lalu. Tekanan dikenakan kerana kami enggan mematuhi ugutan mereka supaya mengiktiraf penjajah Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah tekanan ini akan berakhir?

Wang hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD55 juta sebulan tidak pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin. Rejim Zionis mengambilnya dan mereka tidak pernah dipaksa supaya memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa yang dapat memaksa rejim Zionis supaya memulangkannya. Mereka juga menutup laluan darat, dan laut Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian yang dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua. Kami yakin, saudara seIslam kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seakidah kami dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seakidah kami di seluruh dunia dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak bergantung pada bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi daripada rejim Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami? Di manakah mereka di saat kami memerlukan mereka?

Wahai umat Islam di Malaysia! Kami mengharapkan anda mengepalai kempen menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunyai dua pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel bagi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk pada tekanan. Kami memilih pilihan yang kedua. Kami akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah dan tunduk pada tekanan. Malangnya rakyat hanya mampu bertahan selama enam bulan. Setiap hari rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan dan menggesa kerajaan HAMAS tidak tunduk pada tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila? Perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan saudara bagi melakukannya.

Sanggupkah saudara melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?
Umat Islam di Malaysia sekalian, kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan sehingga setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prinsip Islam terus dijulang. Namun, kami memerlukan sokongan dan bantuan kalian.

Jika kami gugur syahid manakala saudara sekalian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut daripada Allah atas kelembapan saudara semua. Kami tidak akan reda pada kelesuan dan kebisuan kalian. Kami tidak akan memaafkannya.

Umat Islam di Malaysia, kami mengharapkan saudara bersikap proaktif. Kami hanya mengharapkan saudara dapat menyumbang USD1 (bersamaan RM3.60) setahun bagi me¬nanggung kesengsaraan rakyat Palestin. Kami juga mengharap¬kan saudara melobi kerajaan saudara yang menjadi Pengerusi OIC supaya melakukan sesuatu.
Kami juga berharap saudara melakukan kempen kesedaran dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam supaya turut membantu rakyat Palestin.

Kami juga ingin melihat saudara menjadi juara di peringkat antarabangsa dalam kempen kesedaran ini. Banjiri media saudara dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan mereka ke arah menyokong perjuangan rakyat Palestin. Kepalailah usaha serantau bagi tujuan itu, saudaralah harapan kami.

Akhir sekali, kami mengharapkan saudara tidak melupakan kami dalam doa-doa saudara sekalian. Berdoalah supaya kami tetap dalam perjuangan kami dan dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga supaya kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid al-Aqsa suatu hari nanti. Pada masa itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini.

Allahu akbar!

Saudaramu,
Khalil Ismail al-Hayya
Ketua WHIP HAMAS di Majlis Legislatif Palestin, 14 Mei 2006.

Pesanan ini dipetik daripada buku Hamas: Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis tulisan Maszlee Malik. Pembaca boleh dapatkan buku ini di pasaran untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pertubuhan HAMAS dan usaha yang dilakukan oleh gerakan ini untuk memperjuangkan isu Palestin. Buku ini juga dapat menjernihkan pandangan yang mengatakan bahawa HAMAS adalah gerakan pengganas yang telah didoktrinkan oleh zionis kepada kita semua.

Sunday, February 1, 2009

Pengumuman rasmi

Dengan ini, blog Ikatan Guru Pelatih Islam Se-Malaysia [ IGPIS ] dengan secara rasminya telah menukar nama kepada HALAQAH IPG.

Kepada seluruh mahasisiwa Islam di IPG yang sentiasa menyokong HALAQAH IPG diucapakan ribuan terima kasih. Kepada anda semua yang mempunyai link dengan blog ini bolehlah mengubah nama baru blog ini.

Semoga dengan kewujudan HALAQAH IPG dapat memberikan impak yang besar dalam memperkukuhkan lagi gerakan organisasi mahasiswa Islam di setiap IPG.

Kearah melahirkan generasi Mahasiswa IPG yang menerapkan pendidikan Rabbani

Tuesday, January 27, 2009

Tahniah kerana IPG yang menganjurkan Road Show Palestin

Pihak Ikatan Guru Pelatih Islam Se-Malaysia (IGPIS) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada IPGM seluruh negara yang telah menganjurkan Road Show Palestin di kampus masing-masing.

Semoga segala aktiviti dan kutipan derma yang dijalankan sepanjang Road Show Palestin tersebut dapat memberikan 1001 manfaat khususnya kepada saudara seIslam kita di Palestin dan umat Islam seluruhnya.

Di sini pihak IGPIS berbesar hati untuk menyiarkan aktiviti-aktiviti Road Show Palestin yang telah dilaksanakan oleh beberapa IPG.

1- Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka.



