Skop yang akan kita bincangkan ini adalah amat luas sebenarnya. Dalam fikiran ana , ana sering tertanya-tanya banyak perkara .Antaranya , ana bagi “point” di sini ialah :Mungkin ini hanya “cebisan” kecil daripada pemikiran ana sendiri.
Seandainya , ana ambil kursus Sains Pendidikan, adakah itu sahaja yang ana dapat curahkan kepada anak bangsa ? Adakah ana hanya setakat masuk ,mengajar , balik , makan tidur dan semuanya berakhir bila ana dipanggil menghadap Allah kelak?
Memang sebagai seorang guru begitulah tugas kita sebagai seorang figur yang tugasnya mengajar anak-anak murid di hadapan , namun adakah “sekadar itu”?
Adakakah sekadar itu ? mana penerapan nilai kecintaan agama dan bangsa yang kita hendak semai ?
di kala Negara kita hari ini dikejutkan dengan pelbagai berita yang melibatkan guru dan anak murid mereka…Berita yang menyedihkan ,berita yang mengharukan dan berita yang kita akan berasa “takjub” dengannya, sebab ia tak pernah berlaku sebelum ini !
Ana ambil contoh beberapa isu yang berlaku di negara kita sepanjang tahun ini. isu murid tendang guru di Perlis, isu murid buat video lucah DI Kuala Terengganu , isu ketagihan hidu gam (tora) di kalangan pelajar sekolah di Alor Setar, isu pelajar jual badan untuk tanggung duit persekolahan sendiri dan pelbagai jenis isu yang melibatkan anak bangsa kita yang masih bersekolah .
Itu tidak masuk lagi dengan gejala mat rempit, hisap gam , bergaduh , black metal , pemurtadan kristianisasi ,emo, punk , skinhead dan pelbagai jenis ancaman yang ‘memeritkan ‘ telinga untuk mendengarnya (bagi hati yang tak buta) .
Adakah generasi ini yang kita akan beri amanah untuk mewarisi dan mentadbir Negara kita?
Rosak jahanam Negara kita . Seorang cerdik pandai menyatakan , jika ingin melihat masa depan sesebuah negara , lihatlah pada anak mudanya.
Ana malu untuk menyatakan bahawa ana hanya sekadar seorang guru yang hanya sekadar mengajar subjek di depan tapi tak mampu menyumbangkan sesuatu untuk anak bangsa yang tercinta ini .
Apa beza ana dengan perkakasan pengajaran seperti komputer dan projektor LCD ? seandainya ana tidak mampu memberi dan menyelitkan izzah Islamiyah dan keunggulan bangsa Melayu sebagai suatu selitan atau “ulam” dalam proses pengajaran dan pembelajaran ana.
Ana tidak bercakap bahawa kita akan mewujudkan sesi kelas agama sedangkan ana dipertanggungjawabkan dengan subjek sains.
Maksud ana biarlah dalam sesi pengajaran itu diselitkan dengan hadis-hadis , atau kefahaman Islam , persoalan tentang umat dan sebagainya yang diberikan secara langsung mahupun tidak langsung kepada para pelajar.
Jangan dipisahkan agama dengan dunia. Andai dipisah lagu dan irama , lemah tiada berjiwa , hampa.
Guru-guru seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan ilmu dunia yang mendatangkan faedah seperti pengetahuan tentang isu permasalahan sosial semasa, hak keistimewaan orang melayu , peperangan , penindasan dan banyak lagi isu-isu semasa yang boleh diselitkan bagi menanamkan kecintaan anak-anak murid mereka terhadap agama , Negara dan bangsa mereka .
Mereka (anak-anak murid) ini seharusnya didedahkan tentang perkara seumpama itu secara tidak langsung . Patriotik sebagai kesimpulan
Ini tidak , buat KARNIVAL Kempen Rukun Negara, “konon-kononnya” menyemai semangat patriotik, tapi pengisian dia, baik pergi Jom Heboh la. Berjoget sana menari sini. Bukan tempat sini la, nun jauh di pedalaman Afrika .
Tiada beza. Kalau cikgu sendiri pun , masuk kelas cakap merepek , cerita pasal rumah tangga , gossip-gosip , mengumpat , buat clique macam budak-budak, pakai seksi sendat , dan tak tunjuk contoh kepada anak-anak murid ,alangkah malangnya generasi muda kita.
Fahamilah bahawa para guru hari ini umpama ibu bapa kepada anak-anak kerana kebanyakan masa anak-anak dihabiskan dengan guru-guru di sekolah
.Pagi dan tengah hari di sekolah , kadang kadang petang dan malam pun ada kelas tambahan .(Jadi sememang selayaknya para guru digelar ibu bapa kedua).
Guru-guru ni juga terkadang mengetahui perihal anak-anak murid mereka melebihi ibu bapa anak murid itu sendiri.
Guru umpama seorang daie atau pendakwah yang paling lama yang akan berhadapan dengan mad’u ( golongan sasaran) mereka.
Gurulah antara “engineer” Negara yang paling penting . dari seorang gurulah akan terlahirnya seorang jurutera, dari seorang gurulah lahir seorang ulama, dan dari seorang gurulah lahirnya pelbagai pekerjaan .
