Dari segi taarif dakwah adalah mengajak manusia secara bijaksana kepada Allah iaitu satu-satunya jalan yang benar demi kemaslahatan mereka dan kemuliaan mereka di dunia dan akhirat
Ia adalah amat penting kerana ini adalah keistimewaan utama umat Islam, yang mana ia menjadikan kita umat terunggul di atas muka bumi. Firman Allah:
“ Kamu adalah sebaik-baik umat yang pernah dilahirkan atas muka bumi untuk umat manusia (dengan syarat) kami menyuruh kepada perkara maaruf, melarang kepada perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah “
( Al-Imran:110)
Ayat ini mendahulukan amar maruf dan nahi mungkar sebelum keimanan dalam susunan ayat sedangkan Iman adalah perkara pokok. Ini kerana Keimanan adalah titik pertemuan antara umat ini dengan umat lain dalam agama samawi tetapi amar maaruf dan nahi mungkar adalah kelebihaan umat ini yang sengaja diberikan oleh Allah untuk keinsanan sepenuhnya. Justru ia adalah umat yang bermisi yang bersifat penyeru. Tugasnya adalah menyebarkan kebenaran serta mengukuhkannya dan menghapuskan kemungkaran serta menghalangnya. Beginilah petikan kata-kata Dr.Yusuf Qardhawi dalam tulisannya Malamih Mujtamaal Muslim Allazi Nansyuduhu.
APAKAH HUKUM DAKWAH?
Para ulama adalah berpendapat hukum dakwah boleh berubah-ubah mengikut keadaan situasi dan suasana :
Fardu Ain :
“ Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah mengubahnya dengan tangannya, kalau tidak mampu dengan lidahnya (teguran), jika tidak mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hatinya (benci dan azam untuk mengubahnya jika berkemampuan) dan demikian adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji sawi – Riwayat Muslim.
“ Dan hendaklah ada daripada kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah kepada kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung (berjaya) –
(Al-Imran:104).
Sehubungan dengan hukum dakwah ini Imam Ghazali menggariskan dalam Ihya Ulumiddin bahawa empat keadaan yang mungkin ditempuhi oleh pendakwah:
Tidak wajib berdakwah
Sekiranya pendakwah menyedari yang dakwahnya tidak mendatangkan sebarang kemanfaatan yang mana berkemungkinan dia akan dibunuh atau dicederakan serta dia tidak berkemampuan menanggung risiko yang akan dihadapi. Dalam suasana ini baginya tidak wajib melaksanakan dakwah.
Wajib Berdakwah
Sekiranya pendakwah menyedari dakwahnya boleh menyebabkan kemungkaran tercegah dan tidak ada sesiapapun yang berani melakukan tindakan terhadapmya. Dalam suasana ini dia wajib melaksanakan dakwah.
Sunat Berdakwah
Sekiranya pendakwah menyedari dakwahnya tidak semestinya mendatangkan kesan positif tetapi dia sanggup menanggung risiko yang mungkin menimpa dirinya. Maka dalam situasi ini dia berkeadaan sunat untuk berdakwah.
Sunat Berdakwah
Sunat juga berdakwah jika pendakwah menyedari yang dakwahnya akan memudaratkan dirinya tetapi jika dilakukan ia akan dapat mencegah kemungkaran itu. Maka keadaan pendakwah ketika itu adalah sunat.
Dalam memperincikan perkara ini Syeikh Said Hawa menyatakan dalam Jundullah Jihad Fisabilillah “ Contoh-contoh keadaan bahaya atau mudarat yang dikira sebagai alasan yang sah untuk tidak melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar adalah ia dipukul dengan teruk, dimusnah tempat tinggal diambil segala harta dan seumpamanya. Jika kemudaratan hanyalah dalam bentuk hinaan, perli, maki dan seumpama. Maka kewajipan berdakwah tetap terbeban keatasnya kerana Allah menyuruh kita bersabar ketika melajsanakan kerja-kerja dakwah ”
Hal ini dijelaskan lagi dalam sirah nabi SAW yang mana pada satu keadaan Nabi SAW memuji keberanian sahabatnya tetapi dalam masa lain Nabi SAW menyuruh sahabat supaya bersabar.
No comments:
Post a Comment