Thursday, December 31, 2009

Peranan Pendidik

Sebagai seorang pendidik, banyak cabaran yang perlu dihadapi untuk membentuk generasi masa hadapan yang benar-benar hebat. Bukan sahaja dari segi fizikal, mental, spiritual, intelektual, malahan sahsiyahnya juga mestilah hebat. Kelima-lima faktor tersebut hendaklah berjalan selari untuk merealisasikan pembentukan generasi hebat.

Masalahnya bagaimana kita yang bergelar pelapis negara ini hendak mencapai faktor tersebut. Jika kita menjenguk suasana di IPTA mahupun IPTS, terdapat juga segelintir pelajar yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang pendidikan, perundangan, perubatan seakan-akan tidak dapat menerapkan nilai ilmu yang dipelajari dalam akhlak diri sendiri.

Dalam konteks institut perguruan yang bakal melahirkan pendidik yang akan mendidik generasi hadapan juga tidak terlepas daripada penyakit ini. Memanglah naluri seorang remaja ingin melakukan sesuatu yang baru, sesuatu yang tak pernah dilakukan. Tetapi sedarlah ke mana arah tuju hidup kita selepas tamat belajar di institut perguruan. Kita bukan akan bekerja di kaunter bank menghadap pelanggan sehari-harian, kita juga bukan peniaga direct selling yang mempunyai mulut manis yang berkebolehan mempengaruhi pelanggan membeli produk barangannya. Kerjaya seperti itu tidak memerlukan kemahiran berinteraksi dengan orang untuk mendidiknya seperti apa yang dilakukan oleh seorang guru. Guru bukan setakat memberikan ilmu pengetahuan kepada anak muridnya, bahkan guru juga perlu menerapkan nilai murni atau akhlak islamiah dalam diri anak murid.

Oleh itu, kita sebagai pelajar institut perguruan perlulah muhasabah diri kita. Kini, apa yang kita dapat lihat dalam suasana institut perguruan sangat menyedihkan. Kes kecurian semakin membarah, pelajar perempuan yang berpakaian dengan tidak sempurna, pelajar lelaki yang tidak menonjolkan kelakuan yang sopan, malas untuk datang ke masjid, dan juga tidak malu keluar berdating. Perbuatan seperti ini sepatutnya tidak berlaku kepada bakal guru. Tetapi inilah yang dikatakan tadi naluri remaja. Semua kita sanggup nak cuba walaupun benda tu ditegah agama. Kita berbangga keluar dengan pasangan kita yang bukan mahram sambil berpegang tangan, berpeluk-peluk di tempat awam. Yang perempuan dengan selamba berpakaian yang menjolok mata seakan-akan tidak mempunyai sikap malu.




Ramai yang memberikan reaksi dan alasan yang menjengkelkan setelah ditegur. “Rileks la bro, aku bukan course agama nak pergi masjid..lagipun ada gak budak agama tak pegi masjid.” “Panas la kak nak pakai tudung labuh nie..dengan stoking tangannya nih..rimaslah..saya lagi selesa dengan pakai t-shirt yang sempit ni. Lagipun saya bukan course agama, tak perlu la nak pakai sume tu..”



Ramai yang memberikan alasan tidak perlu untuk melakukan sesuatu yang baik kerana bukan pelajar course agama. Inilah masalah yang kurang jelas di kalangan pelajar masa kini. Bukan persoalan jurusan yang kita ambil sebenarnya, tapi siapa diri kita. Walaupun kita bukan budak agama, kita adalah makhluk yang diciptakan Allah SWT. Jadi, kita tak terlepas daripada peraturan atau had yang ditetapkan Allah. Segala suruhan perlulah kita lakukan dan segala larangan hendaklah kita tinggalkan. Inilah formula untuk menjadi seorang murabbi yang sejati. Oleh itu, tiada alasan untuk mengelak daripada mematuhi perintahnya melainkan kita mempunyai bumi yang kita ciptakan sendiri. Selagi kita berpijak di atas bumi yang diciptakan Allah ini, janganlah sesekali berlaku sombong dan ingkar terhadap perintahNya.

Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang yang memahami agama, halal haram dalam Islam supaya menasihati sahabat kita agar meninggalkan perbuatan yang ditegah agama. Ianya bukan hanya terletak di bahu budak agama, tetapi sesiapa sahaja asalkan dia bergelar muslim. Budak matematik, pj, sains semuanya tidak terlepas daripada tugas berdakwah. Ingatlah siapa al-Khawarizmi, al-Farabi, Ibn Sina. Mereka semua adalah pakar dan juga pencetus dalam bidang matematik, perubatan, geologi, astronomi. Tetapi mereka juga adalah pemikir Islam. Mengapa kita tidak mengambil iktibar daripada peranan mereka semua?

