Monday, April 12, 2010

Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki

Ibnu al-Katsir menyatakan :
“Seluruh yang saya baca tentang raja, baik pada masa penggal pra Islam dan pada masa Islam hingga sekarang, saya tidak pernah melihat seorang raja yang lebih adil dan baik kepada rakyat bawahannya setelah Khulafa’ Arrasyidin dan Umar bin Abdul Aziz yang punya sejarah baik dari Nuruddin, raja yang adil.”

Pernahkah kita mendengar kisah seorang sultan yang bernama Nuruddin Mahmud al-Zinki? Ada pendapat yang mengatakan bukan 4 orang khalifah dalam Khulafa’ Arrasyidin, tetapi terdapat 6 orang khalifah termasuk Umar bin Abdul Aziz dan juga Nuruddin al-Zinki.

Nuruddin Mahmud Zinki lahir setelah 20 tahun kejatuhan Baitul Maqdis ke tangan Salib pada 17 Syawal 1511 bersamaan Februari 1118 Masihi. Beliau merupakan pengikut Mazhab Hanafi yang mempunyai ilmu yang luas sehinggakan beliau diberi izin untuk meriwayatkan hadis-hadis. Keperibadian Nuruddin memaparkan beliau sebagai seorang pemimpin ummah berwibawa. Dalam majlisnya, tidak dibicarakan hal-hal kecuali hal ilmu, agama dan jihad.

Nuruddin telah berjaya menggulingkan kerajaan Syiah Fatimiyyah di Kaherah. Maksud Kaherah adalah mengatasi ataupun bermaksud sebenarnya adalah ingin mengatasi kerajaan Sunnah di Baghdad. Pada waktu tersebut kerajaan di Baghdad begitu lemah. Nuruddin memulakan karier sebagai seorang askar biasa dan kemudianya pangkat satu per satu sehingga menjadi jeneral daripada berkat usahanya. Setelah itu beliau menggunakan kelebihan tersebut untuk menggulingkan kerajaan di Kaherah. Terdapat pelbagai sumbangan yang dilakukan oleh beliau semasa pemerintahannya antaranya menubuhkan universiti tertua di dunia iaitu university al-Azhar.

Beliau mempraktikkan dalam hidupnya dengan adab yang sentiasa menghormati ulama’ dan menghargai mereka. Apabila beliau didatangi oleh seorang fakih dan soleh, beliau berdiri terlebih dahulu dan mempersilakan orang tersebut duduk. Beliau memperlihatkan penghormatan dan penghargaan kepadanya. Maka, tidak mustahil generasi selepasnya dapat mencontohinya sehinggakan lahirnya seorang pejuang agama Salahuddin al-Ayyubi.

Kemuncak era kepimpinan Nuruddin Mahmud Zinki adalah pada 1173 Masihi bersamaan 569 Hijrah. Nuruddin bersiap sedia untuk melancarkan serangan terakhir ke Baitul Maqdis dan membebaskan tanah tempat israknya Rasulullah SAW dari cengkaman hegemoni Salib. Maka untuk itu, beliau telah menyiapkan satu mimbar baru yang cantik sekali yang diperuntukkan penggunaanya di Masjidil Aqsa kelak setelah umat Islam berjaya menakluki al-Aqsa. Beliau mengutus surat kepada orang bawahannya di Mesir, Salahuddin al-Ayyubi namun kematian terlalu cepat menjemputnya.



Sultan Nuruddin Zinki telah pulang ke rahmatullah pada 15 Mei 1174 bersamaan 11 Syawal 570 H. Usaha murni beliau diteruskan oleh pewaris selepasnya dan terbukti usaha beliau bersama beberapa individu lain berhasil apabila Baitul Maqdis dapat dibebaskan daripada cengkaman Salib yang zalim selepas 13 tahun daripada tarikh kematiannya.

