Friday, April 9, 2010

Islam Pada Nama Sahaja

Daripada Ali bin Abi Talib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW; “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ianya kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali.”
H.R. al-Baihaqi

Hadis yang ingin dikongsi ini merupakan salah satu daripada hadis yang menceritakan peristiwa yang akan terjadi pada akhir zaman. Menurut nabi, Islam hanyalah terletak pada jasadnya sahaja, tidak tertakluk kepada ruhnya. Tidak kiralah sama ada individu ataupun organisasi yang menggunakan istilah Islam, tetapi hakikatnya hanyalah nama sahaja yang berunsurkan Islam. Segala gerak kerja, perbuatan, dan matlamatnya jelas menyimpang dengan syariat dan apa yang dikehendaki oleh Islam. Sebagai contoh, sebuah gerakan Sister in Islam yang berselindung di sebalik nama Islam dianggotai oleh puak liberal dan mendukung gerakan femenisme. Tindakannya jelas bertentangan dengan syariat Islam iaitu menentang amalan poligami.

Terlalu banyak gerakan yang menggunakan istilah Islam tetapi hakikatnya bertentangan dengan syariat Islam seperti Islam Liberal, Islam Sekular, dan tidak ketinggalan Islam Hadhari. Individu muslim sekarang juga menunjukkan apa yang dikatakan nabi itu benar. Buktinya kita perhatikan bagaimana keadaan orang melayu yang beragama Islam sekarang. Statistik gejala sosial bermula dari mencuri, merogol, zina, membunuh dan sehinggalah jumlah penghuni di pusat serenti semuanya dijuarai oleh orang melayu yang beragama Islam. Di mana maruah dan aqidah Islam pada diri umat Islam sekarang?

Kemudian, nabi juga tidak ketinggalan mengingatkan kepada kita bahawa tidak tinggal lagi daripada al-Quran itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Keadaan ini kita boleh lihat pada ayat al-Quran yang dijadikan perhiasan gambar menghiasi ruang dinding di rumah, sekolah mahupun pejabat. Tetapi peringatan yang terkandung dalam ayat yang dipamerkan itu tidak pun dirasai dan diambil pengiktibaran bahkan ianya hanyalah menjadi pelengkap untuk menghiasi ruang kediaman kita sahaja.



Nabi juga memberitahu kepada kita bahawa masjid-masjid tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah. Pada zaman sekarang cuba perhatikan bagaimanakan rupa dan harga sesebuah masjid yang dibina. Kos pembinaan sebuah masjid kini memakan nilai jutaan ringgit dan reka bentuknya begitu cantik. Tetapi adakah setimpal nilai kos masjid tersebut dengan jumlah jemaah yang mengerjakan solat berjemaah?



Masjid juga dihadkan fungsinya sebagai pusat atau institusi untuk memantapkan agama Islam. Kebanyakkan masjid hanya dijadikan tempat untuk bersolat jemaah dan sunyi daripada program yang boleh meningkatkan kefahaman tentang Islam. Kuliyah agama yang dianjurkan di masjid hanyalah tertumpu kepada persoalan fiqah yang kebiasannya diulang kali sahaja. Persoalan seperti aqidah, tauhid, tafsir, dan jenayah tidak dihuraikan dengan mendalam dalam kuliyah agama dan ini menjadikan pemikiran orang Islam jumud dan sukar mendapat hidayah.

Peringatan yang terakhir diberikan oleh nabi kepada kita ialah ulama adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Kemudian, dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali. Teringat pada tahun 2006 ketika pembunuhan umat Islam di selatan Lubnan dengan menggunakan bom berangkai, terdapat seorang ulama Saudi seperti tidak beraqidah Islam mengatakan bahawa yang dibom itu adalah penganut Syiah. Sepatutnya seorang ulama yang dianggap sebagai penasihat agama perlu mengecam tindakan tersebut kerana membunuh binatang tanpa sebab pun dianggap zalim, apatah lagi membunuh manusia.

Selain itu, Sheikh Ali Abdul Raziq hidup sezaman dengan Mustafa Kamal Ataturk merupakan tokoh sekularisme Turki yang berselindung disebalik nama ulam. Ali Abdul Raziq menolak negara Islam atau institusi khalifah dan dalam bukunya al-Islam wa Usul al-Hukum jelas menyarankan sistem sekularisasi dalam pemerintahan Negara. Tindakan daripada ulama yang digelar sebagai makhluk yang paling jahat menyebabkan maruah Islam tercalar dan aqidah umat Islam sendiri terumbang-ambing. Bagaimana Islam hendak dipandang mulia sekiranya ulama yang bertanggungjawab terhadap Islam sendiri gagal untuk menjaga Islam sebaliknya patuh kepada perintah kerajaan yang sekular.

Bersama kita renungkan hadis nabi ini agar kita tidak alpa dengan keadaan Islam yang kita miliki sekarang.

2 comments:

  1. Salam, menarik perkongsian kmoo,InsyaALlah kheir setiap urusan mu

    ReplyDelete
  2. Salam , saya ingin memohon kebenaran untuk meminjam isi saudara/saudari ya. perkongsian yang sangat memberi inspirasi :))

    ReplyDelete