Friday, November 28, 2008

Takziah buat Keluarga YB Dato' Razali Ismail



Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia kira-kira 6.30 petang tadi.
Mengikut laporan BERNAMA, beliau meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang.Difahamkan Razali, 59, yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu rebah ketika bermain badminton di institut itu. Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima anak.

Allahyarham Dato' Razali Ismail menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran berkuat kuasa tahun ini. Dilahirkan pada 25 Jun 1949 di Kuala Berang, Terengganu. Sejarah pendidikan allahyarham ialah
M.Ed. - University of Birmingham, UK (1986-1987) dan B.A. (Hons) - Universiti Malaya (1970-1973).

Dari aspek pengalaman perkhidmatan pula, allahyarham ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu (2004-kini), Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (2004-kini), Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia (2003-2004) dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (2001-2002).

IGPIS mewakili seluruh pelatih-pelatih muslim di IPG seluruh Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato' Razali Ismail, semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah...




Friday, November 14, 2008

KEPUTUSAN UPSR 2008



Keputusan UPSR telah diumumkan pada 13 November 2008. Semua pihak tertunggu-tunggu keputusan tersebut. Selain calon-calon yang pastinya berdebar, orang ramai juga tertunggu-tunggu tentang bagaimanakah prestasi keputusan kali ini yang menyaksikan subjek Sains dan Matematik sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

1. Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu.

2. Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Menurut Kementerian Pelajaran, keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus calon yang mencapai keputusan sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.

3. Hasilnya Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid.

4. Daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

5. Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Video klip ‘Sajak Kematian’ disiasat




PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran akan mengadakan siasatan berhubung
penggunaan klip video ‘Sajak Kematian’ di sekolah-sekolah, seperti yang
dilaporkan oleh media sebelum ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,
beliau sama sekali tidak bersetuju dengan kaedah penggunaan klip video
‘Sajak Kematian’ di sekolah memandangkan ia tidak sesuai dengan tahap
umur pelajar yang masih terlalu muda.

“Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik
mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih
lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak
akan membawa manfaat,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas
mengenai isu itu selepas merasmikan Program Pertukaran Pelajar ASEAN
(ASEP) 2008 di Sekolah Sultan Alam Shah di sini, semalam

Laporan media sebelum ini memaparkan penggunaan klip video
‘Sajak Kematian’ di sekolah, yang antara lain memaparkan babak seksaan
kubur selepas jenazah dikebumikan.

Penggunaan klip video ini menimbulkan bantahan daripada
sebilangan ibu bapa kerana dikhuatiri

akan menjejaskan akidah apabila
klip video itu turut memaparkan gambaran yang berlaku di alam ghaib.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, kadar yuran
pada penggal persekolahan tahun depan dijamin tidak akan menimbulkan
sebarang masalah, sebagaimana yang berlaku pada penggal persekolahan
lalu.

Sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh beliau
sendiri akan meneliti semua perkara berkaitan penggal persekolahan baru
tahun depan termasuk isu yuran, jadual waktu dan perkara berkaitan yang
diumumkan kelak.

“Saya yakin tidak akan timbul masalah dan yuran tambahan, ia
bukan suatu yang wajib sebaliknya ada kaitan dengan Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG).

“Sebelum ini yang timbul adalah berpunca daripada salah
tanggapan dan kita sudah berbincang dan menyelesaikan masalah
tersebut,” katanya.


- BERNAMA

Friday, November 7, 2008

Pendidikan Praktikal


Matlamat pelajaran dan pendidikan ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi ianya dicipta oleh Tuhan.Dan tidaklah manusia itu dicipta oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya . Sekiranya sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan dirinya pada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah barang tentu Nerakalah tempat kembali yang selayaknya, wanauzubillah.

PENDIDIKAN PRAKTIKAL

Pendidikan yang tepat adalah pendidikan yang dilaksanakan untuk mendidik hakikat diri manusia itu sendiri iaitu roh, juga disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina akal, nafsu dan roh manusia. Pendidikan ini sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pendidikan Barat yang hanya menumpukan pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Maka lahirlah manusia yang tidak seimbang antara pembangunan akal, roh dan nafsunya.

Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa agar memulakan didikan dengan menyuruh anak-anak yang berumur tujuh tahun menunaikan sembahyang. Ertinya, didikan secara praktikal sudah bermula sejak usia tujuh tahun. Malah ibu bapa wajib memukul anak-anak jika mereka mencuaikan sembahyang apabila telah mencapai usia sepuluh tahun. Persoalan sembahyang adalah tanggungjawab yang berat yang telah diamanahkan kepada ibu bapa.