Dari seorang guru yang pakai tak seberapa makan pun sederhana ini lahirnya ramai wira dan penyangak bangsa !
Kalau guru kencing berdiri , anak murid bukan setakat kencing berlari tapi terus buat marathon. Ini realiti yang perlu setiap guru terima.
Tak kan kita nak harapkan ustaz-ustazah sahaja buat kerja dakwah ? sedangkan kita telah dipilih sebagai khalifah Allah di muka bumi dan berperanan untuk menyampaikan dakwahNya? Melihat ada antara guru dan pelatih guru yang terlibat dengan zina (Penang) , Pertandingan “Ratu” cantik pondan (Kota Bharu) , guru rogol anak murid dan beberapa isu lain menyebabkan kita tak senang duduk.
Mereka ini akan mengajar anak bangsa kita ? Minta dijauhkan.
Kenapa ana menekankan perkara ini? Sebagaimana yang ana tekankan tadi ,kita tidak mahu perkara kerosakan yang melanda generasi pelapis ini dari terus berterusan . Yang berlaku biarlah berlalu.
Perkara yang sudah lepas , rosak binasa kalau difikirkan kembali. Apa yang penting kuatkan kefahaman kita tentang Islam , hak dan kerukunan Melayu ,bukan sekadar melaungkan ketuanan Melayu , tetapi habuk tarak.
Projek melepas kat tangan bangsa lain, main tikam belakang anak bangsa sendiri , jawatan pun berebut , dan main rasuah macam makan kacang goreng .Ini kepala bapak punya ketuanan ni. Kembalilah kepada Islam yang syumul .
Usah toleh belakang lagi .Tambahkan ilmumu bukan sahaja dalam bidangmu ,tetapi penekanan kepada fardhu ain mestilah ada. Orang Melayu Malaysia hanya akan maju dengan kembali semula kepada fitrah, yakni kepada agama Islam itu sendiri. Kenapa orang barat boleh maju ?
mereka kembali kepada fitrah mereka- kufur terhadap Allah , menarik muslim ke arah “jalan” mereka dengan menjadikan kita umpama tikus makmal kerana disogokkan dengan segala budaya dan pemikiran sampah (hedonism, sekularisme, wahn dsb ), mengamalkan apa yang dilarang Allah , meninggalkan segala larangan Allah ,kufur terhadap nikmat-Nya dan sebagainya.
Mereka juga menjadikan dunia sebagai tujuan utama mereka. Adakah kita , terutama kepada bakal guru, yang beragama Islam , “berminat” menjadi seperti mereka? Tentu tidak bukan.
Orang Melayu ,jika mengikut definasi yang terdapat dalam perlembagaan , adalah bangsa asal tanah melayu , beragama islam , yang bercakap dalam bahasa melayu , mengamalkan budaya melayu dan berketurunan Melayu.
Tapi ramai Melayu hendak jadi orang putih, muka liat pesat ,hidung pesek kembang , rambut hitam legam , ada yang kena air karat , bertukar menjadi perang dan bercakap pun pasal hiburan dan perkataan sia-sia sahaja.
Hendak maju ? Bila kita boleh menjadi maju sedangkan budaya sampah terus diangkut dari kahak Negara barat. Sesetengah budaya yang diceduk dari barat , mereka sendiripun anggap budaya itu sebagai budaya sampah di luar dari norma masyarakat dan budaya “kencingan”.
Sebagai contoh black metal , dan punk. Tapi tidak sedikit anak muda kita yang terperangkap dalam “tipu daya” ini.
Jadi pada hemat ana yang dhaif ini , guru sepatutnya terkehadapan dari segi pentarbiyahan diri dan pengetahuan tentang isu semasa yang melanda Malaysia , khasnya dan melanda dunia amnya.
Ana tidak bercakap dari sudut teori atau sekadar sembang “berasap berapi “, tapi inilah yang sepatutnya kita perjuangkan , khasnya kepada yang telah mengikuti dan menerima tarbiyah , bahkan kepada yang tidak terima tarbiyah , namun “celik” terhadap permasalahan yang melanda.
Di kala para pemimpin masih lagi tidur , masih dengan kepentingan politik sempit mereka, masih dengan pergaduhan sesama bangsa ini hingga mengetepikan tanggungjwab sebenar mereka untuk mendidik dan memimpin rakyat, kitalah ,para pelapis guru yang akan menjadi pemimpin bagi dalam kelas ,ilmunya dan kefahaman untuk ditebarkan ke seluruh alam, insyaalllah .
Bangunlah wahai saudaraku ,rapatkan saff, tahu tujuan , tahu matlamat akhir , kumpul tenaga dan teruskan perjuangan mentarbiyahkan diri. Selepas itu, sebarkan .
Artikel ini adalah perkongsian dan sumbangan dari:
Ahmad Zhafri bin Md Noor @ Mujahid Page
http://deafeningsilent.blogspot.com
p/s: Sebarang bentuk penulisan berkaitan sesuatu isu yang disumbangkan kepada IGPIS bukanlah melambangkan pendirian sebenar IGPIS.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete