Wednesday, February 11, 2009

Apa itu Naqib serta peranannya?

Apa itu Naqib serta peranannya?
Oleh Ybhg. Ustaz Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi


Naqib ialah individu yang berperanan mengendali segala aktiviti ahli Usrah (mad'u) di bawahnya agar dapat melahirkan insan yang berkualiti dalam segala aspek kehidupan.

Kredibiliti Naqib Sebagai Faktor Yang Menjayakan Usrah.

Walau bagaimanapun kejayaan usrah banyak bergantung kepada kredibilti seorang naqib yang memenuhi kriteria sebagai seorang naqib. Naqib sebagai fasilitator, sebagai kaunselor, sebagai ibu, sebagai bapa, sebagai biro pengaduan awam, sebagai sahabat, sebagai pengurus, sebagai pembimbing. Kerana ia bukan sahaja orang yang berjumpa secara formal tetapi juga secara tidak formal. Naqib bukan sahaja orang berjumpa seminggu sekali atau dua kali seminggu dalam majlis usrah, malahan lebih daripada itu yang menjangkau masa dan sempadan.


Ciri-Ciri Naqib Yang Berkaliber:

1. Naqib mesti memahami konsep usrah dan perlaksanaanya. Apabila naqib memahami konsep ini barulah usrah dapat melahirkan out put yang baik. Sekiranya seorang yang menjadi naqib ia sendiri tidak memahami apakah pengertian usrah. Atau pun ia sendiri tidak pernah melalui program usrah. Apa akan terjadi dengan usrah yang dibawa. Oleh kerana ia tidak memahami konsep usrah maka ia akan bawa usrah seperti ceramah, kuliah, membaca kitab kuning. Ia tidak boleh membawa usrah mengikut kehendak jamaah dan boleh dikaitkan dengan jamaah dan isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan untuk mengukuhkan jamaah. Apabila ia memahami konsep usrah maka kesan usrah dapat dilihat. Banyak perkara kelemahan dalam jamaah boleh diatasi. Misalnya ahli usrah lemah dari sudut ukhwah maka ia memberi penekanan dalam usrah mengenai kepentingan ukhwah begitulah seterusnya. Semuanya ini tidak akan dapat dihasilkan sekiranya naqib tidak faham konsep usrah dan tanggungjawab beliau sebagai seorang naqib. Seperti pepatah Arab menyebut “Orang yang faqir ia tidak boleh memberi apa-apa”.


2. Memahami tasawwur Islam dan gerakan. Naqib/ah mesti memahami Islam dan dasar perjuangan . Naqib mesti memahami Islam dari sumber yang sejati. Kerana Islam ialah suatu peraturan yang meliputi semua lapangan hidup, Islam merupakan negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat. Islam merupakan kebudayaan, undang-undang atau ilmu pengetahuan dan kehakiman. Jangan di bawa perkara khilafiah dalam jamaah kerana ini akan membawa perbalahan sesama sendiri. Kefahaman dan keseragaman bertindak dengan ilmu akan memudahkan untuk bertindak. Oleh itu sekiranya seorang naqib yang tidak mempunyai syarat-syarat yang berkenaan akan berhadapan dengan berbagai kesusahan dari kalangan mereka yang berbagai jenis manusia dan kedudukan. Memahami hati budi orang bawahan dan ini yang perlu diberi penekanan dalam usrah. Jika ahli usrah orang kedekut perbanyakkan hal-hal dan kemuliaan sifat pemurah. Sekiranya mereka orang yang penakut, berikan keutaaman tentang kelebihan berjihad di jalan Allah. Sekiranya anak buah orang yang tidak istiqamah maka terangkan kelebihan orang yang tetap pendirian dan balasan orang tidak tetap pendirian.


