Detik kematian tidak dapat ditangguhkan atau dicepatkan walaupun sedetik. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Ali-Imran, ayat ke-145 yang bermaksud, “Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan Allah).”
Tiada seorang pun yang hidup di dunia ini mengetahui bila detik kematiannya. Walaupun dia seorang cerdik pandai yang mempunyai sijil master mahupun doctor falsafah, dia tidak mampu untuk mencipta formula bila dia akan bertemu dengan kematian. Hatta seorang doctor pakar sekalipun tidak dapat mencipta ubat atau teknik untuk melambatkan saat kematian seseorang.
Tersebutlah kisah seorang menteri di zaman Nabi Daud AS bernama Jalil al-Qadri. Selepas Nabi Daud AS meninggal, dia menjadi menteri kepada Nabi Sulaiman bin Daud AS.
Di suatu pagi, Nabi Sulaiman mengadakan majlis bersama menteri ini. kemudian seorang lelaki masuk memberi salam dan berbisik sesuatu ke telinga Nabi Sulaiman AS. Lelaki ini memandang tajam kepada Jalil sehingga dia ketakutan.
Ketika lelaki itu keluar dari majlis, menteri bertanya kepada Nabi Sulaiman, “Wahai Nabi Allah, siapa lelaki yang baru keluar tadi? Pandangan matanya membuatku takut.”
Nabi Sulaiman AS menjawab, “Ia adalah malaikat maut yang menjelma sebagai manusia. Ia mendatangiku.” Ketika itu gementarlah menteri itu dan menangis. Dia berkata kepada Nabi Sulaiman AS, “Wahai Nabi Allah, demi Allah aku memohon kepadamu agar kau perintahkan angin bertiup membawaku ke tempat yang paling jauh, ke India.”
Nabi Sulaiman memenuhi permintaannya. Menteri itu pun terbang ditiup angin. Keesokan harinya, malaikat maut datang kembali menemui Nabi Sulaiman sebagaimana kelmarin. Nabi Sulaiman AS berkata, “Kelmarin kau telah membuat sahabatku gementar. Mengapa kau memandangnya begitu tajam?”
Malaikat itu berkata, “Wahai Nabi Allah, aku mendatangimu di pagi hari. Aku terkejut mengetahui orang itu masih bersamamu di sini, padahal Allah telah memerintahkan aku mencabut nyawanya selepas Zuhur di India.”
“Lalu apa yang kau lakukan?” tanya Nabi Sulaiman. “Aku pergi ke tempat yang Allah perintahkan aku untuk mencabut nyawanya di sana. Ternyata aku dapati dia menungguku, lalu aku cabut nyawanya, “ jawab malaikat itu.
Allah berfirman dalam surah al-Jumu’ah yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri itu tetaplah ia akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).”
Kematian adalah sesuatu yang pasti akan menimpa kepada semua makhluk ciptaan Allah. Kita tidak dapat mengelak untuk menemuinya walau dengan cara apa sekalipun. Pastinya maut akan menjemput kita sepertimana yang telah ditetapkan di Luh Mahfuz kepada kita semua. Perlu diingat kita semua adalah pemilik sebenar kematian. Bersedialah menghadapinya kerana ianya akan datang menamui kita tidak kira masa, dan tidak menunggu sama ada kita sudah bersedia atau belum.
No comments:
Post a Comment