Wednesday, December 3, 2008

KEPENTINGAN PELAKSANAAN USRAH DI IPGM


KEPENTINGAN PELAKSANAAN USRAH DI IPGM


Guru memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan sebuah generasi yang memahami serta menghayati Islam. Guru juga dikenali sebagai “ agen perubahan” kepada sesuatu masyarakat. Namun begitu ia hendaklah bermula dengan wujudnya ciri-ciri individu muslim yang mantap dalam diri guru tersebut. Membina individu muslim dalam diri guru, memerlukan satu sistem pentarbiyahan yang SEMPURNA.

Maka di sinilah pentingnya sesebuah Institusi Pendidikan Guru (IPG) itu menjadi “medan tarbiyah” kepada semua guru pelatih muslim. Di sini guru pelatih itu dibentuk dan “dicanai” dengan sistem pentarbiyahan Islam hingga mempunyai cara berfikir dan peribadi Islami.

Maka setelah tamat tempoh belajar di IPG tersebut, akan lahirlah guru yang bukan sahaja mampu untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar malah mampu untuk membentuk akhlak Islam dalam diri murid mereka.

Pelaksanaan usrah di IPG merupakan salah satu elemen yang berperanan besar dalam memastikan kejayaan sesuatu sistem pentarbiyahan yang ingin dipraktikkan.

Usrah di IPG merupakan satu medan di mana ahlinya yang terdiri daripada guru pelatih-pelatih muslim bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat UKHUWWAH ISLAMIAH. Seiring dengan pengertian usrah itu sendiri yang bermaksud keluarga. Usrah dilihat sebagai “tunjang tarbiyah”. Justeru, pelaksanaan usrah di seluruh IPG haruslah dipandang serius.

Ia bukanlah satu aktiviti yang dilaksanakan semata-mata untuk MEMENUHKAN TAKWIM tetapi ia adalah suatu keperluan yang harus dilaksanakan secara terperinci dan terancang. Organisasi-organisasi yang menaungi pelatih muslim di setiap IPG seperti Biro Agama JPP, Jawatankuasa Surau, dan Persatuan Agama Islam haruslah sedar akan hakikat ini.

SASARAN USRAH

>>Seluruh guru pelatih muslim

REALITI YANG PERLU DIFAHAMI

Organisasi-organisasi yang menaungi pelatih muslim di setiap IPG harus menyedari bahawa pelatih muslim yang berada di IPG masing-masing adalah dari latar belakang yang pelbagai. Kita bukan hanya memilih ‘kaki-kaki surau’ atau yang ‘bertudung labuh’ sahaja untuk diambil sebagai ahli usrah. Oleh itu, JANGAN GELABAH dalam menguruskan usrah di kalangan pelatih muslim IPG masing-masing

Bukan semua pelatih muslim mampu mengikut bentuk USRAH YANG IDEAL, oleh itu beberapa penyesuaian dengan waqi’ atau suasana tertentu perlu dilakukan, yang penting adalah ahli tersebut DAPAT MEMAHAMI HAKIKAT ISLAM dan sekali gus menjadi guru seperti yang digariskan oleh Islam.

Pihak naqib atau ketua usrah boleh MENGIKUT KESESUAIAN ahli usrah. Jangan kerana usrah, guru pelatih tidak mahu lagi mendekati program-program kita kerana terlalu REGID (mengikat).

Perkara yang penting dalam perlaksanaan usrah ialah MENCAPAI MATLAMAT USRAH iaitu untuk menjadi keseluruhan guru pelatih muslim yang faham Islam, menghayati dan mengembangkan Islam.

Kadang-kadang matlamat boleh tercapai melalui kuliah umum, tazkirah, menghimpunkan dalam majlis Yasin dan sebagainya. Apa yang penting guru pelatih muslim dapat mengambil sebahagian daripada matlamat usrah.

Jangan kerana USRAH IDEAL TIDAK DAPAT DILAKSANAKAN maka kita terus tidak mahu melaksanakan program pentarbiyahan. Kaedah usul “Jangan tidak boleh ambil semua maka kita tinggal semua”

Perkongsian artikel dari:

Muhammad Ehsan Bin Abd. Halim

http://ehsanhalim.blogspot.com/

Tuesday, December 2, 2008

Peranan Guru sebagai Revolusioner masyarakat


Skop yang akan kita bincangkan ini adalah amat luas sebenarnya. Dalam fikiran ana , ana sering tertanya-tanya banyak perkara .Antaranya , ana bagi “point” di sini ialah :Mungkin ini hanya “cebisan” kecil daripada pemikiran ana sendiri.

