Tuesday, December 2, 2008

Sekolah satu sistem


KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Menurutnya, menerusi sistem pendidikan sedemikian semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Sudah tentunya murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.

“Malah di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mukhriz berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk melepaskan sistem sekolah berbeza yang dilaksanakan sekarang memandangkan ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Beliau berharap pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak melihat cadangan tersebut secara negatif kerana ia bertujuan menjadi penyelesaian kepada masalah perkauman yang menjejaskan semangat kebangsaan rakyat Malaysia.

“Jika ada yang menolak cadangan ini, mereka perlu menjelaskan sebab-sebab mereka menentangnya. Bagaimana mungkin mereka bercakap mengenai perpaduan dan mempersoalkan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama masih berkeras untuk mengamalkan sistem sekolah berbeza bagi kaum mereka?

“Kalau kita mahu hak yang sama rata, kita tidak boleh mempunyai sistem pendidikan berbeza. Kita tidak boleh mendapatkan kek dan mahu makan kesemuanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, semua pihak khususnya pemimpin parti-parti komponen BN perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh meregangkan hubungan antara mereka, termasuk membangkitkan isu ketuanan Melayu.

Beliau yang melihat isu itu sebagai perkembangan yang tidak sihat berkata, sejak akhir-akhir ini banyak kenyataan dibuat oleh pemimpin parti komponen BN yang mampu menaikkan kemarahan orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO.

“Sekiranya mereka berdegil dan terus mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ketuanan Melayu, janganlah pula terkejut jika orang Melayu mula membuat reaksi balasan mengenai apa yang dianggap mereka sebagai ketuanan ekonomi kaum bukan Melayu di negara kita.

“Jadi eloklah kita elakkan polemik ini kerana walau apa pun yang dikatakan mengenai isu ketuanan Melayu, orang Melayu tidak pernah merasakan mereka tuan apabila bercakap tentang ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beberapa tokoh pendidikan negara menyokong cadangan Mukhriz tersebut.

Mereka berpendapat sistem pendidikan Malaysia kini adalah hasil peninggalan zaman penjajahan British yang menampilkan sekolah aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, cadangan Mukhriz itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli-ahli politik negara ini.

“Lebih-lebih lagi politik negara sekarang dilihat lebih menekankan perkauman dan sehubungan itu terpulang kepada kerajaan untuk melaksanakannya,’’ kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bersetuju dengan saranan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu untuk mewajibkan murid mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

“Memang tidak kena. Kaum Cina mempunyai bahasa Kantonis, Hokkien dan Mandarin.

“Bahasa Tamil pula jelas sekali bukan merupakan bahasa ibunda untuk pelajar kaum India. Ada lagi bahasa Telegu dan Punjabi,” jelas beliau.

Ahli sejarah, Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan cadangan Mukhriz itu sebagai sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes 1951.

“Malangnya cadangan itu tidak dapat dilaksanakan dan kemudian dilupakan begitu sahaja ekoran orientasi pendidikan yang lebih menekankan markah ‘A’ dalam peperiksaan.

“Pelajar belajar tanpa matlamat positif untuk perpaduan, hanya untuk peperiksaan. Seringkali mereka tidak faham apa-apa yang dipelajari... mereka hanya tahu menghafal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, cadangan Mukhriz itu bukan sesuatu yang baru tetapi pelaksanaannya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

“Cadangan itu sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956.

“Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan sampai ke hari ini. Ternyata sistem pendidikan negara kini adalah ciptaan penjajah British dulu yang masih kita warisi selepas kemerdekaan negara,” katanya.

IGPIS : Apa pendapat anda mahasiswa IPG sekalian? Sebarang respon boleh nyatakan melalui komen dibawah.

Dua beradik hanyut, kakak maut .


KOTA BHARU – Keseronokan tiga beradik bersama sepupunya bermain di tepi tali air sedalam dua meter akhirnya bertukar tragedi menyayat hati apabila salah seorang daripada mereka mati lemas dekat Melor, di sini semalam.