Saturday, April 10, 2010

Indahnya Hidup Bersyariat



Penulis: Dato’ Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid
Penerbit: Telaga Biru
Harga: RM55.00 (Sem Malaysia), RM57.00 (Sabah & Sarawak)

Kitab yang berjudul Indahnya Hidup Bersyariat ini mengandungi panduan lengkap asas fardhu ain untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Fardhu ain asas yang mencakupi aspek bersuci, solat, puasa, zakat, haji, umrah, sembelihan dan korhan diterangkan dengan begitu jelas oleh penulis ini. Kitab ini sepatutnya wajib berada di setiap rumah dan pada setiap individu kerana ianya merupakan panduan penting pada setiap ibadah yang kita lakukan.

Disertakan ilustrasi bergambar menjadikan kitab ini lebih mudah difahami dan seterusnya dapat diamalkan tanpa rasa keliru. Beberapa surau dan masjid juga menggunakan kitab ini sebagai bahan rujukan dalam kuliyah mereka. Rasanya tidak perlu untuk dihurai dengan lebih mendalam kerana susah untuk menghuraikan kitab yang begitu istimewa untuk kita semua ini.

Walaupun harganya mahal sedikit, tetapi ianya berbaloi dengan apa yang dihidangkan kepada pembaca. Jadikanlah buku ini sebagai panduan kita bersama agar beroleh keberkatan dalam melakukan amal ibadah.

Tragedi April di Bumi Palestin

Ruangan ini akan mengembalikan ingatan kita semua peristiwa pembantaian dan keganasan zionis yahudi ke atas penduduk Palestin pada bulan April semenjak tahun 1948 hingga 2004. Bersama kita renungkan apa yang telah terjadi kepada saudara kita di Palestin dan apakah sumbangan kita kepada mereka semua.

9 April 1948
Pembunuhan kejam militant yahudi kumpulan Hajnah dan Argun yang diketuai oleh Manachem Begin ke atas 250 orang Islam di Dir Yassin, 100 daripada mereka adalah wanita. Penduduk yang masih hidup diangkut dengan trak dan diarak di hadapan penduduk yahudi untuk dilontar dengan batu. 19 tahun kemudian (Jun 1977) ketua pengganas ini (Manachem Begin) ditabalkan sebagai PM Israel.

8 April 1970
Pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Bahrul Baqar.

16 April 1988
Seorang menteri Palestin yang dikenali sebagai Abu Jihad dibunuh oleh pasukan perisikan Israel, Mossad di Tunisia.

18 April 1996
Pembunuhan Qana. Tentera Israel menggunakan senjata berat termasuk helicopter menyerang dan memusnahkan sebuah kem PBB di selatan Lubnan yang menjadi tempat perlindungan orang awam Lubnan. 160 orang terbunuh, kebanyakkan wanita, kanak-kanak dan orang tua.

17 April 2004
Belum sampai sebulan menerajui HAMAS, Dr Abdul Aziz Rantisi pula ditembak bersama dua orang rakannya, Akram Nisardan Ahmad al-Ghurrah.



Beberapa ketika sebelum mati syahid, Rantisi ditanya oleh wartawan adakah beliau bimbang dengan ancaman bunuh rejim zionis. Beliau menjawab, “Adakah kita takut mati? Ia adalah kematian yang boleh berlaku disebabkan pembunuhan atau penyakit kanser. Sama sahaja. Semua kita sedang menunggu saat akhir kehidupan. Tidak ada yang boleh berubah. Sama ada di sebabkan bedilan Apache atau disebabkan terhenti denyutan jantung. Saya lebih suka memilih Apache..”

Ternyata Apache telah membedil kereta yang dinaiki bersama dua rakannya.



(Dipetik daripada buku ‘Gaza Menangis’, tulisan Aris Hazlan Ismail & Riduan Mohamad Nor, cetakan pertama Februari 2009)

Friday, April 9, 2010

Gerakan Freemasonry: Musuh Dalam Menghancurkan Islam



Penulis: Hj Nik Azran Muhamed, Hj Mohd Mahadi Hj Isa
Penerbit: Hijjaz Record Publishing
Harga: RM35.90 (Sem Malaysia), RM37.90 (Sabah & Sarawak)

Buku ini dikarang untuk menyelongkar gerakan rahsia yang begitu memusuhi Islam iaitu Freemason. Penulis buku ini berjaya menerangkan dengan begitu mendalam segala perancangan yang telah dilakukan oleh gerakan ini yang lahir daripada kefahaman zionisme. Segala percaturan hidup di dunia ini yang meliputi dari segi pentadbiran, ekonomi, penyiaran, dan penerbitan semuanya dikawal oleh gerakan ini.