Adakah kita sebagai guru ini hanya bertindak sebagai “ robot” yang akan mengajar generasi hadapan dengan apa yang dipelajari kita dalam bilik kuliah sahaja semasa di IPGM?

Seandainya , ana ambil kursus Sains Pendidikan, adakah itu sahaja yang ana dapat curahkan kepada anak bangsa ? Adakah ana hanya setakat masuk ,mengajar , balik , makan tidur dan semuanya berakhir bila ana dipanggil menghadap Allah kelak?


Memang sebagai seorang guru begitulah tugas kita sebagai seorang figur yang tugasnya mengajar anak-anak murid di hadapan , namun adakah “sekadar itu”?

Adakakah sekadar itu ? mana penerapan nilai kecintaan agama dan bangsa yang kita hendak semai ?


di kala Negara kita hari ini dikejutkan dengan pelbagai berita yang melibatkan guru dan anak murid mereka…Berita yang menyedihkan ,berita yang mengharukan dan berita yang kita akan berasa “takjub” dengannya, sebab ia tak pernah berlaku sebelum ini !


Ana ambil contoh beberapa isu yang berlaku di negara kita sepanjang tahun ini. isu murid tendang guru di Perlis, isu murid buat video lucah DI Kuala Terengganu , isu ketagihan hidu gam (tora) di kalangan pelajar sekolah di Alor Setar, isu pelajar jual badan untuk tanggung duit persekolahan sendiri dan pelbagai jenis isu yang melibatkan anak bangsa kita yang masih bersekolah .


Itu tidak masuk lagi dengan gejala mat rempit, hisap gam , bergaduh , black metal , pemurtadan kristianisasi ,emo, punk , skinhead dan pelbagai jenis ancaman yang ‘memeritkan ‘ telinga untuk mendengarnya (bagi hati yang tak buta) .

Adakah generasi ini yang kita akan beri amanah untuk mewarisi dan mentadbir Negara kita?





Rosak jahanam Negara kita . Seorang cerdik pandai menyatakan , jika ingin melihat masa depan sesebuah negara , lihatlah pada anak mudanya.


Ana malu untuk menyatakan bahawa ana hanya sekadar seorang guru yang hanya sekadar mengajar subjek di depan tapi tak mampu menyumbangkan sesuatu untuk anak bangsa yang tercinta ini .


Apa beza ana dengan perkakasan pengajaran seperti komputer dan projektor LCD ? seandainya ana tidak mampu memberi dan menyelitkan izzah Islamiyah dan keunggulan bangsa Melayu sebagai suatu selitan atau “ulam” dalam proses pengajaran dan pembelajaran ana.


Ana tidak bercakap bahawa kita akan mewujudkan sesi kelas agama sedangkan ana dipertanggungjawabkan dengan subjek sains.


Maksud ana biarlah dalam sesi pengajaran itu diselitkan dengan hadis-hadis , atau kefahaman Islam , persoalan tentang umat dan sebagainya yang diberikan secara langsung mahupun tidak langsung kepada para pelajar.


Jangan dipisahkan agama dengan dunia. Andai dipisah lagu dan irama , lemah tiada berjiwa , hampa.


Guru-guru seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan ilmu dunia yang mendatangkan faedah seperti pengetahuan tentang isu permasalahan sosial semasa, hak keistimewaan orang melayu , peperangan , penindasan dan banyak lagi isu-isu semasa yang boleh diselitkan bagi menanamkan kecintaan anak-anak murid mereka terhadap agama , Negara dan bangsa mereka .


Mereka (anak-anak murid) ini seharusnya didedahkan tentang perkara seumpama itu secara tidak langsung . Patriotik sebagai kesimpulan


Ini tidak , buat KARNIVAL Kempen Rukun Negara, “konon-kononnya” menyemai semangat patriotik, tapi pengisian dia, baik pergi Jom Heboh la. Berjoget sana menari sini. Bukan tempat sini la, nun jauh di pedalaman Afrika .


