Tuesday, March 10, 2009

Mahasiswa Islam: Apakah Peranannya?

Pandangan hidup yang islami pada diri seseorang Muslim akan tergambar pada pelbagai tugas (kewajiban) yang harus dilaksanakannya dalam kehidupan seharian. Tugas-tugas itu hakikatnya adalah hukum-hukum syarak yang digali dari nas-nas syarak, yang berkaitan dengan realiti kehidupan yang dihadapinya dalam pelbagai interaksi yang dilakukan.



Memahami hukum syarak yang berkaitan dengan aktiviti seharian, adalah fardhu ain bagi seorang Muslim. Namun mempelajari hukum syarak yang tidak berkaitan dengan aktiviti sehari-hari, adalah fardhu kifayah (An Nabhani, 1953). Seorang petani wajib memahami hukum-hukam syarak tentang tanah, penyewaan tanah pertanian, musaqat dan sebagainya. Seorang doktor pula wajib memahami hukum syarak tentang perubatan, pembedahan mayat, pengguguran janin, pemindahan organ tubuh, pengklonan dan sebagainya. Seorang tentera pula harus memahami hukum tentang jihad, tawanan, perdamaian, perjanjian, harta rampasan perang, dan sebagainya.


Demikian pula seorang mahasiswa, dia seharus-nya memahami hukum syarak yang berkaitan dengan kegiatannya sehari-hari sebagai mahasiswa. Disamping itu, seorang mahasiswa Muslim adalah secara de facto adalah seorang Muslim, maka dia wajib memahami kewajibannya yang utama dalam kedudukannya sebagai Muslim.


Atas dasar itu, ke atas seseorang mahasiswa Muslim, tugas utama yang wajib dipikulnya setidak-tidaknya ada 3 (tiga):Pertama, menuntut ilmu-ilmu yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Tugas ini berkaitan dengan posisinya sebagai mahasiswa yang aktiviti utamanya sehari-hari adalah belajar. Dalam hal ini nabi Muhammad saw telah bersabda:


“Menuntut ilmu adalah fardu bagi setiap muslim.” [HR. Abu Dawud].


Lafaz “al ‘ilm” di atas bersifat umum, iaitu meliputi ilmu-ilmu berasaskan wahyu, seperti ulumul Qur`an, ulumul hadits, usul fiqh, juga ilmu-ilmu yang tidak berasaskan wahyu, seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, dan ilmu-ilmu keprofesional lain yang dipelajari di institusi pendidikan, yang wajib ada demi berputarnya roda kehidupan. Jelaslah sebagai mahasiswa, tugasnya yang utama adalah belajar dalam rangka meraih ilmu sebagai bekalan hidup. Hendaklah tugas ini dilaksanakan semaksimum mungkin sehingga menghasilkan manfaat dunia dan akhirat setinggi-tingginya.


Kedua, mengkaji Tsaqofah Islamiyah (ilmu-ilmu keislaman). Tugas ini berkaitan dengan posisinya sebagai seorang Muslim yang wajib mempunyai pandangan hidup Islam. Tanpa kajian Tsaqofah Islam yang mendalam, sukar membayangkan seorang Muslim mampu mempunyai pandangan hidup yang Islami malah bertambah sukar pula membayangkan dia mampu berfikir dan berperilaku secara Islami.


Tsaqofah Islamiyah adalah pengetahuan Islam yang dasar pembahasannya adalah Aqidah Islamiyah. Contohnya adalah pembahasan Aqidah Islamiyah, ilmu tauhid, tafsir, hadits, bahasa Arab, dan sebagainya. Tugas kedua ini tidak kurang pentingnya dengan tugas pertama kerana tugas ini sebenarnya adalah tugas mendasar setiap Muslim, sama ada mahasiswa ataupun bukan. Setiap Muslim wajib mempunyai pengetahuan Islam yang memadai agar dapat menjalani kehidupan sesuai dengan Islam. Jadi, jika tugas pertama tadi tujuannya adalah untuk hidup, maka tugas kedua ini tujuannya agar: saya dapat hidup dengan benar.