Buku ini membongkar rahsia matlamat utama gerakan ini ditubuhkan dan bagaimana gerakan ini boleh bertapak dengan kukuh di seluruh dunia. Kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah juga telah dirancang oleh gerakan bawah tanah ini dan melantik ejennya iaitu Mustafa Kamal Ataturk untuk menggantikan Sultan Abdul Hamid ke-2 seterunya menubuhkan kerajaan sekular di Turki.

Gerakan rahsia ini menyusup ke tengah mansayrakat dengan menggunakan nama yang boleh mengelirukan kita. Kita tidak menyangka bahawa gerakan tersebut adalah freemason kerana menggunakan platform sebagai badan berkebajikan. Jadi, buku ini sesuai dijadikan panduan untuk mengenal pasti gerakan ini sebelum ianya menguasai keadaan persekitaran dan pemikiran kita.

Pemahaman mengenai gerakan ini penting pada masa sekarang lebih-lebih lagi dengan tindakan kerajaan melantik gerakan freemason yang berselindung di sebalik nama APCO worldwide. Tindakan ini seolah-olah mengundang pembunuh ke rumah kita. Dasar kebangsaan yang dicanangkan oleh sesetengah pihak juga merupakan pemikiran yang dibawa oleh gerakan ini. Sanggupkah kita membenarkan pihak yang telah membunuh jutaan nyawa yang tidak berdosa di Palestin sebagai penasihat bagi Negara kita?

Oleh itu, jadikan buku ini yang mengandungi pelbagai maklumat sebagai panduan kita bersama untuk mengenali dengan lebih terperinci musuh Islam. Buku ini menarik kerana disertakan ilustrasi atau gambar yang dipaparkan jelas dan kertasnya lebih berkualiti.

Islam Pada Nama Sahaja

Daripada Ali bin Abi Talib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW; “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ianya kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali.”
H.R. al-Baihaqi

Hadis yang ingin dikongsi ini merupakan salah satu daripada hadis yang menceritakan peristiwa yang akan terjadi pada akhir zaman. Menurut nabi, Islam hanyalah terletak pada jasadnya sahaja, tidak tertakluk kepada ruhnya. Tidak kiralah sama ada individu ataupun organisasi yang menggunakan istilah Islam, tetapi hakikatnya hanyalah nama sahaja yang berunsurkan Islam. Segala gerak kerja, perbuatan, dan matlamatnya jelas menyimpang dengan syariat dan apa yang dikehendaki oleh Islam. Sebagai contoh, sebuah gerakan Sister in Islam yang berselindung di sebalik nama Islam dianggotai oleh puak liberal dan mendukung gerakan femenisme. Tindakannya jelas bertentangan dengan syariat Islam iaitu menentang amalan poligami.

Terlalu banyak gerakan yang menggunakan istilah Islam tetapi hakikatnya bertentangan dengan syariat Islam seperti Islam Liberal, Islam Sekular, dan tidak ketinggalan Islam Hadhari. Individu muslim sekarang juga menunjukkan apa yang dikatakan nabi itu benar. Buktinya kita perhatikan bagaimana keadaan orang melayu yang beragama Islam sekarang. Statistik gejala sosial bermula dari mencuri, merogol, zina, membunuh dan sehinggalah jumlah penghuni di pusat serenti semuanya dijuarai oleh orang melayu yang beragama Islam. Di mana maruah dan aqidah Islam pada diri umat Islam sekarang?

Kemudian, nabi juga tidak ketinggalan mengingatkan kepada kita bahawa tidak tinggal lagi daripada al-Quran itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Keadaan ini kita boleh lihat pada ayat al-Quran yang dijadikan perhiasan gambar menghiasi ruang dinding di rumah, sekolah mahupun pejabat. Tetapi peringatan yang terkandung dalam ayat yang dipamerkan itu tidak pun dirasai dan diambil pengiktibaran bahkan ianya hanyalah menjadi pelengkap untuk menghiasi ruang kediaman kita sahaja.