Tiada beza. Kalau cikgu sendiri pun , masuk kelas cakap merepek , cerita pasal rumah tangga , gossip-gosip , mengumpat , buat clique macam budak-budak, pakai seksi sendat , dan tak tunjuk contoh kepada anak-anak murid ,alangkah malangnya generasi muda kita.


Fahamilah bahawa para guru hari ini umpama ibu bapa kepada anak-anak kerana kebanyakan masa anak-anak dihabiskan dengan guru-guru di sekolah

.Pagi dan tengah hari di sekolah , kadang kadang petang dan malam pun ada kelas tambahan .(Jadi sememang selayaknya para guru digelar ibu bapa kedua).


Guru-guru ni juga terkadang mengetahui perihal anak-anak murid mereka melebihi ibu bapa anak murid itu sendiri.


Guru umpama seorang daie atau pendakwah yang paling lama yang akan berhadapan dengan mad’u ( golongan sasaran) mereka.


Gurulah antara “engineer” Negara yang paling penting . dari seorang gurulah akan terlahirnya seorang jurutera, dari seorang gurulah lahir seorang ulama, dan dari seorang gurulah lahirnya pelbagai pekerjaan .


Dari seorang guru yang pakai tak seberapa makan pun sederhana ini lahirnya ramai wira dan penyangak bangsa !


Kalau guru kencing berdiri , anak murid bukan setakat kencing berlari tapi terus buat marathon. Ini realiti yang perlu setiap guru terima.


Tak kan kita nak harapkan ustaz-ustazah sahaja buat kerja dakwah ? sedangkan kita telah dipilih sebagai khalifah Allah di muka bumi dan berperanan untuk menyampaikan dakwahNya? Melihat ada antara guru dan pelatih guru yang terlibat dengan zina (Penang) , Pertandingan “Ratu” cantik pondan (Kota Bharu) , guru rogol anak murid dan beberapa isu lain menyebabkan kita tak senang duduk.


Mereka ini akan mengajar anak bangsa kita ? Minta dijauhkan.


Kenapa ana menekankan perkara ini? Sebagaimana yang ana tekankan tadi ,kita tidak mahu perkara kerosakan yang melanda generasi pelapis ini dari terus berterusan . Yang berlaku biarlah berlalu.


Perkara yang sudah lepas , rosak binasa kalau difikirkan kembali. Apa yang penting kuatkan kefahaman kita tentang Islam , hak dan kerukunan Melayu ,bukan sekadar melaungkan ketuanan Melayu , tetapi habuk tarak.


Projek melepas kat tangan bangsa lain, main tikam belakang anak bangsa sendiri , jawatan pun berebut , dan main rasuah macam makan kacang goreng .Ini kepala bapak punya ketuanan ni. Kembalilah kepada Islam yang syumul .


Usah toleh belakang lagi .Tambahkan ilmumu bukan sahaja dalam bidangmu ,tetapi penekanan kepada fardhu ain mestilah ada. Orang Melayu Malaysia hanya akan maju dengan kembali semula kepada fitrah, yakni kepada agama Islam itu sendiri. Kenapa orang barat boleh maju ?


mereka kembali kepada fitrah mereka- kufur terhadap Allah , menarik muslim ke arah “jalan” mereka dengan menjadikan kita umpama tikus makmal kerana disogokkan dengan segala budaya dan pemikiran sampah (hedonism, sekularisme, wahn dsb ), mengamalkan apa yang dilarang Allah , meninggalkan segala larangan Allah ,kufur terhadap nikmat-Nya dan sebagainya.


Mereka juga menjadikan dunia sebagai tujuan utama mereka. Adakah kita , terutama kepada bakal guru, yang beragama Islam , “berminat” menjadi seperti mereka? Tentu tidak bukan.

Orang Melayu ,jika mengikut definasi yang terdapat dalam perlembagaan , adalah bangsa asal tanah melayu , beragama islam , yang bercakap dalam bahasa melayu , mengamalkan budaya melayu dan berketurunan Melayu.


Tapi ramai Melayu hendak jadi orang putih, muka liat pesat ,hidung pesek kembang , rambut hitam legam , ada yang kena air karat , bertukar menjadi perang dan bercakap pun pasal hiburan dan perkataan sia-sia sahaja.


