Tuesday, November 2, 2010

Orang Ikhlas Tertindas???


bismillah...
seringkali jika kita melakukan sesuatu perkara tidak alpa dari mengharapkan sesuatu balasan. sesungguhnya iklhas itu sukar untuk dicari dan ia tersembunyi.

hakikatnya setiap amalan yg dilakukan walaupun dalam keadaan terpaksa tetapi akhirnya pasti akan menjadi kebiasaan. daripada kebiasaan akan menjadi kita ikhlas melakukan sesuatu.

pada entri kali ini, kami ingin berkongsi cerita yg dipetik daripada IluvIslam berkaitan keikhlasan. Moga ianya dapat memberi dan membakar semangat kita untuk terus melakukan kebaikan.

Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa... betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak...

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan...

Lalu saya tulis satu kisah lama... sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

Atau soalan yang lebih 'dalam' dan sukar daripada itu... benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada seseorang atau sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas...Amin.

Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah...

Orang Ikhlas Tertindas?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata seorang kakak berterus-terang.
"Mengapa?" balas saya.
"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas. Fokus saya kepada kerja sahaja."


Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, "kakak punya berapa orang anak?"
Sengaja saya bertanya soal-soal "di luar kotak" agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
"Oh ramai encik..."
"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"


Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
"Kakak, boleh saya bertanya?"
"Tanyalah encik..." ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang "menjadi" dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?"
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"

Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik... tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran..." kata saya perlahan. Hampir berbisik.
"Maksud encik?"
"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi."
"Tidak pernah saya terfikir begitu encik..."


"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."
"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?"
"Maksud kakak?"


"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?"
"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"


Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita..."


Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?"

Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya."
"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?'
"Pasti ada! InsyaAllah."
"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita... Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."

"Subhanallah!"
"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."
"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.


"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!"
"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."
"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi."


"Maksud encik?"
"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting... hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."
"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"


Giliran saya pula tersenyum.
"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja... pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back... Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!" terang saya panjang lebar.

"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"
"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our "CEO", kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan..."
"Maksud encik?"

"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya."
"Kenapa?"
"Kita akan sakit jiwa!"
"Kenapa?"
"Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur," balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

"Tetapi Allah tidak berhenti memberi... " kata kakak itu perlahan.
"Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi... Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?"
"Ah, kita terlalu ego..."

Biodata Penulis

Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Oh Ramadhan..

Terkesima dan terkedu hati ini melihat ramai umat Islam berduyun-duyun hadir ke Masjid Putra di malam awal ramadhan. Jalan menuju ke Masjid Putra dan juga Masjid Sultan Mizan sesak dengan kehadiran ramai pengunjung. Si ibu mengendong anak kecil, si bapa meminpin anak, satu keluarga kelihatan begitu ceria mengunjungi rumah Allah itu. Semestinya niat semua ahli qariah hanyalah untuk melakukan ibadah khususnya di bulan Ramadhan ini. Kehadiran ramai jamaah yang dianggarkan ribuan orang meyebabkan hati ini tersentuh seolah-olah kebenaran Islam pasti akan muncul.

Malangnya keadaan tersebut tidaklah menunjukkan sebanarnya bahawa syiar Islam bakal menyinari Malaysia. Ini kerana suasana ini hanya dapat di lihat ketika menyambut bulan Ramadhan. Di mana umat Islam yang ramai ini ketika solat berjamaah ditunaikan lima kali sehari semalam di masjid semasa bukan di bulan Ramadhan?

Bukan untuk mempertikaikan niat umat Islam yang hadir berjamaah di masjid pada bulan Ramadhan, tetapi adakah ganjaran yang diberikan pada bulan biasa tidak sama atau kurang berbanding pada bulan Ramadhan sehinggakan kehadiran pada bulan Ramadhan lebih banyak berbanding kehadiran pada bulan biasa. Yang lain hanyalah ibadah solat tarawikh sahaja. Tetapi sedarkan kita bahawa solat tersebut hanyalah sunah. Sedangkan solat fardhu yang lain yang semestinya wajib hanya dipandang enteng oleh umat Islam.

Walaupun kita sedia maklum bahawa sebaik-baik malam adalah malam di bulan Ramadhan dan segala ganjaran amalan sunah yang dilakukan pada bulan ini mendapat ganjaran seperti mana melakukan amalan wajib, ia tidak tidak bermaksud ibadah hanya perlu dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja.

