Thursday, December 31, 2009

Peranan Pendidik

Sebagai seorang pendidik, banyak cabaran yang perlu dihadapi untuk membentuk generasi masa hadapan yang benar-benar hebat. Bukan sahaja dari segi fizikal, mental, spiritual, intelektual, malahan sahsiyahnya juga mestilah hebat. Kelima-lima faktor tersebut hendaklah berjalan selari untuk merealisasikan pembentukan generasi hebat.

Masalahnya bagaimana kita yang bergelar pelapis negara ini hendak mencapai faktor tersebut. Jika kita menjenguk suasana di IPTA mahupun IPTS, terdapat juga segelintir pelajar yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang pendidikan, perundangan, perubatan seakan-akan tidak dapat menerapkan nilai ilmu yang dipelajari dalam akhlak diri sendiri.

Dalam konteks institut perguruan yang bakal melahirkan pendidik yang akan mendidik generasi hadapan juga tidak terlepas daripada penyakit ini. Memanglah naluri seorang remaja ingin melakukan sesuatu yang baru, sesuatu yang tak pernah dilakukan. Tetapi sedarlah ke mana arah tuju hidup kita selepas tamat belajar di institut perguruan. Kita bukan akan bekerja di kaunter bank menghadap pelanggan sehari-harian, kita juga bukan peniaga direct selling yang mempunyai mulut manis yang berkebolehan mempengaruhi pelanggan membeli produk barangannya. Kerjaya seperti itu tidak memerlukan kemahiran berinteraksi dengan orang untuk mendidiknya seperti apa yang dilakukan oleh seorang guru. Guru bukan setakat memberikan ilmu pengetahuan kepada anak muridnya, bahkan guru juga perlu menerapkan nilai murni atau akhlak islamiah dalam diri anak murid.

Oleh itu, kita sebagai pelajar institut perguruan perlulah muhasabah diri kita. Kini, apa yang kita dapat lihat dalam suasana institut perguruan sangat menyedihkan. Kes kecurian semakin membarah, pelajar perempuan yang berpakaian dengan tidak sempurna, pelajar lelaki yang tidak menonjolkan kelakuan yang sopan, malas untuk datang ke masjid, dan juga tidak malu keluar berdating. Perbuatan seperti ini sepatutnya tidak berlaku kepada bakal guru. Tetapi inilah yang dikatakan tadi naluri remaja. Semua kita sanggup nak cuba walaupun benda tu ditegah agama. Kita berbangga keluar dengan pasangan kita yang bukan mahram sambil berpegang tangan, berpeluk-peluk di tempat awam. Yang perempuan dengan selamba berpakaian yang menjolok mata seakan-akan tidak mempunyai sikap malu.




Ramai yang memberikan reaksi dan alasan yang menjengkelkan setelah ditegur. “Rileks la bro, aku bukan course agama nak pergi masjid..lagipun ada gak budak agama tak pegi masjid.” “Panas la kak nak pakai tudung labuh nie..dengan stoking tangannya nih..rimaslah..saya lagi selesa dengan pakai t-shirt yang sempit ni. Lagipun saya bukan course agama, tak perlu la nak pakai sume tu..”



Ramai yang memberikan alasan tidak perlu untuk melakukan sesuatu yang baik kerana bukan pelajar course agama. Inilah masalah yang kurang jelas di kalangan pelajar masa kini. Bukan persoalan jurusan yang kita ambil sebenarnya, tapi siapa diri kita. Walaupun kita bukan budak agama, kita adalah makhluk yang diciptakan Allah SWT. Jadi, kita tak terlepas daripada peraturan atau had yang ditetapkan Allah. Segala suruhan perlulah kita lakukan dan segala larangan hendaklah kita tinggalkan. Inilah formula untuk menjadi seorang murabbi yang sejati. Oleh itu, tiada alasan untuk mengelak daripada mematuhi perintahnya melainkan kita mempunyai bumi yang kita ciptakan sendiri. Selagi kita berpijak di atas bumi yang diciptakan Allah ini, janganlah sesekali berlaku sombong dan ingkar terhadap perintahNya.

Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang yang memahami agama, halal haram dalam Islam supaya menasihati sahabat kita agar meninggalkan perbuatan yang ditegah agama. Ianya bukan hanya terletak di bahu budak agama, tetapi sesiapa sahaja asalkan dia bergelar muslim. Budak matematik, pj, sains semuanya tidak terlepas daripada tugas berdakwah. Ingatlah siapa al-Khawarizmi, al-Farabi, Ibn Sina. Mereka semua adalah pakar dan juga pencetus dalam bidang matematik, perubatan, geologi, astronomi. Tetapi mereka juga adalah pemikir Islam. Mengapa kita tidak mengambil iktibar daripada peranan mereka semua?

Bagi pelajar yang bergelar budak agama pula perlulah menunjukkan teladan yang lebih baik berbanding pelajar lain. Ini kerana tentu ada pelajar yang akan mempertikaikan kredibiliti anda sebagai budak agama sekiranya tidak menunjukkan akhlak yang baik. Apa guna ilmu yang kita miliki seandainya kita tidak manfaatkan dan amalkan sebaik mungkin. Mungkin ada di kalangan kita tidak pandai untuk berdakwah ataupun malu untuk memberi nasihat. Tapi itu bukan alasan. Dakwah bukan hanya dapat disampaikan melalui lisan tetapi juga boleh ditunjukkan melalui perbuatan atau akhlak yang baik.

Adakah dengan perangai buruk yang kita miliki seperti yang dinyatakan tadi membolehkan kita mendidik anak bangsa kita dengan lebih berakhlak? Adakah persediaan yang kita miliki sekarang berupaya membantu kita menghadapi karenah dan gejala sosial yang semakin merunsingkan di kalangan murid sekolah? Baru-baru ini berita di akhbar perdana melaporkan seorang pelajar perempuan yang baru berusia belasan tahun merelakan dirinya dirakam ketika melakukan perbuatan yang dilaknat bersama beberapa orang lelaki. Ini yang dilaporkan, bagaimana dengan yang tidak dilaporkan? Banyak lagi masalah keruntuhan akhlak remaja yang berlaku di Malaysia seperti mana yang dinyatakan dalam akhbar. Saya cabar kepada sesiapa yang membaca artikel ini supaya menyatakan sekolah menengah mana yang tidak mempunyai kes zina di kalangan pelajar mereka.

Kejadian sedemikian sangat menyedihkan. Bagaimana ini semua boleh berlaku? Di mana silapnya? Tidak kira sekolah di Bandar ataupun di luar Bandar, semuanya menghadapi masalah yang sama. Gejala seperti rempit, lepak, buli, ponteng, zina, semuanya terjadi pada pelajar yang meningkat remaja. Disebabkan kemajuan teknologi pada hari inilah merupakan pendorong kepada peningkatan masalah ini sekiranya ia tidak dimanfaatkan dengan betul. Kemudahan internet, hiburan yang melampau, clubbing, rumah pelacuran yang mudah diperolehi menyukarkan lagi masalah ini untuk dikawal.

Hiburan melampau yang dihidangkan di kaca televisyen dan juga gambar yang tidak senonoh yang terdapat dalam majalah seperti mangga atau URTV jelas meruntuhkan akhlak remaja. Melalui internet pelbagai bahan boleh dilihat sama ada baik ataupun buruk. Kemudahan seperti ini begitu mudah diperolehi disebabkan dunia tanpa sempadan. Di setiap rumah kini terdapat televisyen, astro, computer dan internet. Jadi, ia langsung tidak mempunyai sebarang sekatan daripada terus diakses oleh golongan remaja.



Yang menjadi sekatan daripada terus tenggelam dalam dunia yang melalaikan hanyalah sekuat mana keimanan yang kita miliki. Kita akan dapat menilai sesuatu yang baik ataupun buruk sekiranya iman yang kita miliki mempercayai bahawa segala kelakuan yang kita lakukan di dunia ini akan dibalas di akhirat kelak. Kelakuan baik akan dianugerahkan nikmat manakala kelakuan buruk akan diazab dengan dahsyat.

amai yang memberikan alasan umur masih lagi muda dan inilah masa untuk lakukan apa pun walaupun ianya adalah maksiat. Bayangkan ketika kita melakukan maksiat Izrael merentap nyawa kita. Adakah ada kesempatan untuk melakukan taubat? Walaupun umur kita masih lagi muda tetapi ingatlah bahawa kematian tidak mengira umur. Segala anggota tubuh badan yang kita miliki dan juga bumi yang kita pijak ini akan menjadi saksi di hadapan Allah di Akhirat kelak. Kita tidak berpeluang untuk menipu Allah mahupun merasuahNya. Oleh itu persiapkanlah diri kita dengan amalan yang membolehkan kehidupan kita di alam akhirat kelak mendapat rahmat Allah SWT. Elakkan daripada melakukan sebarang kemudharatan atau maksiat yang akhirnya mendatangkan bencana dan azab kepada diri kita sendiri.