Ketiga, memikul dakwah Islamiyah. Tugas ini berkaitan dengan statusnya sebagai seorang Muslim dan sebahagian dari keseluruhan umat Islam seantero dunia. Dia wajib mempunyai sikap mengambil tahu keadaan dan realiti umat dan berjuang untuk mengubah keadaan agar lebih baik. Mahasiswa Muslim tidak seharusnya hanya memikirkan dirinya sendiri sahaja, sebab sikap ego dan mementingkan diri ini jauh terpesong dari nilai-nilai Islam yang menghendaki adanya sensitiviti kepada manusia lain. Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa pada pagi hari tidak memperhatikan urusan kaum muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka.” [HR. Al Hakim].

Di samping itu, Islam menuntut setiap Muslim untuk melakukan taghyir (perubahan) apabila dia melihat suatu penyimpangan atau kemungkaran. Tidak boleh dia hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh, apalagi pasrah dan menyerah. Rasulullah saw bersabda lagi:

“Barangsiapa di antara kamu melihat ke-mungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (fizikal). Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya (perkataan). Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya (tidak redha) dan itulah selemah-lemah iman.” [HR. Muslim].

Oleh yang demikian, mahasiswa Muslim seharusnya sedar akan tanggung jawabnya melakukan perubahan dan bersama-sama menyeru kepada Islam, sebagaimana telah dicontohkan Rasulullah saw ketika baginda memikul dakwah Islam untuk mengubah masyarakat Jahiliyah menjadi masyarakat Islamiah.Saat ini, tugas melakukan perubahan seperti ini wajib digerakkan, kerana waktu ini kita hidup dalam sebuah masyarakat yang tidak Islami, yakni masyarakat yang tidak berdiri di atas kalimah tauhid. Kita wajib men’taghyir’ secara keseluruhan menuju masyarakat Islam yang menerapkan Islam secara kaffah.

Oleh kerana itu, tidak seharusnya seorang mahasiswa Muslim berdiam diri menyaksikan kekufuran dan kemaksiatan menggila disekelilingnya dan berdiam diri sahaja menyaksikan ideologi kapitalisme yang kafir menguasai dunia. Nabi saw mencela orang yang hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri terhadap kemaksiatan sebagai syaitan yang bisu. Sudahlah syaitan, bisu lagi! Na’uzhu billah min dzalik! Nabi Saw bersabda:

“Orang yang berdiam diri dari kebenaran (tidak mahu mengingatkan atau berusaha membuat perubahan), adalah seperti syaitan yang bisu.” [HR. Al Hakim].


Dikaitkan dengan tugas kedua, maka tugas ketiga ironinya seperti berikut: jika tugas kedua tujuannya adalah: saya dapat hidup dengan benar, maka tugas ketiga ini tujuannya adalah: saya dan saudara-saudara umat Islam saya dapat hidup dengan benar.

Penutup

Mahasiswa Muslim yang mempunyai pandangan hidup Islam adalah generasi harapan umat. Di bahu merekalah (bersama lapisan umat yang lain) terpikul tanggung jawab melakukan perubahan masyarakat menuju masyarakat yang diredhai Allah swt.Bukan saatnya lagi untuk bersikap keanak-anakan dengan ego dan mementingkan diri sa-haja, sementara umat Islam dibiarkan begitu sahaja terkontang-kanting hidup sengsara dan hina dina di bawah hegemoni ideologi kapitalisme yang bathil yang dipimpin oleh US dan sekutu-sekutunya. Tugas ini sememangnya berat, namun kemuliaan menunggu dihadapan. Marilah kita singsingkan lengan baju dan menyahut seruan untuk menyongsong kejayaan Islam!

HALAQAH IPG: APAKAH PERANAN MAHASISWA IPG SEBELUM MENDAPAT IJAZAH?

