Pengertian ad-din dan al-Islam adalah berbeza. Menurut Dr. Darraz, ad-din adalah hukum Tuhan yang dapat menunjukkan jalan kepada keyakinan yang benar, cara bersikap dan berhubungan dengan pihak lain yang baik. Menurut Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy, ad-din bukan hanya bererti agama yang benar, tetapi bermakna umum sebagai agama yang dipeluk dan diyakini oleh umat manusia, benar ataupun salah, hak ataupun batil.
Tetapi kata ad-din jika ditambah dengan kata al-Islam atau kata ‘Allah’ sehingga menjadi Dinullah atau dinul Islam yang merupakan ajaran yang datang daripada Allah atau Islam.
Maksud al-Islam pada pandangan Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy pula ialah berkaitan dengan agama dan dunia, akidah dan syariah, ibadah dan muamalah, dakwah dan Negara, serta akhlak dan kekuatan.
Pengertian as-siyasah (politik) yang berasal daripada bahasa arab adalah bermaksud mengatur atau memimpin. Jika kita melihat Ensiklopedia al-Ulum al-Ijtima’iyah, politik adalah segala aktiviti manusia yang berkaitan dengan penyelesaian pelbagai konflik dan menciptakan keamanan bagi masyarakat. Bagi mencapat tujuan itu, politik tidak dapat dipisahkan dengan kekuatan ataupun usaha lain yang bersifat keras. Dalam kitab al-Bahr disebutkan, “Para ulama mengertikan kata as-siyasah sabagai tindakan pemerintah yang bertujuan demi maslahat tertentu, walaupun tindakan tersebut tidak disinggung secara khusus oleh dalil-dalil syariat.”
Menurut al-Hamawi dalam Hasyiyah Miskin dikatakan, “Politik adalah memberi hukuman lebih berat daripada hukuman yang ditentukan oleh syariat. Politik terbahagi kepada dua: politik zalim yang kemudiannya diharamkan oleh syariat dan politik adil yang berfungsi membela kebenaran daripada perbuatan orang zalim, membasmi kezaliman, mencegah tindakan penjahat, serta mengarahkan kepada hal yang sesuai dengan tujuan-tujuan syariat Islam. Syariat mesti tetap dijadikan pegangan agar kebenaran dapat ditegakkan.
Sebahagian ulama mengertikan politik sebagai memberi hukuman yang lebih besar kerana ada kemungkinan munculnya bahaya besar terhadap kejahatan yang hukumannya sudah ditentukan oleh syariat. Ringkasnya, Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy menyimpulkan bahawa politik bukan sekadar hukuman ta’zir kerana politik berkenaan dengan banyak hal seperti adat kebiasaan, muamalat, pentadbiran, ekonomi, keselamatan, peperangan, hubungan masyarakat, perundangan, kenegaraan, dan lain-lain.
Natijahnya, syariat Allah bertujuan untuk menciptakan keadilan di antara hamba-hamba-Nya, cara apapun yang dapat menciptakan keadilan maka cara tersebut adalah sebahagian daripada agama, dan tidak dianggap bertentangan dengan agama.
Dipetik dan diubahsuai daripada buku Agama dan Politik tulisan Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy untuk rujukan bersama.
No comments:
Post a Comment