3. Ikhlas dalam amal sebagai seorang naqib. Satu perkara yang senang disebut tetapi sukar dilaksanakan ialah ikhlas dalam tindakan dan amal. Perkara inilah yang menjadi kekuatan dan ketahanan kepada seorang naqib. Apabila ia berjaya melazimkan dirinya dengan sifat ini maka ia akan mendatangkan natijah yang baik kepada gerakan Pas. Hatinya tidak ada yang lain melainkan untuk melihat Islam berdaulat. Mengikhlaskan niat kerana Allah. Hati yang tidak tulus tidak bermakna ketika datang kedalam majlis usrah. Hati yang kotor juga tidak boleh mengeluarkan kesan yang baik kepada usrah.

Firman Allah swt . Maksudnya : Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya semua menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuknya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan solat serta menunaikan zakat dan demikian itulah agama yang benar (Al-Bayyinah:5)

Sabda Rasulullah saw
إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرء ما نوى
Maksudnya: “ Sesungguhnya setiap amalan dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang itu apa yang diniatkan ”


4. Iman yang mendalam. Keyakinan hanya dengan Islam, sekiranya mempunyai ilmu dan kefahaman tetapi iman yang nipis dia tidak boleh memberikan apa-apa kebaikan untuk perjuangan. Keimanan yang mantap sahaja akan membolehkan ia menghadamkan fikrah perjuangan Islam kepada anak buahnya. Kerana kekuatan jamaah Islam terletak kepada kekuatan iman yang sejati dan mendalam. Perjuangan tanpa iman yang sejati akan gugur dipertengahan. Bagaimana seorang naqib boleh menerapkan iman kepada anak usrahnya sekiranya beliau masih nipis Iman. Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana Iman yang mantap menyebabkan para sahabat sanggup sehidup semati. Contohnya ketika baginda berhadapan dengan tentera Ahzab, baginda sudah mempunyai cita-cita untuk menawan Rom dan Parsi. Ini satu contoh bagaimana iman yang mantap telah memberi motivasi kepada baginda untuk menaikkan semangat yang waja di kalangan para sahabat. Firman Allah SWT Bermaksud : “ Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera ahzab, berkatalah mereka: “Inilah yang telah dijanjikan kepada kamioleh Allah dan RasulNya, dan benarlah (apa yang telah dijanji oleh) Allah dan RasulNya” dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat itu) tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan dari mereka bulat-bulat kepada Allah .” (Al-Ahzab: 33:22)


5. Memahami organisasi jamaah. Naqib yang tidak memahami organisasi dan tabiat jamaah ia hanya bercakap atas awan. Tidak berpijak kepada bumi yang nyata. Usrah bukan teori tetapi diiringi dengan praktikal. Sekiranya naqib tidak melibatkan diri dengan Pas ia tidak akan sampai kemana arah perbincanganya. Oleh itu naqib kena memahami struktur organisasi Pas. Jangan seorang naqib tetapi ia sendiri tidak melibatkan dalam oragnisasi pas, ini memumkinkan ia akan membawa ahli jamaah keluar daripada landasan fikrah jamaah. Bagaimana mungkin ahli usrah hendak melibatkan diri dalam pilihanraya sekiranya naqib sendiri tidak terlibat dalam pilihanraya. Bagaimana jamaah hendak berkembang jika naqib sendiri tidak membawa ahli untuk beriltizam dengan jamaah.


6. Mengeratkan jalinan ukhwah. Naqib perlu melakukan program yang boleh mengeratkan hubungan persaudaraan seperti menziarahi ahli yang sakit atau ditimpa musibah,mengucap tahniah kepada kepada anggota yang berjaya, menolong mereka yang memerlukan, mengucap takziah atas kematian, menghulurkan bantuan kewangan, memberi hadiah sempena hari sahabat mendapat anak atau harijadi .Sabda Rasulullah SAW
تهادوا تحابوا
Bermaksud : “ Berilah hadiah nescaya engkau dikasihi ” Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : Allah akan sentiasa dalam (menunaikan) keperluan hamba selagi hamba itu dalam (usaha menunaikan) keperluan saudaranya.


