Sunday, June 20, 2010

UPSR dan PMR akan dimansuhkan?


MUAR 20 Jun – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mungkin dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik kepada pelajar.

Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan kini sedang mengkaji dengan teliti cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Di Malaysia, kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Umumnya sepanjang 11 tahun murid masuk ke sekolah ada tiga peperiksaan awam. Ada pihak berpendapat ini menyebabkan cara pembelajaran lebih menjurus usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam.

“Maka sebab itu di Malaysia selain di sekolah, ibu bapa hantar anak ke tuisyen sebab hendak keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM.

“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelaksanaan UPSR dan PMR adalah baik namun disebabkan terlalu menjurus kepada peperiksaan, tujuan utama menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba pengetahuan secara holistik tidak tercapai sepenuhnya.

Beliau berkata, disebabkan terlalu berorientasikan peperiksaan, fokus utama guru dan pelajar tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.

“Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tidak pakai lagi PMR dan UPSR. Orang (majikan) tidak tanya pun berapa ‘A’ yang dapat dalam PMR dan UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan di peringkat universiti saja orang ambil kira,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebanyakan negara lain hanya mempraktikkan satu peperiksaan awam sepanjang persekolahan dan contoh itu boleh diambil Malaysia dengan memberi lebih penekanan kepada penilaian di peringkat sekolah.

“Saya sendiri berpendapat adalah lebih wajar kalau perlu adanya penilaian, kita buat di peringkat yang terakhir, selepas belajar 11 tahun (di sekolah rendah dan menengah) sebelum masuk universiti.

“Saya mengajak golongan pakar pendidikan dan masyarakat untuk memberi respons kerana kita belum ada keputusan tetapi banyak pihak mencadangkan untuk mengubah sistem kepada hanya satu sahaja peperiksaan awam,” katanya.

Namun menurut Muhyiddin, sekiranya peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan, ia hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Tegas beliau, banyak perkara harus diteliti terlebih dahulu dan penstrukturan semula perlu dilakukan bagi membolehkan keputusan penilaian di peringkat sekolah dapat diguna pakai oleh pelajar untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

“Ini ada hubung kait dengan rombakan sistem pendidikan negara untuk mengubah bentuk kurikulum supaya lebih banyak masa terluang untuk fokus kepada subjek-subjek utama serta aktiviti sukan.

“Di peringkat kementerian, kita sedang meneliti dan memerlukan input dari warga akademik, pendidik dan masyarakat. Debat sihat dalam media juga bagus untuk perkara ini,” katanya.


-sumber dari Utusan-


sebagai bakal guru, apakah pandangan anda mengenai perkara ini? adakah selama ini kita hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan dunia atau sebagai bekalan untuk menuju ke peperiksaan akhirat?


tepuk dada tanya Iman..

No comments:

Post a Comment