Nabi juga memberitahu kepada kita bahawa masjid-masjid tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah. Pada zaman sekarang cuba perhatikan bagaimanakan rupa dan harga sesebuah masjid yang dibina. Kos pembinaan sebuah masjid kini memakan nilai jutaan ringgit dan reka bentuknya begitu cantik. Tetapi adakah setimpal nilai kos masjid tersebut dengan jumlah jemaah yang mengerjakan solat berjemaah?



Masjid juga dihadkan fungsinya sebagai pusat atau institusi untuk memantapkan agama Islam. Kebanyakkan masjid hanya dijadikan tempat untuk bersolat jemaah dan sunyi daripada program yang boleh meningkatkan kefahaman tentang Islam. Kuliyah agama yang dianjurkan di masjid hanyalah tertumpu kepada persoalan fiqah yang kebiasannya diulang kali sahaja. Persoalan seperti aqidah, tauhid, tafsir, dan jenayah tidak dihuraikan dengan mendalam dalam kuliyah agama dan ini menjadikan pemikiran orang Islam jumud dan sukar mendapat hidayah.

Peringatan yang terakhir diberikan oleh nabi kepada kita ialah ulama adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Kemudian, dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali. Teringat pada tahun 2006 ketika pembunuhan umat Islam di selatan Lubnan dengan menggunakan bom berangkai, terdapat seorang ulama Saudi seperti tidak beraqidah Islam mengatakan bahawa yang dibom itu adalah penganut Syiah. Sepatutnya seorang ulama yang dianggap sebagai penasihat agama perlu mengecam tindakan tersebut kerana membunuh binatang tanpa sebab pun dianggap zalim, apatah lagi membunuh manusia.

Selain itu, Sheikh Ali Abdul Raziq hidup sezaman dengan Mustafa Kamal Ataturk merupakan tokoh sekularisme Turki yang berselindung disebalik nama ulam. Ali Abdul Raziq menolak negara Islam atau institusi khalifah dan dalam bukunya al-Islam wa Usul al-Hukum jelas menyarankan sistem sekularisasi dalam pemerintahan Negara. Tindakan daripada ulama yang digelar sebagai makhluk yang paling jahat menyebabkan maruah Islam tercalar dan aqidah umat Islam sendiri terumbang-ambing. Bagaimana Islam hendak dipandang mulia sekiranya ulama yang bertanggungjawab terhadap Islam sendiri gagal untuk menjaga Islam sebaliknya patuh kepada perintah kerajaan yang sekular.

Bersama kita renungkan hadis nabi ini agar kita tidak alpa dengan keadaan Islam yang kita miliki sekarang.

HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK



Penulis: Razali Saran
Penerbit: mustread SDN BHD
Cetakan Pertama 2010
Harga: RM19.90 (sem Malaysia) RM22.90 (Sabah & Sarawak)

Pada ruangan bicara buku ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengulas sebuah buku yang sesuai dijadikan sebagai panduan khususnya kepada bakal guru seperti kita. Ramai yang beranggapan tugas seorang guru ini hanyalah kelas bawahan sahaja dan tidak perlu dipandang tinggi. Mungkin sesetengah daripada kita hanya memilih profesion perguruan ini sebagai pilihan yang terakhir setelah gagal mendapatkan kerja yang diimpikan.
Buku yang dihasilkan ini dapat menaikkan lagi semangat dan memotivasikan kita dalam meneruskan profesion sebagai seorang pendidik. Tulisannya menerangkan kepada kita tugas sebenar seorang guru yang bukan hanya tertumpu kepada penerimaan ilmu yang berdasarkan kepada sukatan pelajaran sahaja. Tetapi ianya merangkumi peranan guru yang mendidik anak muridnya menjadi insan yang lebih sempurna dan berdisiplin.
Fokus utama buku ini adalah menumpukan kaedah yang diguna pakai oleh nabi dalam menyampaikan ilmu kepada para sahabat. Ianya dibuktikan dan dikuatkan dengan hadith-hadith nabi yang terdapat dalam buku ini. Jadi, sebagai bakal guru kita dapat mengaplikasikan segala teknik yang telah digunakan oleh nabi untuk mendidik anak murid kita.
Semoga buku ini dapat menjadi panduan kepada semua guru dan semoga dengan usaha sedikit ini akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Monday, April 5, 2010