Sebagai umat Islam kita perlu istiqamah melakukan ibadah dan tidak perlu bermusim. Persoalannya kini umat Islam hanya memandang ibadah sebagai adat sahaja. Melakukan ibadah khususnya solat berjamaah di malam hari hanya ketika menyambut bulan Ramadhan. Jadi umat Islam perlu membersihkan kefahaman mengenai Islam agar ianya tidak terikat dengan adat sahaja.



Tidak terlambat krew HALAQAH IPG ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan, bulan yang menjanjikan tiga peringkat iaitu rahmat dari Allah, keampunan dari Allah dan pelepasan dari api neraka. Bersama kita pertingkatkan amalan kita dan jadikan Ramadhan ini seperti Ramadhan yang terakhir yang bakal kita tempuhi.

Friday, July 30, 2010

Bijak Wang, Bijak Belanja, Anda Bijak

Tarikh : 21/8/09(mula 6.00 ptg-pendaftaran) hingga 22/8/09 (1 tghri)

Bersamaan 11&12 Ramadhan 1431 H

Hari : Sabtu & Ahad

Tempat : Masjid as-Solihin, Teras Jernang

Yuran : RM15

Sebarang pertanyaan : Huda- 0137976804 ,

Natrah- 019-3744528

Pendaftaran nama, IPT secara sms kpd : Zulaikha- 013-2578150

Hasinah - 013-3926285

Tarikh Tutup penyertaan : 16/8/2010

Apa yang menarik:-

1. Berbuka puasa dan bersahur sesama nisa’ dari pelbagai IPTsekitar Bangi

2. Mengenali nisa’ serdang

3. Grand Qiamullail- hanya nisa’

4. Kursus kewangan

Seminar Al-Quran Peringkat Kebangsaan

Assalamualaikum

Jemputan ke Seminar Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-2

Pada 1 Ogos 2010
Hari Ahad
Jam 8.30pg - 4.30ptg
Di Dewan Muktamar Islam JAWI dpn masjid negara

Pembentang kertas kerja daripada hakim2 tilawah antarabangsa
Anjuran DQ JAKIM

Thursday, July 22, 2010

Pray Hard, Work Smart

Oleh : Ustaz Pahrol Mohd Juoi

“Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni,” kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.
“Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?” tanya saya bergurau.
“Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan. Satu workaholic dan satu lagi solatholic.”

Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar tetapi kalau solatholic itulah kali pertama saya mendengarnya.
“Encik tahu apa maksud workaholic?” tanyanya.
“Orang yang gila atau mabuk kerja,” jawab saya merujuk kepada makna yang diberi dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.
“Solatholic pula orang yang gila solat!” jelasnya tanpa dipinta.

“Jadi apa masalahnya?’

“Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini.”
“Bagaimana?”
“Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggal solat…”
Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, “mereka ini kerja beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain.”

“Yang solatolic bagaimana?”
“Rajin solat tetapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja.”
“Itu kira tak bagus beragamalah, “pintas saya perlahan.
“Mengapa?”
“Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan seluruh sistem hidup. Jadi, orang yang culas kerja ertinya culas juga beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itu pun tidak sempurna dalam beragama,” jelas saya agak panjang.

“Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatolic ni?”
“Solatholic bukan masalah, “ ujar saya.
“Tak masalah kata awak. Orang ini mabuk sembahyang!”
“Apa maksud dengan mabuk sembahyang?”
“Banyak sembahyang?’
“Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu…”

“Maksud awak?”
“Nabi Muhammad terlalu banyak dan lama berdiri solat, sehingga kakinya bengkak-bengkak. Kalau itu boleh dikatakan solatholic, ya Nabi Muhammad adalah seorang yang solatholic. Bahkan baginda menganjurkan jika kita hendak bersamanya di syurga kelak, perlu banyakkan sujud. ”
“Rasulullullah diberitakan bila sujud, seakan-akan tidak mahu berakhir,” tambah saya lagi.

Pengurus itu kehairanan. Jelas kelihatan dia jadi serba-salah dengan kata-katanya tadi. Saya senyum, sambil menepuk bahunya.
“Tapi nabi Muhammad juga workaholic.”
“Baginda juga workaholic?”

“Ya. Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w begitu banyak kerja dan urusannya. Mentadbir seluruh negara, menyusun masyarakat, mengajar, mendidik, memimpin dan pelbagai lagi tugasan dalam keluarga, masyarakat dan negara.”
“Baginda seorang yang workaholic?”
“Tak tahulah apa yang dimaksudkan dengan istilah workaholic tu tetapi jika itu bermaksud kerja keras, banyak bekerja dan gigih pula… yang Rasulullah saw memang begitulah.”

“Jadi seorang itu boleh jadi solatolic dan dia juga workaholic pada suatu masa yang sama seperti Rasulullah?”
“Ya, sewajarnya begitu. Cuba dengar apa yang diluahkan oleh Sayidina Umar Al Khattab insan yang berjaya meneladani Rasulullah s.a.w…”
“Apa katanya?”
“Aku bimbang untuk tidur pada siang hari, takut urusan ku dengan manusia tidak selesai. Dan aku juga bimbang untuk tidur pada malam hari takut urusan ku dengan Allah tidak selesai.”

Dia diam. Benar-benar dalam berfikir.
“Pada siang hari Umar Al Khattab seorang yang workaholic dan pada malam harinya pula dia seorang yang solatolic. Itu maksud awak?”
“Pray hard, work smart. Begitulah kira-kiranya.” Saya mengiakan.
“Bagaimana boleh jadi begitu? Apa yang saya faham solatolic dan workaholic tidak mungkin bersatu pada diri seorang manusia. Kalau dia solatolic, secara automatik dia bukan workaholic. Begitulah sebaliknya.”

“Tidak begitu. Bekerja adalah satu ibadah… ibadah umum namanya. Manakala solat juga satu ibadah. Ia ibadah yang khusus dan asas. Kedua-duanya dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan. “
“Ada kaitan antara ibadah asas dan ibadah umum? Maksud saya antara solat dan kerja?”
“Ibadah asas itu banyak berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah. Ibadah umum pula berkaitan dengan hubungan kita sesama manusia.”
“Ada kaitan tidak?” tanyanya sekali lagi.

Saya diam. Berfikir sejenak.
“Orang yang paling kuat hubungannya dengan Allah dialah yang juga paling kuat hubungannya sesama manusia.”
“Kenapa?”
“Sebab kesan daripada kuat hubungan seseorang dengan Allah akan memberikan dia satu ketulusan dan kekuatan untuk berhubung sesama manusia. Solat akan memberi satu tenaga, semangat dan kekuatan dalam bekerja.”
“Bagaimana?”

Saya mula diasak dengan soalan bertubi-tubi. Tapi saya akur, bukan maksudnya untuk berbahas. Tetapi didorong oleh rasa ingin tahunya yang semakin tinggi.
“ Solat akan memberikan kita ketenangan hasil mengingati Allah. Solat akan mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran. Cuba lihat rukun fik’li, qauli dan qalbi semasa mengerjakan solat… Bukankah semua itu mendidik kita agar bersih, menepati waktu, amanah, bercakap dan berbuat yang dibenarkan sahaja? Kesan solat yang sempurna akan memberikan kekuatan, keberkesanan dan kecekapan dalam bekerja,” terang saya satu persatu.
“Tetapi kenapa ada yang solatolic tetapi malas bekerja?”
“Tentu ada yang salah dengan solatnya. Mungkin solat itu dilaksanakan berdasarkan ritual semata-mata. Tidak difahami makna, tuntutan dan tujuannya. Itu solat yang tidak berjiwa. Umpama bangkai yang tidak bernyawa. Solat semacam itu tidak akan memberi kesan apa-apa pada perlakuan dan pekerjaan selepas mengerjakannya.”

“Hairan pula kenapa yang workaholic tetapi malas solat?’
“Sebabnya sama sahaja. Jika golongan pertama tadi mengerjakan solat tanpa kefahaman dan penghayatan, golongan kedua ini pula enggan mengerjakan solat kerana tidak nampak apa manfaat solat dalam kehidupan mereka… apatah lagi pada pekerjaan mereka. Solat dan kerja terpisah. Itu anggapan mereka.”

“Jadi bagaimana mengatasinya?”
“Golongan rajin solat mesti disedarkan, difahamkan dan dididik untuk bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Tanda akrabnya seorang dengan Allah adalah banyaknya dia berkhidmat untuk manusia. Sayidina Umar pernah mengusir sekumpulan lelaki yang asyik duduk di dalam masjid tetapi tidak bekerja.”
“Bagi golongan workaholic pula?”
“Mereka mesti juga melalui proses yang sama yakni menyedari bagaimana solat itu akan memberi kekuatan dan ketenangan semasa bekerja. Ingat, tadbir kita walau sekuat atau sebijak mana sekalipun masih tertakluk kepada takdir Allah yang Maha Besar.”

Dan bagi mereka yang workaholic ini juga, kita perlu berikan peringatan, “ jangan nanti stres, kecewa dan keletihan melanda kita kerana keterlaluan memerah keringat atau mengasah fikiran. Solat perlu kerana ia memberi satu kerehatan dan penyembuhan kepada keletihan jiwa dan jasad. Lagipun rugi, jika solat ditinggalkan kerja mereka yang banyak itu tidak akan dikira sebagai ibadah. Hanya dapat laba tetapi kosong pahala. Ingat, solat itu kepala ibadat. Tanpa solat, segala amalan yang lain tidak akan diterima Allah.”

“Jadi tidak salah menjadi workaholic dan solatholic jika kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Bahkan kita memang dituntut begitu. Bukankah begitu?”
Saya mengangguk.
“Workaholic untuk manusia, solatolic untuk Allah?”
“Yang paling tepat ialah bekerja kerana Allah untuk manusia!”
“Apa dia ungkapan yang awak katakan tadi?”
“Yang mana satu?” saya sendiri sudah terlupa.
“Pray hard, work smart!”

“Orang yang solatolic seharusnya menjadi orang yang workaholic. Solat akan membentuk orang yang mampu bekerja keras. Orang yang workaholic perlu melaksanakan solat, agar mendapat kekuatan, ketenangan dan mencegahnya daripada penyelewengan seperti rasuah, penindasan dan perbalahan sewaktu melaksanakan kerjanya.”
“Pemikiran ini akan saya sampaikan untuk meredakan konflik antara solatolic dan workaholic dalam organisasi ini!” ujarnya gembira.

Saya senyum lebar akhirnya. Alhamdulillah, semoga semuanya persoalan tadi dapat diselesaikan dengan jelas dan tuntas. Namun, jauh di sudut hati, masih ada kesedihan yang berbekas. Ya, jelas sekali betapa hubungan yang sinergi dan serasi antara solat dengan kerja sudah semakin kabur dalam diri umat ini. Bukan sahaja dalam amalinya bahkan dalam teorinya. Benarnya seperti yang selalu diungkapkan, Islam bukan sahaja agama yang paling disalahertikan oleh bukan Islam malah oleh umat Islam sendiri!

Sumber : http://genta-rasa.com

Saturday, July 3, 2010

The Headmaster Who Sleeps At School



BUKIT PELANDOK, Negeri Sembilan: A headmaster treats his school as his second home, and has been literally living in the school three days in a week. As a result, students' parents can look for him day or night.

He is headmaster Liu Shuang Zhen of SRJK (C) Kampung Baru Tanah Merah. He was appointed the principal of this school only last December, and has begun to live in the school for three days a week since the new semester started this year.

His "bedroom" at the school used to be a store room measuring 12 feet by 12 feet. There are only some simple furniture and a single bed with a mosquito net hanging over it in his bedroom. At night, he would spend his leisure time reading Sin Chew Daily and some books.

Tak ramai guru yang sanggup memanfaatkan masanya untuk mendidik dan memastikan prestasi anak muridnya sentiasa cemerlang. Diharapkan apa yang dilakukan oleh guru tersebut dapat memotivasikan kita agar lebih bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada anak didik kita.

Friday, July 2, 2010

Pandangan Mengenai Peperiksaan Sekolah

Pandangan 1

SAYA agak terkejut apabila kerajaan ingin memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan negara. Bagi saya ia adalah satu tindakan yang agak melulu dan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak. UPSR sebagai contohnya digunakan sebagai ujian untuk menguji kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Ia adalah asas untuk digunakan oleh semua pelajar pada masa akan datang. Jika tiada ujian diadakan, bagaimana untuk kita mengetahui adakah sukatan yang diajar guru berjaya atau tidak

Bagi PMR, ia wajar dimansuhkan kerana memadai untuk menjadikan SPM sebagai kayu ukur dalam prestasi pelajar di sekolah menengah. Masyarakat kita sebenarnya hidup dalam masyarakat yang berasaskan peperiksaan

Dalam sektor kerajaan sendiri, ada peperiksaan PTK yang akan menentukan kenaikan pangkat dan gaji bagi penjawat awam. Peperiksaan juga akan mendorong pelajar untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran mereka. Begitu juga kakitangan awam sendiri. Budaya membaca sukar dibentuk jika tidak ada sedikit unsur paksaan yang dilakukan secara halus menerusi peperiksaan yang bakal mereka hadapi.

