Monday, June 27, 2011






'Al Wajibat kathirun Minal awqat'..Kewajipan (tugasan) lebih banyak dari masa. {Hasan Al Banna}

PENGAJARAN DARI KISAH MASJID DHIRAR

Firman Allah;

Maksudnya;
“Dan (diantara orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpah mereka)”. (surah at-taubah : 107)

Ayat ini mengisahkan tentang perancangan jahat yang telah di lakukan seorang Pendeta Nasrani yang bernama Abu ‘Amir Ar-Rahib.

Ketika Islam muncul di Madinah dan menarik banyak penganut ajaran Nasrani kepada Islam, maka Abu Amir Ar-Rahib telah menyusun strategi bagi mematahkan usaha Rasulullah s.a.w dan para Sahabat tersebut dengan mengadakan usaha kerjasama bersama kaum munafiq Madinah dari suku Aus dan Khazraj.

Baginda s.a.w menyedari akan perancangan Abu Amir Ar-Rahib dan orang-orang munafiq itu, lalu Rasulullah s.a.w hendak menjatuhkan hukuman terhadapnya, tetapi dia telah lari dari Madinah ke Mekkah dan kemudiannya ke Taif dan kemudiannya ke Syiria.

Dari Syiria, dia telah mengatur perancangan untuk membinasakan usaha dakwah Rasulullah itu dengan menulis surat kepada golongan munafiq di Madinah, yang menyuruh supaya orang Munafiq membina sebuah masjid berhampiran dengan Masjid Quba dengan tujuan untuk merosakan usaha dakwah Rasulullah s.a.w dan para Sahabat.

Mengikut satu riwayat, Abu Amir Ar-Rahib menyuruh golongan munafiq membina masjid sebelum dia keluar dari Madinah dengan katanya kepada mereka : “binalah masjid kamu dan bersedialah kamu dengan kemampuan kamu dari kekuatan dan senjata, maka sesungguhnya aku akan pergi berjumpa dengan Qaisar Raja Rom, dan aku akan membawa tentera dari Rom dan aku akan mengeluarkan (menghambat) Muhammad dan sahabat-sahabatnya dari Madinah”.

Seperti musuh-musuh islam yang lain, Abu Amir Ar-rahib menyedari bahawa untuk sesuatu Negara yang di dalamnya agama yang benar dan mantap, cara terbaik untuk menghancurkannya adalah dengan menggunakan agama itu sendiri. Dengan mempergunakan Islam, mereka dapat merasuk dan mempengaruhi umat Islam supaya terpedaya dengan tipu daya mereka.

Lalu golongan munafiq telah membina masjid tersebut disebelah rumah seorang munafiq yang bernama Khuzzam bin Khalid

Berkata Ibnu Ishaq : orang-orang munafiq yang membina masjid tersebut adalah dua belas orang, mereka adalah Khuzzam bin Khalid, Tha’labah bin Hatib, Mu’tab bin Qasyir, Abu Habibah bin Asaa’r, Ubbad bin Hanif, Akhu Sahl bin Hanif, Jariyah bin ‘Amir, dua anak Jariyah iaitu Majmak dan Zaid, Nabtal bin al-Harith, Bajad bin Othman (keturunan Bani Dhobi’ah) dan Wadi’ah bin Thabit.

Ketika Rasulullah s.a.w hendak ke Tabuk, beberapa orang munafiq telah datang berjumpa dengan Baginda s.a.w dan berkata:

“Wahai Rasulallah! Sesungguhnya kami telah membina sebuah masjid yang merupakan keperluan kepada kami. Demi Allah, tidaklah kami kehendak untuk membinanya melainkan kebajikan dan kebaikan, sesungguhnya kami suka, jika kamu datang dan menunaikan solat didalamnya dan berdoa keberkatan padanya”.