IKHTILAT MUSLIMIN DAN MUSLIMAT



IKHTILAT: PERGAULAN ANTARA

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

DALAM PERGERAKAN ISLAM

MUQADDIMAH

Ikhtilat dalam pergerakan Islam adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian oleh setiap orang yang terlibat secara langsung dalam pergerakan Islam sama ada dia seorang ahli usrah, naqib atau pun masul. Syariat Islam tidak memandang siapa yang memegang jawatan dalam jemaah dalam melaksanakan syariat tersebut.


Perkataan ikhtilat itu pada adatnya bermaksud pergaulan. Di dalam konteks Islam, ikhtilat boleh diertikan sebagai suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan wanita ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang kepada maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari termasuklah mereka yang berkecimpung dalam pergerakan Islam sendiri. Tambahan pula, kemajuan era teknologi sekarang ini, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan wanita yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada seperti Yahoo Messenger, SMS, e-mail, Friendster dan Facebook. Jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah begitu juga dengan kos perhubungan. Budaya ini terus menjadi darah daging masyarakat kita terutama pemuda pemudi Islam.



Kita juga didedahkan bahawa rukun yang perlu diketahui dalam pergerakan Islam adalah rukun taaruf. Akan tetapi, apa yang membimbangkan kita adalah perhubungan yang dimulakan atas dasar taaruf tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian ilmu dan kepakaran. Maka tenggelamlah konsep 'kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi'. Ada juga, kononnya beralasan hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Apa yang lebih menakutkan adalah perhubungan tersebut menjadi barah ‘cinta’ walaupun pada zahirnya seakan-akan kita melihat mereka saling mengambil berat (salah guna atas nama usrah). Perkara ini, seolah-olah mencari keredhaan Allah, sedangkan mereka sudah terjerus dalam kemurkaan Allah. Kerana itulah kita perlu memahami konsep sebenar dalam bekerja kerana Allah dan batas pergaulan dalam bekerja.




CARA MENJAGA IKHTILAT

1. Elakkan berhubungan dengan lelaki sekiranya tidak ada keperluan.

Sekiranya seorang wanita mempunyai keperluan, hendaklah dia meminta bantuan dari wanita dan lelaki bagi lelaki. Mintalah pertolongan dari kaum sejenis. Melainkan perkara yang tidak diketahui atau luar kudrat kita contohnya apabila wanita meminta bantuan lelaki dalam soal membaiki laptop, kereta dan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh wanita.

2. Berhubung dengan bukan muhrim menggunakan perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya.

Ringkas dan padatkan ayat-ayat atau persoalan yang dikemukan kepada pihak lain. Di dalam nota yang diberikan hendaklah bersih dari ikon senyum yang sememangnya comel. Atau meletakkan ayat-ayat berbentuk humor seperti gelak ketawa (huhu, haha, hihi, hikhik). Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah. Sekiranya terdesak untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama wanita selari dengan tuntutan Al-Quran:

"Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik."

3. Menundukkan hati.

Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan muhrim, kita perlu risaukan kemurkaan Allah Taala. Perbanyakkanlah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta daripada-Nya supaya dipelihara diri dari panahan syaitan.

4. Menundukan pandangan mata.

Jangan tertipu dengan mata pelajaran kaedah berkomunikasi yang kita belajar "make eye contact with the person you're talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Berwaspada dengan konsep "dari mata turun ke hati".

5. Mempercepatkan urusan.

Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tidak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan menyegerakan urusan tersebut.

Dipetik dari :

MUHAMMAD HANIS BIN ABDUL MUTALIB

PISMP PENGAJIAN AGAMA

23 FEBRUARI 2010