Mangsa, Nur Amelia Ayob, 11, meninggal dunia dalam kejadian jam 11 pagi itu selepas tergelincir dan jatuh ke dalam tali air tersebut.

Sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya, Mohd Azizi, 13, dan adiknya, Mohd Ashraf, 10, serta sepupunya, Arif Fadhlan Sapuan, 11, dikatakan ke tali air berkenaan untuk melihat penduduk menahan pukat.

Ibu mangsa, Masnizan Jaafar, 46, ketika ditemui memberitahu anak kedua daripada lima beradik tersebut tidak pernah ke tempat kejadian kerana dia selalu mengingatkan mengenai bahayanya kawasan tersebut memandangkan musim hujan.

“Sebelum ini saya pernah memarahi Amelia dan adik-adiknya yang lain supaya tidak mendekati tali air berkenaan tetapi hari ini saya tidak mengetahui mereka berempat ke situ.

“Selepas pulang dari kelas tambahan, Amelia hanya pulang untuk menyimpan begnya dan terus keluar bersama abang dan adiknya tanpa memberitahu saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Bagaimanapun, adik mangsa, Mohd Ashraf yang turut lemas dalam kejadian tersebut bersyukur kerana dia diselamatkan oleh penduduk kampung dan kini masih dalam keadaan trauma.

“Kakak licin.” Hanya itulah yang mampu diucapkan Mohd Ashraf yang masih terkejut dengan kehilangan kakaknya kerana dia menyaksikan sendiri detik cemas tersebut.

Sepupu mangsa, Arif Fadhlan yang bersama-sama bermain terkilan kerana dia tidak dapat menyelamatkan arwah ketika Amelia dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tali air dan dibawa arus.

“Saya hanya mampu melihat dan melaung sekuat-kuat hati untuk meminta tolong penduduk supaya menyelamatkan Amelia kerana saya tidak pandai berenang.

“Saya melihat arwah tenggelam dan tidak timbul-timbul sehinggalah mayatnya dijumpai penduduk kampung dengan bantuan anggota bomba,” katanya.

IGPIS mengucapkan takziah kepada keluarga Nur Amelia Ayob. Semoga adik Amelia ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Al-Fatihah..

Sumber: Sinar Harian 2Dis 2008

BERSEMANGAT..

Azimah Abdul Aziz dan rakannya, Nor Azilah Rashid (kiri) menaiki perahu yang dikemudi adiknya, Mohamad Ridzuan dari Kampung Bendang Pak Yong untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang bagi menduduki peperiksaan STPM di Tumpat, Kelantan, semalam.

Keazaman yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran mendorong dua pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Nor Azilah Rashid dan rakannya, Azimah Abdul Aziz meredah banjir dengan menaiki perahu untuk ke pusat peperiksaan bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Walaupun terpaksa mendayung perahu selama hampir sejam meredah banjir yang melanda Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat di Kelantan, ia sama sekali tidak mematahkan semangat kedua-dua mereka.

IGPIS: Sama-samalah kita doakan keselamatan sahabat-sahabat kita yang ditimpa banjir.

Mari Berkenalan Denganku

Monday, December 1, 2008

Pemberitahuan: Peraduan Menulis Cerita Kanak-kanak Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009



PERADUAN MENULIS CERITA KANAK-KANAK
SEMPENA HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

Peraduan ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu;
  • Kategori Guru
  • Kategori Murid Sekolah Rendah (Tahun 4 – 6)
  • Kategori Murid Sekolah Menengah Rendah (Tingkatan 1 – 3)
  • Kategori Murid Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4 – 5)