Hendak maju ? Bila kita boleh menjadi maju sedangkan budaya sampah terus diangkut dari kahak Negara barat. Sesetengah budaya yang diceduk dari barat , mereka sendiripun anggap budaya itu sebagai budaya sampah di luar dari norma masyarakat dan budaya “kencingan”.


Sebagai contoh black metal , dan punk. Tapi tidak sedikit anak muda kita yang terperangkap dalam “tipu daya” ini.


Jadi pada hemat ana yang dhaif ini , guru sepatutnya terkehadapan dari segi pentarbiyahan diri dan pengetahuan tentang isu semasa yang melanda Malaysia , khasnya dan melanda dunia amnya.


Ana tidak bercakap dari sudut teori atau sekadar sembang “berasap berapi “, tapi inilah yang sepatutnya kita perjuangkan , khasnya kepada yang telah mengikuti dan menerima tarbiyah , bahkan kepada yang tidak terima tarbiyah , namun “celik” terhadap permasalahan yang melanda.


Di kala para pemimpin masih lagi tidur , masih dengan kepentingan politik sempit mereka, masih dengan pergaduhan sesama bangsa ini hingga mengetepikan tanggungjwab sebenar mereka untuk mendidik dan memimpin rakyat, kitalah ,para pelapis guru yang akan menjadi pemimpin bagi dalam kelas ,ilmunya dan kefahaman untuk ditebarkan ke seluruh alam, insyaalllah .


Bangunlah wahai saudaraku ,rapatkan saff, tahu tujuan , tahu matlamat akhir , kumpul tenaga dan teruskan perjuangan mentarbiyahkan diri. Selepas itu, sebarkan .


Artikel ini adalah perkongsian dan sumbangan dari:

Ahmad Zhafri bin Md Noor @ Mujahid Page

http://deafeningsilent.blogspot.com


p/s: Sebarang bentuk penulisan berkaitan sesuatu isu yang disumbangkan kepada IGPIS bukanlah melambangkan pendirian sebenar IGPIS.

Sekolah satu sistem


KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Menurutnya, menerusi sistem pendidikan sedemikian semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Sudah tentunya murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.

“Malah di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mukhriz berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk melepaskan sistem sekolah berbeza yang dilaksanakan sekarang memandangkan ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Beliau berharap pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak melihat cadangan tersebut secara negatif kerana ia bertujuan menjadi penyelesaian kepada masalah perkauman yang menjejaskan semangat kebangsaan rakyat Malaysia.

“Jika ada yang menolak cadangan ini, mereka perlu menjelaskan sebab-sebab mereka menentangnya. Bagaimana mungkin mereka bercakap mengenai perpaduan dan mempersoalkan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama masih berkeras untuk mengamalkan sistem sekolah berbeza bagi kaum mereka?

“Kalau kita mahu hak yang sama rata, kita tidak boleh mempunyai sistem pendidikan berbeza. Kita tidak boleh mendapatkan kek dan mahu makan kesemuanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, semua pihak khususnya pemimpin parti-parti komponen BN perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh meregangkan hubungan antara mereka, termasuk membangkitkan isu ketuanan Melayu.

Beliau yang melihat isu itu sebagai perkembangan yang tidak sihat berkata, sejak akhir-akhir ini banyak kenyataan dibuat oleh pemimpin parti komponen BN yang mampu menaikkan kemarahan orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO.

“Sekiranya mereka berdegil dan terus mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ketuanan Melayu, janganlah pula terkejut jika orang Melayu mula membuat reaksi balasan mengenai apa yang dianggap mereka sebagai ketuanan ekonomi kaum bukan Melayu di negara kita.

“Jadi eloklah kita elakkan polemik ini kerana walau apa pun yang dikatakan mengenai isu ketuanan Melayu, orang Melayu tidak pernah merasakan mereka tuan apabila bercakap tentang ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beberapa tokoh pendidikan negara menyokong cadangan Mukhriz tersebut.

Mereka berpendapat sistem pendidikan Malaysia kini adalah hasil peninggalan zaman penjajahan British yang menampilkan sekolah aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, cadangan Mukhriz itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli-ahli politik negara ini.