Bagi pelajar yang bergelar budak agama pula perlulah menunjukkan teladan yang lebih baik berbanding pelajar lain. Ini kerana tentu ada pelajar yang akan mempertikaikan kredibiliti anda sebagai budak agama sekiranya tidak menunjukkan akhlak yang baik. Apa guna ilmu yang kita miliki seandainya kita tidak manfaatkan dan amalkan sebaik mungkin. Mungkin ada di kalangan kita tidak pandai untuk berdakwah ataupun malu untuk memberi nasihat. Tapi itu bukan alasan. Dakwah bukan hanya dapat disampaikan melalui lisan tetapi juga boleh ditunjukkan melalui perbuatan atau akhlak yang baik.

Adakah dengan perangai buruk yang kita miliki seperti yang dinyatakan tadi membolehkan kita mendidik anak bangsa kita dengan lebih berakhlak? Adakah persediaan yang kita miliki sekarang berupaya membantu kita menghadapi karenah dan gejala sosial yang semakin merunsingkan di kalangan murid sekolah? Baru-baru ini berita di akhbar perdana melaporkan seorang pelajar perempuan yang baru berusia belasan tahun merelakan dirinya dirakam ketika melakukan perbuatan yang dilaknat bersama beberapa orang lelaki. Ini yang dilaporkan, bagaimana dengan yang tidak dilaporkan? Banyak lagi masalah keruntuhan akhlak remaja yang berlaku di Malaysia seperti mana yang dinyatakan dalam akhbar. Saya cabar kepada sesiapa yang membaca artikel ini supaya menyatakan sekolah menengah mana yang tidak mempunyai kes zina di kalangan pelajar mereka.

Kejadian sedemikian sangat menyedihkan. Bagaimana ini semua boleh berlaku? Di mana silapnya? Tidak kira sekolah di Bandar ataupun di luar Bandar, semuanya menghadapi masalah yang sama. Gejala seperti rempit, lepak, buli, ponteng, zina, semuanya terjadi pada pelajar yang meningkat remaja. Disebabkan kemajuan teknologi pada hari inilah merupakan pendorong kepada peningkatan masalah ini sekiranya ia tidak dimanfaatkan dengan betul. Kemudahan internet, hiburan yang melampau, clubbing, rumah pelacuran yang mudah diperolehi menyukarkan lagi masalah ini untuk dikawal.

Hiburan melampau yang dihidangkan di kaca televisyen dan juga gambar yang tidak senonoh yang terdapat dalam majalah seperti mangga atau URTV jelas meruntuhkan akhlak remaja. Melalui internet pelbagai bahan boleh dilihat sama ada baik ataupun buruk. Kemudahan seperti ini begitu mudah diperolehi disebabkan dunia tanpa sempadan. Di setiap rumah kini terdapat televisyen, astro, computer dan internet. Jadi, ia langsung tidak mempunyai sebarang sekatan daripada terus diakses oleh golongan remaja.



Yang menjadi sekatan daripada terus tenggelam dalam dunia yang melalaikan hanyalah sekuat mana keimanan yang kita miliki. Kita akan dapat menilai sesuatu yang baik ataupun buruk sekiranya iman yang kita miliki mempercayai bahawa segala kelakuan yang kita lakukan di dunia ini akan dibalas di akhirat kelak. Kelakuan baik akan dianugerahkan nikmat manakala kelakuan buruk akan diazab dengan dahsyat.

amai yang memberikan alasan umur masih lagi muda dan inilah masa untuk lakukan apa pun walaupun ianya adalah maksiat. Bayangkan ketika kita melakukan maksiat Izrael merentap nyawa kita. Adakah ada kesempatan untuk melakukan taubat? Walaupun umur kita masih lagi muda tetapi ingatlah bahawa kematian tidak mengira umur. Segala anggota tubuh badan yang kita miliki dan juga bumi yang kita pijak ini akan menjadi saksi di hadapan Allah di Akhirat kelak. Kita tidak berpeluang untuk menipu Allah mahupun merasuahNya. Oleh itu persiapkanlah diri kita dengan amalan yang membolehkan kehidupan kita di alam akhirat kelak mendapat rahmat Allah SWT. Elakkan daripada melakukan sebarang kemudharatan atau maksiat yang akhirnya mendatangkan bencana dan azab kepada diri kita sendiri.



Lujnah Penerangan Ikatan Pewaris Guru Malaysia (IPGM)

No comments:

Post a Comment