Syarat-Syarat Peraduan
  1. Peraduan ini terbuka kepada semua murid yang sedang belajar di sekolah bantuan penuh kerajaan di seluruh Malaysia.
  2. Cerita hendaklah ditulis samada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
  3. Tema cerita ‘Terima Kasih Cikgu’.
  4. Tajuk skrip penulisan adalah bebas.
  5. Peserta hanya boleh mengemukakan satu hasil karya dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
  6. Panjang cerita
    - Kategori Guru TIDAK lebih daripada 3,000 patah perkataan.
    - Kategori Sekolah Menengah TIDAK lebih daripada 1,000 patah perkataan.
    - Kategori Sekolah Menengah Rendah TIDAK lebih daripada 500 patah perkataan.
    - Kategori Sekolah Rendah TIDAK lebih daripada 250 patah perkataan.
  7. Jumlah perkataan mestilah dicatatkan dengan tepat pada penghujung hasil karya.
  8. Halaman muka surat mestilah ditaip pada setiap halaman skrip.
  9. Hasil karya hendaklah ditaip atas kertas saiz A4 dalam jarak langkau dua dan menggunakan huruf jenis Arial saiz 12 poin.
  10. Hasil karya hendaklah merupakan hasil penulisan asli bukan ciplak atau terjemahan dan belum pernah disiarkan atau diterbitkan.
  11. Hasil karya tidak boleh mengandungi unsur-unsur negatif yang menyentuh sensitiviti kaum,agama dan politik.
  12. Latar belakang cerita hendaklah berdasarkan masyarakat Malaysia yang berfokuskan kehidupan harmoni dan bersatu dalam kalangan pelbagai kaum. Nilai-nilai murni harus diterapkan.
  13. Penulis hendaklah menghantar hasil karya yang asal.
  14. Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menerbit, mencetak dan mengedar karya-karya yang diterima.
  15. Maklumat penyertaan hendaklah ditulis pada Lampiran BBT III.
  16. Penulisan skrip adalah untuk bahan bacaan murid sekolah rendah dan menengah.
  17. Tarikh tutup peraduan ialah pada 2 Februari 2009.
  18. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan dijemput untuk menerima hadiah dalam Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2009.
  19. Hasil karya hendaklah sampai sebelum atau pada tarikh tersebut ke Jabatan Pelajaran Negeri.
  20. Penyertaan yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan di atas tidak akan dipertimbangkan.
  21. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang surat-menyurat berkaitan dengan peraduan tidak akan dilayan. Bukti penghantaran bukan bukti penerimaan.
  22. Sekiranya ada sebarang pertanyaan sila hubungi Encik Krishanan a/l Ponnusamy di talian 03-88844480 atau Puan Hajah Siti Natrah binti Mukhtaram di talian 03-88844485.
IGPIS: Kepada mana-mana pelatih muslim yang mempunyai adik-adik yang masih bersekolah bolehlah menggalakan mereka untuk sertai pertandingan ini. Semasa anda terlibat dengan PBS atau Praktikum, anda juga bolehlah menggalakkan pelajar-pelajar untuk menyertainya.

Friday, November 28, 2008

Takziah buat Keluarga YB Dato' Razali Ismail



Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia kira-kira 6.30 petang tadi.
Mengikut laporan BERNAMA, beliau meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang.Difahamkan Razali, 59, yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu rebah ketika bermain badminton di institut itu. Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima anak.

Allahyarham Dato' Razali Ismail menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran berkuat kuasa tahun ini. Dilahirkan pada 25 Jun 1949 di Kuala Berang, Terengganu. Sejarah pendidikan allahyarham ialah
M.Ed. - University of Birmingham, UK (1986-1987) dan B.A. (Hons) - Universiti Malaya (1970-1973).

Dari aspek pengalaman perkhidmatan pula, allahyarham ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu (2004-kini), Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (2004-kini), Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia (2003-2004) dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (2001-2002).

IGPIS mewakili seluruh pelatih-pelatih muslim di IPG seluruh Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato' Razali Ismail, semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah...




Friday, November 14, 2008

KEPUTUSAN UPSR 2008



Keputusan UPSR telah diumumkan pada 13 November 2008. Semua pihak tertunggu-tunggu keputusan tersebut. Selain calon-calon yang pastinya berdebar, orang ramai juga tertunggu-tunggu tentang bagaimanakah prestasi keputusan kali ini yang menyaksikan subjek Sains dan Matematik sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

1. Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu.

2. Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Menurut Kementerian Pelajaran, keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus calon yang mencapai keputusan sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.

3. Hasilnya Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid.

4. Daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

5. Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.