Lujnah Penerangan Ikatan Pewaris Guru Malaysia (IPGM)

Monday, December 7, 2009

Nur Kasih, Mencari Diri



“Cikgu, jangan buat BBQ hari Jumaat malam. Kami nak tengok Nur Kasih....”, emak mengajuk kata-kata anak muridnya. Pelajar darjah enam.
Tergelak kami mendengarkannya. Namun, hati terdetik, apakah agaknya yang dipelajari oleh anak-anak berusia 12 tahun?
Tidak dinafikan Nur Kasih mempunyai aura tersendiri dalam masyarakat. Saya sendiri jatuh cinta. Cinematography yang mempesona! MasyaAllah.
Tatkala Facebook dihujani kuiz-kuiz untuk melihat apakah watak Nur Kasih yang sesuai dengan diri, apakah kita benar-benar `melihat` mesej untuk dihayati?

Perihal Anak Muda

”Kalau saya jadi Sarah, saya pun akan jadi seperti itu”, komen adik di sebelah.

Saya kurang memahami. ”Seperti yang bagaimana?”.

”Lihatlah cara ibu bapa mereka melayan Sarah dan kakaknya. Jauh berbeza”, komen yang lahir dari hati seorang anak muda.

”Ye tak ye juga”, hati kecil saya mengakui.

Jika saya membuat bancian, pasti ramai yang amat tidak menyukai watak Sarah. Tidak terkecuali watak Adam di awal cerita. Geram, marah, benci! Jauh berbeza dengan watak Aidil dan Nur Amina.

Ironinya, Sarah dan Adam dibesarkan dalam sebuah keluarga berpendidikan agama. Namun, seperti lirik lagu, iman tidak dapat diwarisi.

Terdapat beberapa persamaan antara watak Adam dan Sarah yang berperang dengan jiwa muda. Sifat terburu-buru, tidak sabar. Sifat melawan, tidak mahu mendengar kata. Sekalipun ibu bapa telah berusaha dan berdoa, sikap mereka tidak bertukar.


Paradigma Uda dan Dara


”Adam jahat! Adam anak setan!”, kata-kata Adam sewaktu kecil yang menempah tamparan daripada Mak Jah.

Begitulah paradigma yang terbentuk dalam diri Adam. Dia seorang yang jahat. Lebih-lebih lagi apabila Ustaz dan Mak Jah mendidik Adam dengan kekerasan. Mereka sendiri mengakuinya tatkala berbicara di kamar tidur.

”Mungkin cara didikan kita pada Adam silap. Selalu sangat dipukul. Jadi bebal anak tu”, luah Mak Jah, naluri seorang ibu berbicara.

Sekalipun Adam kelihatan `jahat`, masih terselit ketaatannya pada ibu bapa.

Ketika Ustaz sakit, Adam tetap pulang selepas dipujuk Aidil. Selain itu, niat Adam untuk pulang segera ke Australia dibatalkan apabila Ustaz jatuh sakit sekali lagi. Babak di kampung diakhiri dengan Adam mengikut kehendak bapanya, berkahwin dengan Nur (kisah dia mengabaikan Nur satu perkara lain).

Berbeza dengan watak Sarah. Salah satu paradigma Sarah ialah mabuk bercinta tidak berbalas. Cinta buta. Selepas berusaha sedaya upaya mendapatkan cinta, barulah Sarah tersedar, ”Buruk sangat ke Sarah mak?”, tanya Sarah pada diri sendiri sebenarnya. Pertanyaan ketika di episod akhir.

Kata orang, hendak dijadikan cerita. Kata saya, lihatlah, penulis tidak menjadikan cerita sia-sia!

Menganjak Paradigma

Bayangkan watak Adam dan Sarah, paradigma mereka telah terbentuk hampir 20 tahun. Maka, untuk mengubah paradigma mereka ke arah yang positif, tentunya mengambil masa yang lama. Paradigma tidak berubah sekelip mata. Dengan izin Allah jua.