“Lebih-lebih lagi politik negara sekarang dilihat lebih menekankan perkauman dan sehubungan itu terpulang kepada kerajaan untuk melaksanakannya,’’ kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bersetuju dengan saranan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu untuk mewajibkan murid mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

“Memang tidak kena. Kaum Cina mempunyai bahasa Kantonis, Hokkien dan Mandarin.

“Bahasa Tamil pula jelas sekali bukan merupakan bahasa ibunda untuk pelajar kaum India. Ada lagi bahasa Telegu dan Punjabi,” jelas beliau.

Ahli sejarah, Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan cadangan Mukhriz itu sebagai sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes 1951.

“Malangnya cadangan itu tidak dapat dilaksanakan dan kemudian dilupakan begitu sahaja ekoran orientasi pendidikan yang lebih menekankan markah ‘A’ dalam peperiksaan.

“Pelajar belajar tanpa matlamat positif untuk perpaduan, hanya untuk peperiksaan. Seringkali mereka tidak faham apa-apa yang dipelajari... mereka hanya tahu menghafal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, cadangan Mukhriz itu bukan sesuatu yang baru tetapi pelaksanaannya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

“Cadangan itu sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956.

“Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan sampai ke hari ini. Ternyata sistem pendidikan negara kini adalah ciptaan penjajah British dulu yang masih kita warisi selepas kemerdekaan negara,” katanya.

IGPIS : Apa pendapat anda mahasiswa IPG sekalian? Sebarang respon boleh nyatakan melalui komen dibawah.

Dua beradik hanyut, kakak maut .


KOTA BHARU – Keseronokan tiga beradik bersama sepupunya bermain di tepi tali air sedalam dua meter akhirnya bertukar tragedi menyayat hati apabila salah seorang daripada mereka mati lemas dekat Melor, di sini semalam.

Mangsa, Nur Amelia Ayob, 11, meninggal dunia dalam kejadian jam 11 pagi itu selepas tergelincir dan jatuh ke dalam tali air tersebut.

Sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya, Mohd Azizi, 13, dan adiknya, Mohd Ashraf, 10, serta sepupunya, Arif Fadhlan Sapuan, 11, dikatakan ke tali air berkenaan untuk melihat penduduk menahan pukat.

Ibu mangsa, Masnizan Jaafar, 46, ketika ditemui memberitahu anak kedua daripada lima beradik tersebut tidak pernah ke tempat kejadian kerana dia selalu mengingatkan mengenai bahayanya kawasan tersebut memandangkan musim hujan.

“Sebelum ini saya pernah memarahi Amelia dan adik-adiknya yang lain supaya tidak mendekati tali air berkenaan tetapi hari ini saya tidak mengetahui mereka berempat ke situ.

“Selepas pulang dari kelas tambahan, Amelia hanya pulang untuk menyimpan begnya dan terus keluar bersama abang dan adiknya tanpa memberitahu saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Bagaimanapun, adik mangsa, Mohd Ashraf yang turut lemas dalam kejadian tersebut bersyukur kerana dia diselamatkan oleh penduduk kampung dan kini masih dalam keadaan trauma.

“Kakak licin.” Hanya itulah yang mampu diucapkan Mohd Ashraf yang masih terkejut dengan kehilangan kakaknya kerana dia menyaksikan sendiri detik cemas tersebut.

Sepupu mangsa, Arif Fadhlan yang bersama-sama bermain terkilan kerana dia tidak dapat menyelamatkan arwah ketika Amelia dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tali air dan dibawa arus.

“Saya hanya mampu melihat dan melaung sekuat-kuat hati untuk meminta tolong penduduk supaya menyelamatkan Amelia kerana saya tidak pandai berenang.

“Saya melihat arwah tenggelam dan tidak timbul-timbul sehinggalah mayatnya dijumpai penduduk kampung dengan bantuan anggota bomba,” katanya.

IGPIS mengucapkan takziah kepada keluarga Nur Amelia Ayob. Semoga adik Amelia ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Al-Fatihah..

Sumber: Sinar Harian 2Dis 2008

BERSEMANGAT..