Program Malam Freedom for Palestin
Tarikh : 16 Januari 2009 (Jumaat)
Tempat : Balai Islam Sayidatina Aisyah (BISA)
Masa : 9.15 - 11.00 malam
Tema : Hancur Israel, Selamatkan Palestin
Penyertaan : semua guru pelatih IPGM Kampus Perempuan Melayu
Anjuran : Biro Agama dan Dakwah dengan kerjasama Jawatankuasa BISA

2- Institut Perguruan Ipoh Perak



Kempen IPIP bersama Palestin
Tarikh : 15 dan 16 Januari 2009 (Khamis dan Jumaat)
Tempat : Dewan Seri Melati, Surau Al-Hidayah dan Tapak Perhimpunan IPIP
Tema : Peduli Palestin: Jangan Hanya Berdiam Diri!
Penyertaan : semua guru pelatih, pensyarah dan staf Insitut Perguruan Ipoh
Anjuran : Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPIP

3- Institut Perguruan Islam



Majlis MALAM UNTUKMU PALESTIN
Tarikh : 22 Januari 2009 (Khamis)
Tempat : Foyer Bangunan Pentadbiran IPIS
Penyertaan : semua guru pelatih IPIS
Anjuran : Biro Dakwah & Kerohanian IPIS dengan kerjasama Biro Pengurusan MAsjid, Biro HELWI JPP & Majlis Tarbiyah Nuqaba.

4- Institut Perguruan Kota Bharu



Hari Amal Palestin
Tarikh : 22 Januari 2009 (Khamis)
Tempat : Dewan Wawasan IPKB
Penyertaan : semua warga IPKB
Anjuran : Kelab Rakan Masjid IPKB


Pihak Ikatan Guru Pelatih Islam Se-Malaysia(IGPIS) juga turut mengucapkan tahniah kepada mana-mana program Road Show Palestin yang telah dianjurkan oleh IPG tetapi tidak dipaparkan di sini. Program Road Show Palestin yang dipaparkan di sini hanyalah program-program yang disiarkan dalam blog organisasi-organisasi para pelatih IPG.

Justeru, pihak IGPIS mengalu-alukan kepada mana-mana IPG yang telah telah menjalankan program-program Road Show Palestin tetapi tidak dipaparkan pada post kali ini supaya menyiarkan dalam blog masing-masing.

Insyallah, kami akan memaparkan aktiviti program yang telah anda jalankan di blog Ikatan Guru Pelatih Islam Se-Malaysia ini.

Guru Pelatih Islam Se-Malaysia Bersatu Membela Umat Islam Palestin!

Thursday, January 15, 2009

ROAD SHOW PALESTIN

Kepada semua organisasi pelatih muslim di KAMPUS IPG seluruh negara, anda diharap dapat menganjurkan ROAD SHOW PALESTIN di kampus masing-masing.

Objektif:

1-Tingkatkan kefahaman pelatih muslim hakikat pergolakan yang berlaku di Palestin

2-Timbulkan sensitiviti dan cakna pelatih muslim terhadap isu yang menimpa umat Islam kini.

3-Menyediakan ruang kepada pelatih muslim untuk menyumbangkan bantuan kepada umat Islam di Palestin melalui dana, sokongan moral, doa dan lain-lain.

Cadangan IGPIS:

Kepada mana-mana organisasi muslim di kampus-kampus IPG yang telah menganjurkannya, diharap dapat mengiklankan aktiviti yang telah dilaksanakan ke dalam blog masing-masing supaya idea tersebut dapat dijadikan rujukan oleh organisasi pelatih muslim yang lain.


Pihak IGPIS mengalu-alukan mana-mana organisasi pelatih muslim yang berminat untuk mengiklankan sebarang aktiviti yang telah dijalankan oleh mana-mana organisasi pelatih muslim di setiap IPG.

Friday, January 2, 2009

Sesi Kuliah 2009

Sesi kuliah bagi tahun 2009 akan bermula.
Pihak IGPIS mengucapkan selamat pulang ke IPG masing-masing.
Tanamkan azam yang tinggi dalam menuntut ilmu di samping melonjakkan lagi gerakan organisasi kita.
Diharapkan tahun ini lebih baik dari tahun lalu.
Bersamalah kita menjadi warga pendidik berjiwa Rabbani acuan Al-Quran!

Salam maal hijrah 1430H

Allah matlamat kita,
Rasul tauladan kita,
Al-Quran panduan hidup kita,
Jihad adalah jalan kita,
Syahid adalah cita-cita tertinggi kita!

Saturday, December 27, 2008

IGPIS rakamkan takziah atas pemergian Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman



IGPIS ingin merakamkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian pemerintah negeri yang berjiwa rakyat dan amat dihormati, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat pagi semalam.

Jenazah Almarhum dibawa Ke Seri Menanti dari Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban petang semalam untuk penghormatan terakhir oleh kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai mulai hari ini.

Istiadat pengebumian baginda akan diadakan esok (Isnin) selepas solat asar.

Almarhum Tuanku Ja'afar, 86, mangkat di hospital tersebut kira-kira 11.45 pagi semalam selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

Satu persidangan akan diadakan hari ini di antara Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Dato' Seri Mohamad Hasan untuk memilih pengganti Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan pada Isnin ini sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti