Terkesima dan terkedu hati ini melihat ramai umat Islam berduyun-duyun hadir ke Masjid Putra di malam awal ramadhan. Jalan menuju ke Masjid Putra dan juga Masjid Sultan Mizan sesak dengan kehadiran ramai pengunjung. Si ibu mengendong anak kecil, si bapa meminpin anak, satu keluarga kelihatan begitu ceria mengunjungi rumah Allah itu. Semestinya niat semua ahli qariah hanyalah untuk melakukan ibadah khususnya di bulan Ramadhan ini. Kehadiran ramai jamaah yang dianggarkan ribuan orang meyebabkan hati ini tersentuh seolah-olah kebenaran Islam pasti akan muncul.
Malangnya keadaan tersebut tidaklah menunjukkan sebanarnya bahawa syiar Islam bakal menyinari Malaysia. Ini kerana suasana ini hanya dapat di lihat ketika menyambut bulan Ramadhan. Di mana umat Islam yang ramai ini ketika solat berjamaah ditunaikan lima kali sehari semalam di masjid semasa bukan di bulan Ramadhan?
Bukan untuk mempertikaikan niat umat Islam yang hadir berjamaah di masjid pada bulan Ramadhan, tetapi adakah ganjaran yang diberikan pada bulan biasa tidak sama atau kurang berbanding pada bulan Ramadhan sehinggakan kehadiran pada bulan Ramadhan lebih banyak berbanding kehadiran pada bulan biasa. Yang lain hanyalah ibadah solat tarawikh sahaja. Tetapi sedarkan kita bahawa solat tersebut hanyalah sunah. Sedangkan solat fardhu yang lain yang semestinya wajib hanya dipandang enteng oleh umat Islam.
Walaupun kita sedia maklum bahawa sebaik-baik malam adalah malam di bulan Ramadhan dan segala ganjaran amalan sunah yang dilakukan pada bulan ini mendapat ganjaran seperti mana melakukan amalan wajib, ia tidak tidak bermaksud ibadah hanya perlu dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja.
Sebagai umat Islam kita perlu istiqamah melakukan ibadah dan tidak perlu bermusim. Persoalannya kini umat Islam hanya memandang ibadah sebagai adat sahaja. Melakukan ibadah khususnya solat berjamaah di malam hari hanya ketika menyambut bulan Ramadhan. Jadi umat Islam perlu membersihkan kefahaman mengenai Islam agar ianya tidak terikat dengan adat sahaja.
Tidak terlambat krew HALAQAH IPG ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan, bulan yang menjanjikan tiga peringkat iaitu rahmat dari Allah, keampunan dari Allah dan pelepasan dari api neraka. Bersama kita pertingkatkan amalan kita dan jadikan Ramadhan ini seperti Ramadhan yang terakhir yang bakal kita tempuhi.
No comments:
Post a Comment