Azimah Abdul Aziz dan rakannya, Nor Azilah Rashid (kiri) menaiki perahu yang dikemudi adiknya, Mohamad Ridzuan dari Kampung Bendang Pak Yong untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang bagi menduduki peperiksaan STPM di Tumpat, Kelantan, semalam.

Keazaman yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran mendorong dua pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Nor Azilah Rashid dan rakannya, Azimah Abdul Aziz meredah banjir dengan menaiki perahu untuk ke pusat peperiksaan bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Walaupun terpaksa mendayung perahu selama hampir sejam meredah banjir yang melanda Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat di Kelantan, ia sama sekali tidak mematahkan semangat kedua-dua mereka.

IGPIS: Sama-samalah kita doakan keselamatan sahabat-sahabat kita yang ditimpa banjir.

Mari Berkenalan Denganku

Monday, December 1, 2008

Pemberitahuan: Peraduan Menulis Cerita Kanak-kanak Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009



PERADUAN MENULIS CERITA KANAK-KANAK
SEMPENA HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

Peraduan ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu;
  • Kategori Guru
  • Kategori Murid Sekolah Rendah (Tahun 4 – 6)
  • Kategori Murid Sekolah Menengah Rendah (Tingkatan 1 – 3)
  • Kategori Murid Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4 – 5)

Syarat-Syarat Peraduan
  1. Peraduan ini terbuka kepada semua murid yang sedang belajar di sekolah bantuan penuh kerajaan di seluruh Malaysia.
  2. Cerita hendaklah ditulis samada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
  3. Tema cerita ‘Terima Kasih Cikgu’.
  4. Tajuk skrip penulisan adalah bebas.
  5. Peserta hanya boleh mengemukakan satu hasil karya dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
  6. Panjang cerita
    - Kategori Guru TIDAK lebih daripada 3,000 patah perkataan.
    - Kategori Sekolah Menengah TIDAK lebih daripada 1,000 patah perkataan.
    - Kategori Sekolah Menengah Rendah TIDAK lebih daripada 500 patah perkataan.
    - Kategori Sekolah Rendah TIDAK lebih daripada 250 patah perkataan.
  7. Jumlah perkataan mestilah dicatatkan dengan tepat pada penghujung hasil karya.
  8. Halaman muka surat mestilah ditaip pada setiap halaman skrip.
  9. Hasil karya hendaklah ditaip atas kertas saiz A4 dalam jarak langkau dua dan menggunakan huruf jenis Arial saiz 12 poin.
  10. Hasil karya hendaklah merupakan hasil penulisan asli bukan ciplak atau terjemahan dan belum pernah disiarkan atau diterbitkan.
  11. Hasil karya tidak boleh mengandungi unsur-unsur negatif yang menyentuh sensitiviti kaum,agama dan politik.
  12. Latar belakang cerita hendaklah berdasarkan masyarakat Malaysia yang berfokuskan kehidupan harmoni dan bersatu dalam kalangan pelbagai kaum. Nilai-nilai murni harus diterapkan.
  13. Penulis hendaklah menghantar hasil karya yang asal.
  14. Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menerbit, mencetak dan mengedar karya-karya yang diterima.
  15. Maklumat penyertaan hendaklah ditulis pada Lampiran BBT III.
  16. Penulisan skrip adalah untuk bahan bacaan murid sekolah rendah dan menengah.
  17. Tarikh tutup peraduan ialah pada 2 Februari 2009.
  18. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan dijemput untuk menerima hadiah dalam Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2009.
  19. Hasil karya hendaklah sampai sebelum atau pada tarikh tersebut ke Jabatan Pelajaran Negeri.
  20. Penyertaan yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan di atas tidak akan dipertimbangkan.
  21. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang surat-menyurat berkaitan dengan peraduan tidak akan dilayan. Bukti penghantaran bukan bukti penerimaan.
  22. Sekiranya ada sebarang pertanyaan sila hubungi Encik Krishanan a/l Ponnusamy di talian 03-88844480 atau Puan Hajah Siti Natrah binti Mukhtaram di talian 03-88844485.
IGPIS: Kepada mana-mana pelatih muslim yang mempunyai adik-adik yang masih bersekolah bolehlah menggalakan mereka untuk sertai pertandingan ini. Semasa anda terlibat dengan PBS atau Praktikum, anda juga bolehlah menggalakkan pelajar-pelajar untuk menyertainya.