Getaran Jiwa
2.10 pagi…terasa masih bugar mata ini untuk dilelapkan. Peluang ini sudah tentu tidak bisa dilepaskan…rindu padaNya tidak tertahan. Namun, keadaan diri menghalang qiyam hamba, ruku’ dan sujud pada Maha Pencipta. Hanya puji-pujian padaNya meniti di bibir…istighfar membasahi lidah, menyuburkan hati yang gersang sambil telinga dipasang teliti mendengar alunan ayat suci Al-Quran.
Resah gelisah silih berganti menduduki hati biarpun pelbagai sumber ketenangan menelusuri sanubari. Mungkin terhalang dek kotornya hati yang selama ini lalai dari mengingatiNya. Mata cuba dipejam namun hati terasa gentar lantas otak terus ligat cuba meneliti satu persatu perjalanan hidup yang lampau…sambil komputer riba terus terpasang dengan bacaan Al-Quran.
Sahabat-sahabat yang entah dari mana datangnya muncul dalam keresahan. Biarpun tiada kata diluahkan, kehadiran mereka meleraikan sedikit kekacauan ini. Alhamdulillah mereka hadir pada masa yang tepat.
Entah kenapa semakin mereka hampir, semakin longlai tubuh ini dirasakan. Tatkala tangan ini digenggam, tersungkur akhirnya dalam dakapan sadiq yang setia. Kabur pandangan ini tatkala diri cuba mencari wajah sahabat-sahabat yang baru seketika bersama. Dalam kesamaran, muram dan suram pandangan keakraban yang mereka lontarkan. Hanya itulah perasaan yang hadir dalam suasana yang tiba-tiba diselubungi kegelapan.
Tiada lagi kedengaran alunan Al-Quran. Dalam kekalutan berperang dengan perasaan sendiri, deria pendengaran yang masih dipinjamkan menangkap seruan nama yang amat dikenali. Lantas, pesanan yang memuncakkan ketakutan semakin jelas kedengaran.
“Namamu sebentar lagi hanya akan menjadi sebutan sahabat-sahabat dan guru-gurumu…dalam kenangan kaum keluargamu”…begitu terjaga ia dilafazkan.
Jantung ini bardegup kencang. Tidak sabar mengakhiri tugasannya yang masih berbaki hanya sedikit. Seluruh sistem bagai berkejar-kejaran sesama sendiri. Semuanya tidak betah lagi tinggal di sini. Mahu cepat pulang barangkali. Masakan bisa mereka menunggu lagi andai masanya sudah tiba untuk mereka kembali.
Pun begitu, diri ini terus merintih. Merayu pada Yang Maha Kuasa agar diberi masa supaya benar-benar bersedia. Lirih rintihannya…syahdu rayuannya. Mohon diperkenankan. Dalam kekalutan, jemari yang mula membeku masih sempat mencoret kata di atas helaian berlakarkan potret berwarna yang seolah-olah merelakan nukilan terakhir seorang insan buat sadiq setia. Setiap ruang dipenuhkan sebaiknya agar tiada sesiapa akan menuntut apa-apa selepas pemergian ini kelak.
Setiap saat dirasakan amat berharga. Bernilainya setiap detik yang berlalu. Sukar sekali menghadapi keadaan ini. Hati ini terus menagih belasNya.
Mata yang dipejam sedari tadi tiba-tiba mampu dibuka dengan asakan naluri kurniaan Ilahi…mungkin untuk melemparkan senyuman terakhir buat sadiq setia…sebagai suatu pesanan bermakna…”temani daku dengan hadiah kudus darimu”.
Sebaik mata terbuka,semua sadiq setia tidak lagi kelihatan. Suasana hening menyelubungi diri. Mata yang baru diberi peluang melihat kembali tertancap pada jarum jam yang masih konsisten detikannya.
3.35 pagi…komputer riba masih di sisi. Screen saver yang diset dengan tayangan slide gambar-gambar kenangan ditatap dengan kebingungan. Pandangan pada gambar-gambar tersebut diselang-selikan dengan pandangan pada jam meja. Kebingungan dan ketakutan yang bersangatan masih menyelubungi diri.
Pandangan kemudian dialihkan pada telefon bimbit yang kian akrab. Pantas ditekan…membuka mesej daripada seorang teman. Masih belum tidur. Tekun mengulangkaji agaknya. Telefon bimbit dilepaskan. Tiada balasan.
Suasana kembali tegang. Hati mula meliarkan kebimbangan. Tidak keruan dibuatnya. Pipi yang masih lembap kembali basah. Hangat dirasakan tangisan kesyukuran kerana masih diberi peluang menghirup udara milikNya.
Jiwanya cukup terbeban. Telefon bimbit kembali dicapai. Mata ini pantas mencari nombor yang sesuai untuk dihubungi. Kewarasan yang masih bersisa menyedarkan…4 pagi, biarkan mereka bersendiri.
Air mata diseka sebolehnya. Diri ini cuba ditenangkan sebaiknya. Masa terus berlari. Debar menanti fajar menyingsing…membenarkan ungkapan yang telah dibisikkan.
Diri ini cuba digagahkan untuk bangun mencari teman yang bisa membantu mencari penyelesaian dengan iman yang utuh kepadaNya. Tirai disingkap. Masih enak dibuai mimpi. Namun diri ini tetap berusaha memohon petunjuk dan bantuanNya. Satu demi satu tirai disingkap sekali tidak putus-putus. Terjaga juga seorang teman akhirnya.
Setiap rentetan diluahkan berhati-hati…takut tersilap tafsiran. Helaian demi helaian dibuka. Satu persatu kisah terungkai. Kekeliruan diperbetulkan sebaik mungkin sambil hati terus berzikir…mengingatiNya.
Malam akhirnya perlahan-lahan bersembunyi sambil siang mula menjejak. Sujud diri mencecah bumi tanda syukur yang tidak terhingga. Segala puji hanya layak bagiMu Ya Allah.
Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku. Terimalah taubatku…Ya Rahman…Ya Rahim.
Artikel di sumbangkan:
Srikandi IPPM
No comments:
Post a Comment