Walaupun kini beberapa gerakan membaca dilakukan oleh pertubuhan buka kerajaan (NGO) seperti Baca@LRT, Baca@Komuter dan sebagainya, tetap ia tidak cukup kerana golongan sasaran sebenarnya ialah golongan pelajar. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika budaya membaca tidak dipupuk ketika masih muda. Ia lebih sukar apabila pada tahap yang lebih dewasa dengan ada pelbagai jenis hiburan pada zaman ini. Diharap kerajaan dapat meneliti kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan agar bangsa Malaysia akan terus berjaya pada masa akan datang.

MOHD SHAMSURIYADI MAMAT, Kuala Kangsar, Perak




Pandangan 2


CADANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada dasarnya memang baik. Tujuannya amat murni, dengan harapan agar guru dapat memberikan pendidikan yang tulen berdasarkan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, pelajar pula dapat disemaikan dan dimantapkan dengan nilai mencari ilmu, mengukuhkan jati diri, bernilai murni dan pelbagai lagi aspek kehidupan yang akhirnya melahirkan insan kamil

Dewasa ini, apa yang kita lihat di kebanyakan sekolah, guru dan pelajar hanya bersungguh-sungguh mengajar dan belajar semasa anak didik ini berada di dalam kelas untuk peperiksaan saja. Pada masa inilah guru mengadakan kelas tambahan, pihak pentadbir melaksanakan pelbagai program peningkatan akademik, manakala ibu bapa memberikan perhatian kepada anak mereka yang bakal menghadapi peperiksaan

Namun, bagaimana pula halnya dengan kelas yang pelajarnya tidak menduduki peperiksaan? Terlalu kurang program malahan kelas tambahan jarang diadakan. Ibu bapa pula kurang memberi perhatian kepada anak ini kerana tiada peperiksaan awam yang harus ditempuhi. Oleh itu, jika sepanjang 11 tahun pelajar berada di sekolah dan hanya akan menduduki peperiksaan SPM saja, bayangkan apa yang akan berlaku terhadap pelajar dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Empat? Yakinlah, komitmen semua pihak akan berkurangan untuk memberi didikan yang sewajarnya kepada anak didik ini.

Saya yakin, niat Muhyiddin merangkap Menteri Pelajaran agar semua pelajar dapat menimba ilmu sebanyak mungkin di sekolah tanpa terlalu bergantung kepada latihan menjawab soalan pada sepanjang tahun. Apa yang penting dalam sistem pendidikan kita ialah mengurangkan kandungan sukatan pelajaran tetapi sebaliknya bagi setiap tajuk diberikan penekanan yang lebih mendalam. Misalnya, bagi mata pelajaran sains, apa salahnya, hanya dikekalkan 50 peratus sukatan pelajaran saja, tetapi bagi setiap tajuk disertakan dengan ilmu tambahan, dikaitkan dengan kehidupan dan isu semasa.
Oleh itu, peperiksaan harus dikekalkan bagi memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas tetapi bentuk soalan haruslah berubah yang menjurus kepada semua pelajar dapat menjawabnya cuma kualiti jawapannya saja yang dapat membezakan kematangan mereka.

Saya berharap, Kementerian Pelajaran tidak tersalah langkah seperti yang berlaku menghapuskan yuran peperiksaan akhirnya ramai yang tidak menghargai peperiksaan itu, memberikan buku teks percuma kepada semua pelajar sama ada miskin dan kaya, menghantar ke sekolah komputer, LCD, CD, VCD dan akhirnya terbiar begitu saja di bilik kelas atau di dalam stor. Semuanya ini mengundang perbelanjaan yang besar tetapi kesannya amat minimum.

GURU C2, Johor

Dipetik daripada lhakim-suarahati.blogspot.com