7. Perbanyakkan amalan fardi. Sebagai seorang naqib sudah tentu bebanan dan tugas yang terpaksa dipikul. Oleh itu naqib memerlukan kekuatan rohani agar kita tidak terpesong daripada landasan perjuangan yang telah digariskan oleh jamaah. Apabila kita mempunyai benteng pertahanan ini maka ia akan menjadi asas yang kukuh untuk kita istiqamah dalam perjuangan. Maklum sahajalah perjuangan Pas yang mempunyai rintangan yang banyak dan banyak pula karenah anak buah maka sudah tentu kita memerlukan kekuatan rohani yang kuat. Oleh itu kita kena menjaga ibadat dengan baik, berzikir dengan banyak, berdoa yang ma'thur, beristighfar kepada Allah dan bersalawat kepada junjungan besar nabi Muhammad saw. Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Kata-kata Saidina Umar RA
حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا
Bermaksud “ Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dihadapan Allah SWT ”


8. Menunjukkan suri teladan yang baik. Naqib sebagai role model dan diperhati oleh anak buah . Syaksiah dan tingkah laku naqib sering menjadi ikutan dan bualan. Thiqah di kalangan anak buah perlu bagi menjayakan satu usrah. Naqib kena pastikan ia lebih baik daripada anak buah. Samaada dari segi pakaian, percakapan, tingkahlaku, pergaulan, sikap, hal ehwal keluarga, komitmen kita dalam jamaah seperti mesyuarat, menghadiri program jamaah, penglibatan anak-anak kita dalam jamaah semuanya menjadi tontonan di kalangan semua ahli usrah. Firman Allah SWT Bermaksud : “ Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan sedang kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir ”. Al-Baqarah:44


9. Benar Naqib mestilah benar di dalam niat, perkataan dan pekerjaannya jangan sekali-kali ada penipuan atau pendustaan. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Sekiranya naqib tidak benar dalam ucapan dan tindakan maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada usrah yang dipimpin Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : “ Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya sifat kebajikan itu membawa ke syurga. Seorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah ia dicatat disisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa kepada neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta ”.


10. Sabar. Tanpa sabar naqib tidak dapat mencapai target yang dicita-citanya, kerana kerja membentuk manusia bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan satu kesabaran yang padu serta himmah yang tinggi untuk melaksanakannya. Mesti sabar atas karenah ahli usrah yang berbagai ragam dan tindakan kesabaran sahaja yang akan boleh menjayakan perlaksanaan usrah Firman Allah SWT Bermaksud : “ Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami ketika mereka sabar ”. As-Sajadah:24.

11. Tawaduk. Sifat ini orang ramai lebih senang untuk menerima dan mendengar nasihat atau percakapan kita. Sifat takabur menyebabkan kita terhijab dari kebenaran dan rahmat Allah untuk sampai ke hati manusia. Sifat tawaduk menyebabkan orang lain akan tertarik dengan apa yang kita sampaikan. Seorang naqib yang mudah bergaul dan tidak sombong dengan ahli usrah akan menambahkan keakrabannya antara mereka. Seorang naqib hendaklah terlebih dahulu menegur ahli usrahnya bukan sebaliknya, supaya menampakkan sifat tawaduk
Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : “ Tidak akan memasuki syurga sesiapa dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbur ” Riwayat Muslim

12. Pemurah. Seorang naqib mesti jangan kikir. Sifat kedekut akan menjauhkan ikatan ukhwah. Biasakan untuk menghulur kepada mereka yang berhajat. Sentiasa memberi keutamaan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Sifat pemurah ini akan membuahkan natijah yang baik. Sekiranya anak buah usrah saudara orang yang kikir maka latih dan tunjukkan kepada mereka kebaikan orang yang pemurah melalui amalan yang saudara tunjukkan. Firman Allah SWT
ومن يوق شح نفسه فأولئك هم المفلحون
Bermaksud “ Dan siapa yang dipelihara daripada tabiat bakhilnya mereka itulah orang-orang yang berjaya ” Al-Hasyr, 59:9 Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : “ Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dua Malaikat lalu seorang darinya berdoa: “Ya Allah, berikanlah ganti kepada sihamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala Malaikat yang kedua berdoa: Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini ”.


