Friday, November 7, 2008

Pendidikan Praktikal


Matlamat pelajaran dan pendidikan ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi ianya dicipta oleh Tuhan.Dan tidaklah manusia itu dicipta oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya . Sekiranya sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan dirinya pada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah barang tentu Nerakalah tempat kembali yang selayaknya, wanauzubillah.

PENDIDIKAN PRAKTIKAL

Pendidikan yang tepat adalah pendidikan yang dilaksanakan untuk mendidik hakikat diri manusia itu sendiri iaitu roh, juga disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina akal, nafsu dan roh manusia. Pendidikan ini sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pendidikan Barat yang hanya menumpukan pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Maka lahirlah manusia yang tidak seimbang antara pembangunan akal, roh dan nafsunya.

Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa agar memulakan didikan dengan menyuruh anak-anak yang berumur tujuh tahun menunaikan sembahyang. Ertinya, didikan secara praktikal sudah bermula sejak usia tujuh tahun. Malah ibu bapa wajib memukul anak-anak jika mereka mencuaikan sembahyang apabila telah mencapai usia sepuluh tahun. Persoalan sembahyang adalah tanggungjawab yang berat yang telah diamanahkan kepada ibu bapa.

Oleh kerana persoalan sembahyang itu amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga tanpa mengecualikan anak kecil kerana ia sangat mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Kalau sembahyang tidak dapat didisiplinkan, kehidupan keluarga akan menjadi kucar-kacir dan berterabur. Sembahyang yang disusun atur dan diprogramkan secara berjemaah merupakan satu cara terbaik untuk mendidik anak-anak kerana ia mendedahkan mereka kepada perkara yang dipandang tinggi, besar dan agung oleh Rasulullah SAW dan oleh Allah SWT. Inilah kaedah yang paling tepat dalam memulakan didikan.

Mari kita lihat bagaimana masyarakat Australia mengajar anak-anak mereka untuk hidup supaya menjadi bangsa yang maju dan dirancang untuk menguasai ekonomi dan dunia. Pelajar-pelajar sekolah dasar dibekalkan kek cawan (cup cake) untuk dijual ketika keluar dari rumah menuju ke sekolah. Manakala pelajar-pelajar sekolah menengah pula diajar supaya berdikari dengan bekerja di pejabat-pejabat setelah tamat waktu pengajian. Malah mereka disokong pula oleh majikan-majikan premis di tempat mereka bekerja secara sambilan (part-time). Mereka telah memulakan proses pembinaan bangsa sejak kecil lagi. Berbeza dengan fenomena yang berlaku di Malaysia, siswazah-siswazah universiti yang mengambil bidang pertanian dan ekonomi contohnya, mereka masih belum tahu apa itu pemasaran (marketing). Bangsa Cina di Malaysia telah menguasai tampuk ekonomi negara. Mereka juga mengajar anak-anak mereka berniaga secara kecil-kecilan sejak kecil lagi.

Sebenarnya, inilah yang perlu diterapkan pada para pelajar melalui kursus praktikal di dalam atau luar negara. Barulah mereka tahu bagaimana bangsa yang maju melatih anak bangsanya. Bermula dan situ, bukan saja pelajar dapat menguasai ilmu melalui pendidikan praktikal malah pendidik dapat mencungkil sifat-sifat positif dan negatif yang tercetus ketika pendidikan praktikal sedang dilaksanakan. Barulah pendidik boleh mengenal dan mendidik nafsu, akal dan roh mereka.

Sebab itu, kita dapat saksikan umat Islam di dunia yang mempunyai 40 buah negara pun tidak kuat ekonomi, ketenteraan dan politiknya. Mengapa perkara sebesar sistem pendidikan bagi umat Islam yang boleh memperkasakan umat Islam tidak dikaji? Sepatutnya OIC bersidang untuk memikirkan dan menyelesaikan masalah ini. Bukan sekadar memikirkan tentang minyak dan perkara yang remeh-temeh sahaja.



perkongsian dari : http://allah-esa.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment