Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) akan menganjurkan Kongres Bertindak Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya pada hari Sabtu, 9 Mei 2009 ini. Program mega GAMIS ini dijangka akan disertai seluruh mahasiswa Islam, pakar-pakar pendidikan Islam, guru-guru sekolah agama dan NGO yang berkenaan. Menurut Pengarah Kongres, saudari Munawirah merangkap Timbalan Setiausaha Agong GAMIS, kongres ini meletakkan 3 objektif asas iaitu sebagai medan menyatukan golongan mahasiswa dan pendidik menilai semula keberkesanan sistem pendidikan Islam yang diamalkan dalam negara, membetulkan pandang alam (world-view) rakyat dan pemerintah mengenai pendidikan Islam yang sebenar, serta forum mendesak policy-makers negara membentuk satu resolusi bertindak ke arah pentajdidan sistem pendidikan Islam di negara.
Sebelum Kedatangan British (sebelum 1824),umumnya pendidikan tidak menekankan soal formal. Penekanan hanyalah kepada pengajaran kitab suci Al-Quran, tingkah laku dan akhlak yang baik, pengetahuan dan juga sifat kerohanian. Terdapat juga sebilangan pelajar yang mempelajari pendidikan agama di sekolah-sekolah pondok yang ditubuhkan oleh para ulama Islam yang terkenal pada zaman tersebut. Sekolah-sekolah jenis ini masih boleh dilihat sekarang di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pada amnya pendidikan tradisi ini mempunyai kurikulum yang terlalu sempit kerana pelajaran adalah terhad kepada teks Al-Quran sahaja. Namun, kelebihan yang boleh diperolehi daripada aspek pengajaran sebegini ialah ia telah berjaya mewujudkan ramai tokoh agama yang bukan sahaja terkenal dalam bidang agama, tetapi juga mempunyai tahap etika yang amat tinggi.
As – Sam’an (1977) menegaskan bahawa sebagaimana tingginya kebergantungan manusia terhadap harta benda dan kekuatan, maka sebegitulah jua perlunya manusia kepada pendidikan. As – Shalaby (1978) pula menyatakan bahawa Al-Quran telah dijadikan suatu mata pelajaran dalam semua bidang pengajian semenjak zaman Rasulullah. Al –Buti pula mengatakan segala ilmu yang tidak didasari oleh Al- Quran akan menyebabkan si penuntut ilmu masih lagi teraba-raba dalam lembah kejahilan dan kebodohan. Pendidikan dalam Bahasa Arab mendokong maksud yang berkait rapat dengan perkataan Tarbiyyah yang memanifestasikan makna tumbuh, bertambah dan berkembang. Tarbiyyah di sini membawa maksud proses mendidik manusia ke arah kehidupan yang lebih sempurna.
Menyoroti serta menganalisa perkara ini, seiringan dengan polemik kebejatan sosial semasa, dapatlah disimpulkan bahawa sistem pendidikan negara sedang mengalami krisis dalam proses perlaksanaan itu sendiri. Bermula dengan kes buli seterusnya kepada budaya gengsterisme, mat rempit, ajaran sesat, pergaulan bebas dan lain-lain adalah cerminan kepada ketempangan sistem pendidikan kini terutama matapelajaran pendidikan Islam itu sendiri, dilihat semakin kehilangan fungsi dalam mendidik.
Bertitik tolak kepada perkara ini, maka Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) merasakan adalah satu keperluan yang amat penting untuk mewujudkan satu gelombang kesedaran di tengah-tengah masyarakat akan isu yang berlaku. Justifikasi, GAMIS mengambil amanah ini dengan memulakan langkah untuk menganjurkan Kongres Bertindak Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara.
Harapan GAMIS, agar kongres ini menjadi titik pemula ke arah kebangkitan kesedaran yang lebih serius di pihak pemerintah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi khususnya serta masyarakat amnya mengenai pengajian Pendidikan Islam yang wajar di angkat martabat, bukan lagi sebagai kelas kedua dalam menjadi enjin pemulihan kebobrokan akhlak generasi muda.