1 comment:

  1. Assalamualaikum..

    tajuk yang menarik untuk diperbahaskan.

    peranan mahasiswa Islam sebelum mendapat ijazah...

    pada ana:

    1- tuntut ilmu

    ilmu itu haruslah merentasi silibus kos pengajian yang diambil sahaja.

    2- menjadi agen problem solver masyarakat.

    kita harus turun membaiki mendekati masyarakat.

    kerana mahasiswa adalah generasi yang mampu menghubungkan generasi kanak2 dan generasi tua.

    justeru kita harus sentiasa memikirkan maslah umat dan penyelesaiannya.

    bukan sekadar mengkritik umat.

    tambahan pula kita mahasiswa IPG yang mudah mempunyai tempat di kalangan masyarakat.

    harus kita manfaatkan peluang ini sebaiknya.

    3- berfikir dan bergerak.

    mahasiswa IPG tidak harus sekadar berfikir dan terus berfikir tentang sesuatu perkara.

    ia harus diterjemahkan dalam sesuatu yang bersifat realiti.

    tiada guna ilmu yang di perolehi dari bahan bacaan seperti blog, buku dan surat khabar di'peram' tanpa ada hasilnya.

    mahasiswa IPG juga tidak harus tenggelam dengan ketinggian ilmu semata-mata namun langsung tidak berperanan hingga terlupa melihat keadaan masyarakat.

    4- melibatkan diri dalam perkumpulan atau organisasi

    ibarat lidi yang diikat dengan lidi yang sebatang itulah umpama kepada mahasiswa IPG yang sentiasa melibatkan diri dengan perkumpulan atau organisasi.

    idea dan semangatnya sentiasa membara dan update.

    adalah malang jika mahasiswa IPG tidak mengaktifkan diri dengan mana2 organisasi kerana bagi saya ini adalah sindrom 'katak di bawah tempurung' dan 'malas'.

    5- mahasiswa IPG harus keluar dari dilema zon selesa / comfort zone

    pernahkah anda berfikiran begini:

    a- "aku tak perlu nak risau belajar teruk2 sbb nanti dah ada kerja"

    b- " banyaknya cuti,..tak tau nak buat apa"

    c- " kalau fail paper pun pensyarah tolong juga..."

    d- "cuti ni nak pg enjoy ke mana ya..emm.."

    e- " minggu depan nak pg dating kat..."

    jika kita masih berada dalam keadaan ini kita sebenarnya sedang berada dalam sindrom zon selesa.

    Ini adalah bahaya. Ia bakal mencacatkan identiti dan jiwa kita sebagai bakal guru.

    mahasiswa IPG harus berfikiran kritis, berani dan mampu 'bergerak' untuk melakukan islah di tengah masyarakat yang pelbagai keadaannya.

    sudah pastilah ia bermula dari mujahadah dan turning point dalam diri mahasiswa IPG itu sendiri.

    6- mantapkan daya ketajaman fikiran dan kepimpinan.

    jangan sekali-kali ada dalam pemikiran mahasiswa IPG:

    "alah, aku nak jadi cikgu je pun..buat pe sibuk-sibuk peduli hal politik, isu semasa, baca buku-buku berat..."

    ini kerana kita adalah 'arkitek umat ' dan agen perubah masyarakat.

    bagaimana kita membentuk mereka, maka begitu itulah hasil generasi akan datang.

    Kita adalah acuan kepada adik-adik yang sedang belajar di sekolah2 pada masa hadapan.

    kerana meraka adalah:

    students today, LEADERS TOMOROW.


    JUSTERU, kepada semua rakan2 mahasiswa IPG kita bertungkus lumus memanfaatkan masa yang berbaki sementara bergelar seorang mahasiswa.

    Bersama kita gegarkan kegemilangan mahasiswa IPG di zaman kita.

    Setiap orang ada kelebihan masing2. maka manfaatkan.

    Ayuh jadikan zaman mahasiswa kita sebagai zaman kegemilangan dalam hidup kita!



    ehsan halim
    IPGM kampus Ipoh
    http://ehsanhalim.blogspot.com/

    ReplyDelete