Paradigma seseorang terbentuk sejak lahir. Banyak faktor yang mempengaruhi lalu membentuk persepsi. Ibu bapa, kawan-kawan, persekitaran dan media antara faktor yang menyumbang.

Menariknya, anjakan paradigma Adam dan Sarah bermula dengan ujian. Ujian terus dari Allah swt. Adam kehilangan anak sulungnya bersama Katrina. Kemudiannya Adam dipenjara. Sarah pula ditimpa kemalangan merempuh cermin.

Hidayah itu datang dengan pelbagai cara. Terpulang kepada individu melihatnya dengan mata hati. Hidayah melalui pencarian. Hidayah melalui ujian!

Pencarian Diri Bermula

Ujian yang menimpa Adam dan Sarah merupakan faktor luaran, sesuai sebagai permulaan untuk menganjak paradigma. Namun, tidak menjamin usaha untuk terus mengubah diri ke arah kebaikan. Jelas mesejnya bahawa untuk berubah, bergantung kepada individu. Adam dan Sarah perlu mencari selepas mereka di uji!

Pencarian diri Adam diceritakan dengan panjang lebar berbanding Sarah yang `insaf` dihujung cerita.

Secara umumnya, pencarian Adam mengenal diri dan Islam perlu dimulakan dengan diri sendiri walau penuh rintangan. Usaha dimulakan sedikit demi sedikit, syaratnya istiqamah.

Adam memulakan pencarian tanpa bantuan abangnya Aidil. Bahkan, Adam menyedari, dia bertanggungjawab untuk mendidik Katrina, dirinya perlu berubah dahulu. Selain rintangan dari dalam diri, Adam perlu berhadapan dengan Katrina yang terkejut dengan perubahannya. Begitulah pencarian Adam bermula. Sunnah orang berjuang. Berjuang menentang diri sendiri. Berjuang menempuh rintangan.

Namun, Adam berusaha sedikit demi sedikit. Asalkan istiqamah. Sekali-sekala Adam terbabas. Katrina menjadi mangsa `kekasarannya`. Namapun terbabas, segalanya pulih bahkan bertambah baik apabila Adam menyedari kelemahannya. Kembali ke atas track sebenar.

Membentuk Diri

Setelah beberapa ketika mencari diri dan dalam masa yang sama cuba mengubahnya, sampailah ke satu tahap, Adam mampu untuk membetulkan kesilapan lamanya. Kesilapannya terhadap Nur Amina. Kesilapan terhadap ibu, ayah serta abangnya.

Tanpa ujian sebagai permulaan, tanpa pencarian diri dan Islam, sukar buat Adam untuk menjatuhkan ego sendiri bagi membentuk diri ke arah yang lebih baik. Malah, membaiki kesilapan lalu. Sukar.

Perubahan diri Adam berperingkat-peringkat. Adam tidak menjadi anak serta suami yang soleh sekelip mata. Bergantung kepada masa. Bergantung kepada izin Allah jua. Namun, Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya. Bahkan Allah lah yang paling dekat tatkala hambaNya memohon padaNya. Cuma, hamba ini yang alpa berusaha. Astaghfirullah!

Walaupun pada awalnya kaki Adam tersangkut untuk melangkah bersama ayah dan abangnya ke syurga, dia kemudiannya berusaha. Lalu Allah redha mengizinkan.

Sarah pula menjatuhkan egonya apabila benar-benar redha untuk melepaskan Aidil. Aidil yang cukup bertakhta di hatinya sehinggakan lupa bahawa pemilik mutlak hati seorang hamba adalah tuannya, Allah swt.

”Kak Nur kahwinlah dengan abang Aidil, Sarah tak kesah”, jelas keikhlasan diwajah Sarah dihujung cerita. Berbeza dengan dirinya yang bermuka-muka pada awalnya. Tanpa dinafikan, yang Maha Mengetahui ikhlas hanyalah Allah swt.



Berapa peratuskah `Sarah` dalam diri kita?

Aplikasi Buat Anak Muda

Mungkin kita tidak dilahirkan dalam keluarga ustaz mahupun imam seperti Adam dan Sarah. Namun, jangan kita lupa. Syarat untuk berubah adalah diri sendiri!

Apabila balighnya anak Adam itu, maka mereka mampu berfikir. Mampu untuk membezakan mana yang baik dan buruk. Mampu untuk mencari diri dan Islam.

Buangkan tabiat menyalahkan ibu bapa, menuding jadi pada persekitaran dan media. Kita punya kuasa dan kawalan terhadap diri masing-masing. Berperanglah dengan diri sendiri untuk berubah. Berjuanglah walaupun sukar kerana kesukaran itulah sunnah.

Apabila wujud kemahuan untuk berubah, jangan mudah menyerah kalah. Membina diri ibarat membina bangunan. Andai tergopoh-gapah dan menggunakan short-cut, alamatnya robohlah. Tidak bertahan lama!

Sama-sama kita bersabar, jiwa muda. Selepas membina, cabaran untuk mempertahankannya pula. Mempertahankan iman dan Islam sehinggalah kita mati kelak.

Setiap Manusia Punya Kebaikan

”Sejahat mana pun seorang manusia, dirinya masih punya kebaikan”, tazkirah ayah pada suatu petang.
”Masih ingat cerita seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang? Apabila bertanya kepada seorang ulama`, bagaimanakah dirinya hendak bertaubat. Ulama` itu menjawab, lelaki itu tiada harapan, hanya layak ke neraka.”

”Maka beranglah lelaki tadi lalu dibunuhnya ulama` itu, mencukupkan 100 orang. Kemudian, lelaki itu berjumpa ulama` yang kedua. Soalan yang sama diajukan. Jawapan berbeza diberikan.”

”Kamu masih punya harapan untuk bertaubat kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang. Taubat nasuha”, begitulah berbezanya jawapan ulama` kedua. Jawapan penuh dengan kasih sayang. Dengan izin Allah jua Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Lihatlah manusia dengan kasih sayang. Kata orang, ”Hate the sin, not the sinner”.

Samada melihat orang disekeliling kita, mahupun kita melihat diri sendiri. Seburuk manapun, setiap diri punya kebaikan di dalam hati. Yakinlah.

Ujian datang dan pergi. Mata hati yang celik membuatkan diri mencari. Akhirnya membentuk diri. Sebelum pulang menuju ilahi.

Syaratnya diri sendiri!

Dipetik daripada laman iLuvislam.com tulisan ZaffanKhalid

Definisi Agama Dan Politik

Pengertian ad-din dan al-Islam adalah berbeza. Menurut Dr. Darraz, ad-din adalah hukum Tuhan yang dapat menunjukkan jalan kepada keyakinan yang benar, cara bersikap dan berhubungan dengan pihak lain yang baik. Menurut Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy, ad-din bukan hanya bererti agama yang benar, tetapi bermakna umum sebagai agama yang dipeluk dan diyakini oleh umat manusia, benar ataupun salah, hak ataupun batil.

Tetapi kata ad-din jika ditambah dengan kata al-Islam atau kata ‘Allah’ sehingga menjadi Dinullah atau dinul Islam yang merupakan ajaran yang datang daripada Allah atau Islam.

Maksud al-Islam pada pandangan Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy pula ialah berkaitan dengan agama dan dunia, akidah dan syariah, ibadah dan muamalah, dakwah dan Negara, serta akhlak dan kekuatan.

Pengertian as-siyasah (politik) yang berasal daripada bahasa arab adalah bermaksud mengatur atau memimpin. Jika kita melihat Ensiklopedia al-Ulum al-Ijtima’iyah, politik adalah segala aktiviti manusia yang berkaitan dengan penyelesaian pelbagai konflik dan menciptakan keamanan bagi masyarakat. Bagi mencapat tujuan itu, politik tidak dapat dipisahkan dengan kekuatan ataupun usaha lain yang bersifat keras. Dalam kitab al-Bahr disebutkan, “Para ulama mengertikan kata as-siyasah sabagai tindakan pemerintah yang bertujuan demi maslahat tertentu, walaupun tindakan tersebut tidak disinggung secara khusus oleh dalil-dalil syariat.”

Menurut al-Hamawi dalam Hasyiyah Miskin dikatakan, “Politik adalah memberi hukuman lebih berat daripada hukuman yang ditentukan oleh syariat. Politik terbahagi kepada dua: politik zalim yang kemudiannya diharamkan oleh syariat dan politik adil yang berfungsi membela kebenaran daripada perbuatan orang zalim, membasmi kezaliman, mencegah tindakan penjahat, serta mengarahkan kepada hal yang sesuai dengan tujuan-tujuan syariat Islam. Syariat mesti tetap dijadikan pegangan agar kebenaran dapat ditegakkan.

Sebahagian ulama mengertikan politik sebagai memberi hukuman yang lebih besar kerana ada kemungkinan munculnya bahaya besar terhadap kejahatan yang hukumannya sudah ditentukan oleh syariat. Ringkasnya, Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy menyimpulkan bahawa politik bukan sekadar hukuman ta’zir kerana politik berkenaan dengan banyak hal seperti adat kebiasaan, muamalat, pentadbiran, ekonomi, keselamatan, peperangan, hubungan masyarakat, perundangan, kenegaraan, dan lain-lain.

Natijahnya, syariat Allah bertujuan untuk menciptakan keadilan di antara hamba-hamba-Nya, cara apapun yang dapat menciptakan keadilan maka cara tersebut adalah sebahagian daripada agama, dan tidak dianggap bertentangan dengan agama.
Dipetik dan diubahsuai daripada buku Agama dan Politik tulisan Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawy untuk rujukan bersama.

Senjata Seorang Mu'min

Isu doa begitu panas diperkatakan sekarang lebih-lebih lagi ianya dimanipulasikan oleh sesetengah pihak. Isu ini hanyalah berpunca daripada keinginan seorang pemimpin tanah air yang juga merupakan seorang ulama ingin mendoakan agar perdana menteri dibukakan fikirannya supaya memberikan hak yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri . Isu tersebut telah membuka mata ramai pihak lantas memberikan pelbagai reaksi. Salah seorang mufti juga telah menegur tindakan tersebut dengan alasan ianya akan merosakkan persaudaraan Islam. Segelintir pihak juga melahirkan rasa ketidak puasan hati dengan mengadakan demonstrasi untuk mendesak pemimpin tersebut memohon maaf dan meletakkan jawatannya.

Persoalannya di sini mengapa ramai pihak begitu takut dengan tindakan pemimpin tersebut? Jelas di sini bahawa doa ataupun dikenali sebagai senjata mukmin adalah suatu senjata yang begitu ampuh sehingga ramai orang begitu takut kepadanya. Hakikatnya mengapa kita perlu melarang orang yang dizalimi supaya berdoa meminta pertolongan daripada Allah SWT tetapi mengiyakan segala tindakan orang yang zalim? Ianya tidak tumpah seperti seorang ah long yang mengugut mangsanya supaya jangan melaporkan tindakan ganasnya kepada pihak polis. Bagi umat Islam yang beriman, kepada siapa lagi yang patut kita mengadu ketika dizalimi melainkan kepada Allah SWT sendiri. Soalnya, tindakan tersebut bukan hendak merosakkan persaudaraan Islam, tetapi berpunca daripada tindakan yang tidak adil walaupun ianya dilakukan oleh orang Islam sendiri. Jadi, di mana salahnya seorang pemimpin dan rakyatnya mengadu kepada Allah SWT mengenai kezaliman yang dialami oleh mereka.

Memetik kata-kata pemimpin tersebut, doa adalah satu permohonan . Jika kita rajin membuka sejarah doa-doa yang diambil oleh para Nabi, kita tentu boleh berjumpa dengan kandungan doa Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad SAW sendiri yang pernah mendoakan bala kepada musuh Islam.

Jika kita membuka himpunan hadis dalam Ridhatus Solihin, kita akan berjumpa dengan maksud doa yang berbunyi begini : “Wahai Tuhan, tolong balas bela, ke atas mereka yang zalim.” Maksud doa yang hamper sama ini juga turut terkandung dalam Qunut Nazilah berbunyi: “Wahai Tuhan, musnahkan golongan kafir dan munafiq.”

Kita kena faham bahawa selain daripada orang-orang kafir yang melawan Nabi SAW, orang munafiq juga ramai. Mari bersama-sama kita menyemak dua ayat ini:

1. “dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu si dalam al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga memasuki perbicaraan yang lain kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang munafiq dan orang kafir di dalam Jahannam. – (Surah an Nisa’:Ayat 10)

2. “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekalian sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” – (Surah an Nisa’: Ayat 145)

Akhirnya, melalui doa keampunan dan rahmat diperoleh, dan melalui doa juga musibah dan kesusahan terhindar.