Friday, May 7, 2010

Menjana Usia Muda Untuk Hari Tua

Allah SWT menganugerahkan peluang secara percuma untuk hamba-Nya. Kita diminta agar merebut peluang-peluang tersebut serta memanfaatkan sepenuhnya. Jika seseorang itu cuai atau terlalai dari merebutnya, pasti mereka akan menanggung kerugian. Kerana di sebalik peluang percuma itu akan muncul pula perkara negatif yang akan menimbulkan penyesalan.

Diriwayatkan oleh At-Termini dan Muslim dari Amru bin Maimun R.A bahawa suatu hari Rasulullah SAW. telah menyampaikan penga¬jarannya kepada seorang lelaki, dengan sabdanya yang bermaksud;
"Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian."

Peringatan itu diberikan oleh Rasulullah SAW dengan satu ta¬waran berfaedah, agar tidak mensia-siakan peluang yang diperolehi secara percuma. lbarat mendapat harta ghanimah, keuntungan tanpa perlu modal, sedangkan orang berniaga mendapatkan keuntungan mes¬ti melalui modal.

Justeru kesempatan yang datang secara percuma itu, dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. agar tidak membiarkannya berlalu sia-sia. Kerana sekiranya seseorang itu diberi kesempatan oleh Allah S.WT hidup dengan umur yang panjang, pasti ia akan menempuh masa muda. Masa muda itu diberi dengan tidak payah diminta.

Masa muda jangan dibiar berlalu tanpa erti, kerana masa muda itu penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Pergerakan jasmani yang kuat untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau moral, dan mental remaja yang segar memberikan ruang yang cukup untuk mencapai berbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Masa muda itu tidak akan bertahan, kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tibalah masa tua. Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang lagi, saat remaja hanya kenangan. Jika masa remaja tidak diperguna menurut selayaknya, pastilah akan meninggalkan kenangan pahit di hari tua.

Masa tua segala-galanya tidak ada yang indah, kudrat tenaga sudah lemah, selera makan sudah menurun meskipun disajikan makanan yang serba lazat. Sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal untuk melawan penyakit semakin lemah, keterbatasan telah melingkungi dirinya. Dalam situasi sedemikian, mungkin seseorang baru menyedari betapa masa muda itu amat berharga, oleh itu mensia-siakan masa muda yang sangat bererti bagaikan menempah untuk derita menanggung penyesalan. Menyesal kemudian hanyalah suatu kesengsaraan.

Masa muda yang diberi secara percuma oleh Allah S.WT itu, akan ditanya semula di hari perhitungan kelak. Kerana usia muda itu bukan saja suatu anugerah tetapi juga suatu amanah. Pasti akan ditanya oleh Penganugerah-Nya, gerangan apakah usia muda itu dipergunakan? Sama ada untuk melakukan ketaatan atau sebaliknya.


(Gambar di atas tiada kaitan dengan yang hidup ataupun yang telah mati)

Segenap masa muda yang dipenuhi dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang mukmin, sama ada di bidang ilmu dan moral, pasti akan menjadikan masa tua yang penuh kesyukuran. Jika tidak, maka Allah S.WT telah mengingatkan hamba-Nya dengan firman-Nya dalam surah at-Tiin ayat 4,5 dan 6 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus.”

Sumber: TG Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dipetik daripada buku Mutiara 2 Tok Guru

No comments:

Post a Comment