Pada bulan ini terjadi suatu lipatan sejarah yang berlaku di bumi Palestin yang tidak mungkin akan dilupakan oleh semua umat Islam. Pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan oleh zionis ke atas penduduk Palestin akhirnya menyebabkan bumi yang mereka cintai dirampas oleh zionis dengan rasminya pada tahun 1958. Banyak program penerangan seperti ceramah, perhimpunan dan pameran yang telah dianjurkan oleh beberapa pihak NGO untuk memperingati peristiwa Nakba Palestin yang terjadi pada bulan ini.
Baru-baru ini juga gabungan daripada beberapa buah NGO telah menganjurkan Perhimpunan Perdana Palestin di Shah Alam yang bertujuan untuk mengigati Nakba Palestin dan juga ingin mengutip derma. Persoalannya adakah cukup dengan sumbangan yang ingin disalurkan tetapi pada masa yang sama tiada kuasa yang kuat untuk membebaskan bumi Palestin terutamanya Masjidil Aqsa yang kini berada di dalam bahaya.
Umat Islam di Palestin dijadikan sebagai bahan ujikaji untuk senjata yang dicipta oleh zionis dan US. Apa yang telah dilakukan oleh negara-negara Islam di seluruh dunia sekarang? Di mana peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Organisation of the Islamic Conference (OIC)? Apa yang telah dibuat oleh umat Islam seluruh dunia? Adakah masih lagi menikmati hidangan KFC, McDonald, Pizza Hut, Coke dan menyedut asap rokok Philip Morris? Jika ini yang masih dilakukan oleh umat Islam dan OIC hanya sekadar melafazkan “Oh..I See..”, jangan haraplah bumi Palestin akan bebas dari kezaliman zionis.
Antara peristiwa yang terjadi pada bulan Mei adalah;
14 Mei 1948
Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh pengganas Israel ke atas 50 orang umat Islam di Kampung Abu Syasyah. Sebahagian mereka ditembak dengan senjata api dan sebahagian yang lain pula dikapak di kepala mereka.
Tanggal hitam 15 Mei 1948
Hari ini genaplah usia 62 tahun Palestin ditakluk oleh zionis. Betapa malunya kita sebagai umat Islam hari dengan kelengkapan serba serbi peralatan persenjataan masih tidak terdaya membebaskan bumi Palestin, malah Masjid al-Aqsa juga dikuasai rejim Yahudi.
Kalau dilihat dari sudut logik akal manusia, negara Israel dilingkungi beberapa negara Arab yang kaya dengan senjata minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Lubnan, Bahrain, Oman, Yaman dan sebagainya sepatutnya pada 1948, orang-orang Arab berjaya menghalang penubuhan negara haram itu, namun ia tidak berlaku.
Sebabnya, para pemimpin Arab hanya banyak menganjurkan persidangan menjaga kepentingan mereka daripada memikirkan keselamatan rakyat bangsa Palestin yang ditindas, dianiayai, dinafikan hak mereka sepanjang 62 tahun, iaitu satu jangka masa yang begitu lama mengatasi usia Malaysia merdeka (51 tahun).
Imam Syahid Hasan al-Banna pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin pernah mengemukakan pandangannya kepada Perdana Menteri Mesir pada masa itu, Noqrashi Basha agar membantu rakyat Palestin dengan menghantar pasukan tentera ke Palestin bagi menghadapi segala kemungkinan agar kuasa asing tidak bertapak di kawasan yang diduduki bangsa Arab, apatah lagi beragama Islam.
Pandangannya itu bukan mahu membangkitkan isu kebangsaan, malah kebimbangannya terhadap pengaruh bukan Islam akan masuk ke dalam negara-negara yang dihuni oleh orang Arab.
Noqrashi menolak pandangannya itu malah bertindak mengharamkan segala aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan tidak berputus asa dan mengerahkan unit pasukan jihad gerakan itu supaya pergi ke Palestin bertujuan untuk membantu rakyat negara itu, walau bagaimanapun tentera-tentera yang dihantar itu ada yang mati syahid dan ada yang sempat pulang semula ke Mesir dengan pelbagai kesusahan yang menanti mereka.
Kejatuhan Palestin di tangan Israel disifatkan oleh Imam Hasan sebagai satu kesilapan dan pengkhianatan besar ke atas rakyat Palestin yang beragama Islam.
Selang tidak berapa lama selepas kejatuhan Palestin, pada 12 Februari 1949, Imam Hasan ditembak mati secara misteri tanpa seorang pun yang tahu kejadian itu hingga ahli keluarganya juga tidak dapat mengesan di manakah jenazahnya di kuburkan hingga hari ini.
1948 Dikenali Sebagai Tahun Perang Arab-Israel
Perang Arab-Israel 1948, dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel.
Bagi orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk daripada bahasa Arab sebagai 'Al-Nakba' yang bermaksud 'malapetaka', perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.
Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab.
Mandat British terhadap Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei.
Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.
Pada akhir Mei 1948, 6000 tentera Syria, 4500 Iraq, 6000 Transjordan, 1000 Lubnan dan 5000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir.
Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmaqdis Barat.
Dalam perjanjian gencatan senjata, Semenanjung Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah mandat British terhadap Palestin dahulu yang lain menjadi Israel.
No comments:
Post a Comment