13. Suka menolong (ringan tulang). Saudara menampakkan kepentingan mereka melebihi daripada kepentingan diri saudara. Secara tidak langsung akan menambahkan ikatan kepercayaan di kalangan orang bawahan. Apabila anak usrah melihat saudara orang yang ringan tulang untuk menolong maka secara tidak langsung akan memberi kepercayaan yang lebih kepada saudara. Peristiwa yang ditunjukkan oleh nabi SAW dalam peperangan Khandak memberi kesan yang mendalam kepada pengikut nabi kerana melihat baginda turut serta menggali parit.


14. Bijak bergaul. Seorang naqib yang baik ia akan bermuayasyah (hidup) dengan ahli usrah. Tidak banyak protokol. Senang di bawa berbincang di kalangan anggota. Jangan ada pilih kasih di kalangan anggota sehingga mereka terasa tersisih daripada kumpulan usrah.


Peranan Dan Tanggungjawab Naqib :

1. Mereka perlu menyedari bahawa mereka adalah pemimpin dan pendidik kepada kumpulan usrah. Dengan itu mereka perlu menunjuk suri teladan yang baik kepada ahli usrah.

2. Berkewajipan menyalurkan ilmu dan mendidik anggota usrah dalam bidang agama, fikrah jamaah.

3. Memastikan kandungan usrah disampai mengikut kehendak usrah dan jamaah.

4. Memastikan perjalanan usrah seiring dengan pembinaan jamaah dan organisasi.

5. Memupuk ukwah di kalangan anggota samaada di dalam usrah atau diluar.

6. Menggalakkan mereka supaya melakukan amal ibadah sunat seperti puasa sunat, solat sunat dan sebagainya.

7. Sentiasa menggalakkan ahli usrah mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi terhadap Islam dan sanggup melakukakan kerja-kerja amal Islami.

8. Naqib mesti menunjukkan kesungguhan di dalam satu kerja jamaah supaya ia menjadi contoh kepada anak usrahnya seperti menghadiri mesyuarat, program jamaah, program pilihanraya dan sebagainya.

9. Menggalakkan ahli usrah menyediakan tabung usrah supaya dapat melatih ahli untuk menderma walaupun sedikit dan wang ini boleh digunakan sewaktu kecemasan dan membantu meringankan beban di kalangan ahli usrah.

10. Naqib mestilah juga mahir dalam organisasi jamaah supaya ia dapat memnyelesaikan konflik organisasi dengan cepat.

11. Memastikan aliran maklumat yang perlu disampaikan kepada ahli usrah daripada pimpinan tertinggi dapat salur dengan baik.

12. Sentiasa memantau ahli usrah supaya dapat kita melihat potensi diri yang ada pada ahli usrah untuk diletak dan diberi peranan dalam kepimpinan dan amanah dalam jamaah.

13. Menyelesaikan dengan segera permasalahan yang berlaku tanpa bertangguh, kerana masalah yang kecil jika tidak diselesaikan dengan segera akan mendatangkan masalah yang lebih besar.


Kesimpulan

Perjalanan usrah yang mengikut method yang sebenar akan berjaya melahirkan mereka yang unggul dari segi peribadi dan agresif dalam melaksanakan kerja-kerja jamaah. Perlaksanaan usrah yang berkesan banyak bergantung kepada kehebatan naqib yang mengendalikan usrah , kerana ia adalah tunjang kepada perlaksanaan usrah. Sekiranya perlaksanaannya tidak tepat seperti yang dikehendaki oleh usrah ia tidak akan dapat memberi apa-apa kesan yang baik untuk peribadinya dan juga jamaah. Kelazatan akan dirasai mereka yang mempraktikkan apa yang diarahkan di dalam usrah.

No comments:

Post a Comment