Saturday, September 24, 2011

:: http://www.malaysiakini.com/news/176760 ::

Sep 24, 11 4:17pm

PM: Hudud tidak akan dilaksanakan di M'sia


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.


"Undang-Undang hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.

"Jika ditanya para ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah.

Najib berkata kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip "Maqasid Syariah" iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dan mampu kita pertahankan," kata Najib.

Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.

Perdana menteri juga menyifatkan langkah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.

Beliau berkata taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini ekoran kenyataan timbalan presiden parti itu Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.


"Saya nampak ini taktikal, sebab parti PAS sudah menerima pukulan cukup hebat ekoran daripada kenyataan Mohamad Sabu yang menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit Kepong dahulu. Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam kalangan orang Melayu.

"Mereka sedar bahawa sokongan kepada mereka dah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba timbulkan isu hudud ini dengan harapan bahawa isu Mohamad Sabu itu akan tenggelam dan cuba muncul sebagai parti memperjuangkan Hudud dan menawan hati orang Melayu," katanya.

Najib berkata isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.

"Dalam soal undang-undang hudud ini, telah timbul satu keadaan di mana perbezaan ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat.

"Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi.

"Walaupun mereka cuba mengaburi mata rakyat, tetapi lambat laun ia akan timbul bukan sahaja daripada segi hudud tetapi juga pembahagian jawatan dalam "Kabinet Bayangan" mereka. Mereka belum berani merangka Kabinet mereka," katanya.

Di majlis itu, Najib yang ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sempat meluangkan masa memancing udang galah di sebuah kolam bersama-sama masyarakat sekitar Tanjung Tualang yang terkenal sebagai Pekan Udang Galah.

- Bernama -

Saturday, September 17, 2011

MALAYSIA GEMPAR ! ! !


Petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd NajibTun Abdul Razak "Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus. "