Oleh kerana persoalan sembahyang itu amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga tanpa mengecualikan anak kecil kerana ia sangat mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Kalau sembahyang tidak dapat didisiplinkan, kehidupan keluarga akan menjadi kucar-kacir dan berterabur. Sembahyang yang disusun atur dan diprogramkan secara berjemaah merupakan satu cara terbaik untuk mendidik anak-anak kerana ia mendedahkan mereka kepada perkara yang dipandang tinggi, besar dan agung oleh Rasulullah SAW dan oleh Allah SWT. Inilah kaedah yang paling tepat dalam memulakan didikan.

Mari kita lihat bagaimana masyarakat Australia mengajar anak-anak mereka untuk hidup supaya menjadi bangsa yang maju dan dirancang untuk menguasai ekonomi dan dunia. Pelajar-pelajar sekolah dasar dibekalkan kek cawan (cup cake) untuk dijual ketika keluar dari rumah menuju ke sekolah. Manakala pelajar-pelajar sekolah menengah pula diajar supaya berdikari dengan bekerja di pejabat-pejabat setelah tamat waktu pengajian. Malah mereka disokong pula oleh majikan-majikan premis di tempat mereka bekerja secara sambilan (part-time). Mereka telah memulakan proses pembinaan bangsa sejak kecil lagi. Berbeza dengan fenomena yang berlaku di Malaysia, siswazah-siswazah universiti yang mengambil bidang pertanian dan ekonomi contohnya, mereka masih belum tahu apa itu pemasaran (marketing). Bangsa Cina di Malaysia telah menguasai tampuk ekonomi negara. Mereka juga mengajar anak-anak mereka berniaga secara kecil-kecilan sejak kecil lagi.

Sebenarnya, inilah yang perlu diterapkan pada para pelajar melalui kursus praktikal di dalam atau luar negara. Barulah mereka tahu bagaimana bangsa yang maju melatih anak bangsanya. Bermula dan situ, bukan saja pelajar dapat menguasai ilmu melalui pendidikan praktikal malah pendidik dapat mencungkil sifat-sifat positif dan negatif yang tercetus ketika pendidikan praktikal sedang dilaksanakan. Barulah pendidik boleh mengenal dan mendidik nafsu, akal dan roh mereka.

Sebab itu, kita dapat saksikan umat Islam di dunia yang mempunyai 40 buah negara pun tidak kuat ekonomi, ketenteraan dan politiknya. Mengapa perkara sebesar sistem pendidikan bagi umat Islam yang boleh memperkasakan umat Islam tidak dikaji? Sepatutnya OIC bersidang untuk memikirkan dan menyelesaikan masalah ini. Bukan sekadar memikirkan tentang minyak dan perkara yang remeh-temeh sahaja.



perkongsian dari : http://allah-esa.blogspot.com/

Tuesday, November 4, 2008

Surau dan Masjid institut: Nadi pelatih Muslim

Surau di IPRM dilengkapi dengan mesin basuh untuk keperluan pelatih
Masjid IPIS sebagai medan mengeratkan ukhuwah dan menghidupkan sunnah nabi
Balai Islam Saidatina Aishah di IPPM sebagai pusat percambahan ilmu duniawi dan ukhrawi

Lanskap indah di surau IPRM
Ruang riadah yang luas di surau IPIP


Firman Allah :
"Bahawasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat"-(Surah At-Taubah 9:18)
Peranan surau atau masjid memang tidak dapat dinafikan di mana-mana IPG. Ia merupakan tempat beribadah, pusat komuniti, sumber ilmu, taman botani dan segala-galanya. Justeru ia haruslah menjadi yang tempat paling 'best' di sesebuah institut perguruan itu. Ia tidak harus lengang dan tidak terurus. Bahkan ia sepatutnya, meriah dan penuh dengan warna warni setiap masa. Adalah malang jika surau atau masjid di mana-mana IPG tidak dapat mencapai ke tahap ini.Ini adalah kemungkinan kerana peranan surau atau masjid itu tidak di perkembangkan atau dengan kata lain surau atau masjid itu di ' kolot' kan peranannya. Justeru kepada para jawatankuasa, pelatih, pensyrah serta seluruh warga institut berkenaan harus bertanggungjawab terhadap perkara ini. Secara kesimpulannya, setiap pelatih muslim haruslah berganding tenaga dan fikiran dalam memakmurkan rumah Allah di setiap institut. Aktiviti serta pengisian yang lebih segar dan efektif haruslah sentiasa di'brainstroming'kan oleh para pelatih yang diamanahkan sebagai jawatankuasa surau atau masjid tersebut dalam 'menelurkan' lebih banyak idea-idea baru. Mudah-mudahan surau atau masjid di setiap IPG akan terus menjadi nadi kepada pelatih muslim.