Sunday, May 16, 2010

Judi..Halal Ke Haram Ni....

Pada Jumaat yang lepas, sekumpulan pemuda Islam telah menganjurkan perhimpunan yang bertujuan untuk menunjukkan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang telah meluluskan lessen judi bola sepak. Perhimpunan ini diadakan di seluruh Malaysia selepas mengerjakan solat Jumaat. Tindakan ini merupakan tindak balas daripada kerajaan menerusi Kementerian Kewangan yang telah mengeluarkan lesen perjudian kepada Kumpulan Berjaya yang dinaungi oleh Vincent Tan.



Malangnya, puhak polis telah menghalang kumpulan ini daripada menyatakan kebenaran di khalayak ramai dengan tindakan merampas microphone. Tetapi tindakan tersebut tidak menghalang matlamat untuk melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan dan perhimpunan aman tetap diteruskan. Suasana ini dapat diperhatikan di Masjid Kampung Bharu pada Jumaat yang lepas.



Alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan yang telah memberi lesen untuk kegiatan perjudian ini adalah untuk membanteras kegiatan perjudian haram yang berleluasa. Daripada kenyataan ini adakah judi yang tidak mendapat lesen akan dikategorikan sebagai haram dan yang mendapat lesen akan dikategorikan sebagai halal? Walaupun Malaysia sebuah negara majmuk, kerajaan sepatutnya tidak membenarkan kegiatan perjudian dijalankan di ‘negara Islam’ Malaysia ini. Hal ini kerana agama lain juga tidak membenarkan kegiatan judi kerana akan merosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Ulama dan mufti yang dilantik di Malaysia ini sepatutnya menasihati kerajaan agar tidak melakukan kemungkaran dan kerajaan perlu menurut hukum syarak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang diredhai. Di mana suara dan peranan orang yang beragama di dalam kerajaan seperti Jamil Khir Baharom dan Mashitah Ibrahim yang dulunya pernah mengupas tajuk halal haram di dalam Islam semasa menjadi ahli panel forum perdana?

Dan kita sebagai bakal pendidik apa yang perlu dilakukan? Rata-rata masyarakat di luar tidak mengetahui tentang isu ini. Mungkin ada segelintir daripada bakal guru yang sepatutnya peka terhadap isu seperti ini juga tidak mengetahui apa-apa. Jadi, diharapkan kepada para pendidik di luar sana agar peka terhadap isu semasa yang berlaku di Malaysia ini dan bersama-sama menolak kemungkaran yang berlaku. Zahirkan kebencian anda sama ada secara kata-kata atau membenci dengan hati yang merupakan selemah-lemah iman. Ingatlah sebuah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibn Majah yang bermaksud, “Sebaik-baik jihad ialah memperkatakan sesuatu yang benar di hadapan penguasa yang zalim”.

No comments:

Post a Comment