Tujuan mereka minta Rasulullah s.a.w menunaikan solat dan berdoa dalam masjid itu adalah untuk mereka boleh berhujjah mengatakan bahawa masjid itu telah di akui oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Lalu berkata Rasulullah s.a.w kepada mereka :
“sesungguhnya aku hendak bermusafir. Sekiranya kami pulang nanti, Insya Allah, kami akan datangi kamu dan kami solat di dalamnya (masjid)”

Ketika Rasulullah s.a.w pulang dari Tabuk, turun ayat 107 surah at-taubah di suatu tempat yang bernama Zu Awan (sebuah tempat sejam dari Madinah). Lalu menyuruh Rasulullah s.a.w akan beberapa orang sahabat iaitu Malik bin Ad-Dakhsyim, Maan bin Adi atau saudaranya ‘Asim bin Adi dengan kata Baginda s.a.w;

Maksudnya;
“Berangkatlah kamu kepada masjid ini yang zalim ahlinya dan hancurkannya dan bakar olehmu akannya”

Lalu mereka melakukan suruhan nabi tersebut sehinggakan masjid itu rata.


MORAL DARI KISAH MASJID DHIRAR

Muhammad Ali Bin Muhammad As-Syaukani berkata di dalam kitabnya “fathu al-qadir”;

Sesungguhnya Allah mengkhabarkan, golongan munafiq membina masjid dhirar dengan empat tujuan. Ianya adalah seperti berikut;

(a) Memberi mudharat kepada orang lain.
(b) Menguatkan golongan munafiq.
(c) Memecah belahkan umat Islam.
(d) Menyediakan persiapan untuk melawan Allah dan Rasul-Nya.

Melihat kepada tujuan pembinaan masjid Dhirar ini menjelaskan kepada kita betapa munafiqin berusaha untuk menjatuhkan dan memecah belahkan umat Islam dari bersaudara atas nama Islam dan melemah umat Islam dari seluruh aspek kehidupan.

Tuesday, June 21, 2011

BATU-BATU AJAIB

Dalam sebuah hadis menceritakan, pada zaman dahulu ada seorang lelaki wukuf di Arafah. Dia berhenti di lapangan luas itu. Pada waktu itu orang sedang melakukan ibadat haji. Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang sangat penting. Bahkan wukuf di Arafah itu disebut sebagai haji yang sebenarnya kerana apabila seorang itu berwukuf di padang Arafah dianggap hajinya telah sempurna walaupun yang lainnya tidak sempat dilakukan.

Sabda Rasulullah mengatakan :

"Alhajju Arafat" (Haji itu wukuf di Arafah)

Rupanya lelaki itu tadi masih belum mengenali Islam dengan lebih mendalam. Masih dalam istilah 'muallaf'. Semasa dia berada di situ, dia telah mengambil tujuh biji batu lalu berkata pada batu itu :

"Hai batu-batu, saksikanlah olehmu bahwa aku bersumpah bahwa tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah."

Setelah dia berkata begitu dia pun tertidur di situ. Dia meletakkan ketujuh-tujuh batu itu di bawah kepalanya. Tidak lama kemudian dia bermimpi seolah-olah telah datang kiamat. Dalam mimpi itu jyga dia telah diperiksa segala dosa-dosa dan pahalanya oleh Tuhan. Setelah selesai pemeriksaan itu ternyata dia harus masuk ke dalam neraka. Maka dia pun pergi ke neraka dan hendak memasuki salah satu daripada pintu-pintunya.

Tiba-tiba seketika batu kecil yang dikumpulnya tadi datang dekat pintu neraka tersebut. Tetapi mereka tidak sanggup rupanya. Malaikat azab telah berada di situ. Semua malaikat itu menolaknya masuk ke pintu neraka tersebut. Tapi sanggup rupanya. Kemudian dia pun pergi ke pintu lain. Para malaikat itu tetap berusaha hendak memasukkannya ke dalam neraka tapi tidak berjaya kerana batu mengikut ke mana saja dia pergi.

Akhirnya habislah ketujuh pintu neraka didatanginya. Para malaikat yang bertindak akan menyiksa orang-orang yang masuk neraka berusaha sekuat tenaga untuk menolak lelaki itu dalam neraka tetapi tidak berjaya. Sampai di pintu neraka nombor tujuh, neraka itu tidak mahu menerimanya kerana ada batu yang mengikutinya. Ketujuh-tujuh batu itu seolah-olah membentengi lelaki itu daripada memasuki neraka. Kemudian dia naik ke Arasy di langit yang ketujuh.

Di situlah Allah berfirman yang bermaksud :

"Wahai hambaku, aku telah menyaksikan batu-batu yang engkau kumpulkan di padang Arafah. Aku tidak akan menyia-nyiakan hakmu. Bagaimana aku akan menyia-nyiakan hakmu sedangkan aku telah menyaksikan bunyi 'syahadat' yang engkau ucapkan itu. Sekarang masuklah engkau ke dalam syurga."

Sebaik saja dia menghampiri pintu syurga itu, tiba-tiba pintu syurga itupun terbuka lebar. Rupanya kunci syurga itu adalah kalimat syahadat yang diucapkannya dahulu.

Ditulis oleh Ustaz Azhar Idrus

Dipetik dari http://ustazazhar.com/v1/sirah/batu-batu-yang-aneh.html

Pelajar diajar baiah, demonstrasi-UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN 20 Jun - Pelajar yang terlibat dalam gerakan didakwa menghasut untuk membenci dan menumbangkan kerajaan dengan alasan jihad di sebuah sekolah agama di Tampin telah diminta untuk berbaiah menyimpan rahsia, selain diajar cara mengadakan demonstrasi haram.

Salah seorang pelajar terlibat dikenali sebagai Ahmad, 18, memberitahu, mereka perlu membuat ikrar taat setia kepada kumpulan itu supaya ia tidak dihidu oleh orang lain dan jika mengingkarinya mereka akan ditimpa kecelakaan atau musibah.

Dalam pengakuannya kepada Utusan Malaysia, dia mendakwa program selama tiga hari dua malam itu dihadiri seramai 100 pelajar di sebuah ladang terpencil di Kuala Pilah dekat sini pada bulan lalu.

"Upacara baiah itu dilakukan sebagai tanda sumpah setia kami terhadap kumpulan itu dan kami juga dilarang sama sekali untuk membocorkan rahsia kepada umum atau kami akan menerima musibah jika diingkari.

"Majlis ikrar taat setia itu dijalankan di hadapan beberapa ustaz dan fasilitator yang datang dari beberapa buah universiti tempatan," dakwanya.

Mengulas lanjut, Ahmad menjelaskan, sebaik sahaja selesai upacara baiah itu, semua pelajar diajar untuk terbabit dalam demonstrasi bagi tujuan persediaan dan merasai pengalaman mengadakan perhimpunan haram.

Beliau berkata, dalam aktiviti itu, sebahagian daripada pelajar akan berlakon sebagai polis manakala satu kumpulan lagi bertindak sebagai penunjuk perasaan.

"Ketika mengadakan tunjuk perasaan itu, kami diminta bertakbir beberapa kali sekuat hati sambil berlakon melawan kumpulan yang menjadi anggota polis. Kami juga dibaling dengan kasut dan botol minuman plastik bagi merasai pengalaman berdemonstrasi.

"Sebaik sahaja aktiviti selama sejam itu berakhir, beberapa fasilitator kemudian memberi ceramah dan menceritakan pengalaman mereka menyertai perhimpunan haram," katanya.

Menurutnya, dia mula berasa curiga selepas menghadiri program itu kerana melihat apa yang dilakukan sudah jauh menyimpang dan menyalahi undang-undang negara.

Sementara itu, sumber dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hari ini mengesahkan pernah wujud gerakan militan di sebuah maahad di Kuala Pilah.

"Kita tahu kehadiran beberapa pemimpin ekstremis di maahad berkenaan dan kita pantau perkembangan itu sehingga kini.

"Kita juga menyiasat dakwaan sekolah agama di Tampin yang dipercayai menanamkan kebencian kepada kerajaan dan mengajar demonstrasi kononnya atas jemputan program motivasi," kata sumber itu.