Friday, August 26, 2011

#rentetan sujud syukur#

Assalamualaikum . . .

rasanya semua warga IPG sudah siap @ sedang bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman masing2 dek kerana hari raya puasa da mendekat...namun, dikesempatan waktu yang terbatas ini,,kami pihak halaqah IPG ingin berkongsi ceritera...moga sedikit bekal tauladan ini dapat dibawa pulang bersama menikmati keindahan dalam kesayuan hari2 terakhir ramadhan...bacalah kisah ini dengan iman dan taqwa agar kita sama2 menjadi insan yang muharriq...insyaAllah...

::: Berkongsi kisah :::


Dia kini benar-benar tertekan. Mengejar batasan waktu. Pelbagai tugasan tersedia, dalam satu minggu yang sibuk. Presentation bertalu-talu. Assignment berlambak-lambak. Group discussion memerlukan pertemuan yang bukan sedikit. Begitulah rutin seseorang yang bergelar mahasiswa.

Dalam kekalutan mengejar tuntutan dunia itu, dia terlepas pandang akan kewajiban seorang Muslim : Solat 5 waktu. Daripada berjemaah kepada bersendirian, daripada awal waktu kepada akhiran waktu. Lebih mendukacitakan, daripada 5 kepada jumlah yang lebih kecil.. Kadang-kadang 3...

Ketika manusia itu menempuhi kemuncak kesibukan dunia itu, berlakunya satu peristiwa yang benar-benar memeranjatkan. Akibat terburu-buru, tingkap bilik yang selalunya ditutup sebelum keluar ke kelas, dibiarkan ternganga. Ujian Maha Pencipta, diturunkannya hujan lebat...

Usai kuliah hariannya, manusia itu pulang dengan penat lelah yang merungsingkan fikirannya. Bertambah rungsing, melihat laptop yang lencun disiram hujan. Begitu juga dengan semua nota yang bertaburan diatas meja. Basah semuanya...

Manusia itu berang. Marah-marah pada kejadian alamiah itu. Barangkali dia lupa, itu ciptaan-Nya. Sedangkan tempoh hari, seluar yang baru dibasuhnya, kotor jatuh ke longkang. Marahnya bukan main. Hamunnya kasar. Inikan pula jika yang terlibat itu adalah peralatan teknologi kesukaannya. Manusia itu mengeluh panjang. Barangkali memang resamnya, selalu berkeluh-kesah..

Dalam kotak sempit fikirannya, masih difikirkan tentang pembentangan projek untuk esok yang tergendala. Nanti apa cakap rakan-rakan. Apa komen dari pensyarah. Ditengah-tengah kebingungan itu, jam sudah menjengah ke pukul 7 malam. Ya, dia terlepas lagi...

Esoknya, dia berdebar-debar. Seperti yang dijangka, pensyarah itu mengubah suasana hingar kepada sepi tatkala melangkah masuk ke kelas. Dia takut, kalau-kalau hari ini gilirannya. Namun, Tuhan Maha Penyayang menyelamatkannya pada hari itu. Pensyarah itu membatalkan pembentangan hari itu. Lega hatinya. Terlepas kali ini. "Yes! cancel.." katanya..

Entah dari mana datangnya, keinginan untuk membelek semula naskhah tafsir kitab yang dah lama dibiarkannya mengumpul habuk di almari. Dibacanya selepas solat Maghrib. Sebaris demi sebaris. Sehelai demi sehelai. Dalam terkial-kial menyebut kalimah, dia sampai pada Al-Baqarah 153:

"Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar"

Dia berhenti sejenak. Diteruskan lagi membaca...

Pada satu ayat yang lain, dia berhenti lagi., Al-Baqarah 186:

"dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."

Kali ini dia diam. Lantas disudahkan bacaannya setakat itu sahaja.

Baring. Dia berfikir dalam-dalam. Seperti kena pada batang hidungnya sendiri, dia meneliti semula akan kejadian sebelum ini. Banyak yang telah ditinggalkannya. Banyak yang telah dilupakannya. Tumpuannya hanya pada kemahuannya semata. Sedangkan, dia punya peranan lain yang wajib dilaksanakannya. Pelbagai ruang dan peluang dengan rahmat-Nya, telah menyelamatkannya dari beberapa masalah. Dia masih tidak menghargainya.

Ya, dia ingin menjadi baik. Dia pernah menjadi baik dulu. Dia mahu kembali pada ketenangan hidup beragama. Dia pernah mengecapinya dulu. Malam itu, lenanya lewat dari biasa. Dia mula merencana perubahan. Selesai Isyak pada 2 pagi, barulah dia naik ke katil.

Dia bermula dari bawah semula. Menyertai jemaah di masjid, menyambung semula bacaan ayat suci Al-Quran, dan menziarahi teman-teman. Jiwa kosong mulai terisi. Esok, dia menetapkan nazar. Sekiranya dia benar-benar ikhlas, dia mohon akan peluang kedua : agar laptopnya masih dapat di gunakan semula setelah dibiarkan kering. Akan dibayarnya dengan nazar satu hari puasa pada keesokan harinya.

Esoknya, pada tengahari, dia memulakan penentuannya. "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..", butang power ditekan. Allah Maha Kuasa, laptop itu hidup semula, dengan ikon Vista terpapar seperti biasa.. "Syukur Alhamdulillah.."

Sujud syukur dilakukannya buat pertama kalinya. Hatinya penuh harapan. Teringat akan janjinya tempoh hari.

Nazarnya dibayar pada hari yang istimewa baginya. Khamis, 29 Syaaban 1430. Baru belajar puasa sunat Syaaban, dikala orang lain dah berhari-hari melakukannya. Dia menamatkannya dengan baik. Malam itu juga, dia menyertai bacaan Yaasin di masjid. Setelah itu, diusahakannya menyiapkan semua kerja-kerja yang tertangguh. Dia dapat menyelesaikan sebahagian besar daripadanya.

Pada tengah malam, dia bangun mengerjakan tahajjud, yang baru dipelajarinya. Hatinya berbunga kini, menanti tibanya Ramadhan...

"Memang benar, kita takkan dapat menjadi seperti orang lain. Tapi, kita boleh menjadi diri kita sendiri, yang lebih baik.."

"Benar, Hidayah ditangan Allah. Tapi, usaha mendapatkannya adalah atas tangan manusia itu sendiri"

"Semua orang boleh berubah.. Ya, semua orang.."

Wallahualam...





No comments:

Post a Comment