Wednesday, October 21, 2009
Sekolah asrama penuh elok ajar semula Sastera
Berita Harian,Khamis, 23 Oktober 2009
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta mempertimbangkan kemungkinan memperkenalkan semula subjek Sastera di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sekali pun mereka menawarkan aliran Sains seperti pernah dilaksanakan sebelum ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pada peringkat permulaan beberapa SBP boleh dipilih bagi tujuan terbabit kerana pelaksanaannya tidak mustahil kerana mungkin pelajar terbabit mahu memasuki aliran Sastera.
“Kita perlu memberi peluang dan ruang kepada pelajar untuk membuat pilihan aliran yang ingin dimasuki berdasarkan kerjaya pilihan mereka.
“Dengan hanya menawarkan aliran Sains, kita seolah-olah menganggap Sastera tidak penting, sedangkan kita perlu memastikan ia tidak tercicir,” katanya pada sidang media selepas pertandingan akhir Akademi Sastera 2009 dan Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Kritikan Karya Sastera IPTA/IPTS 2008-2009 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan.
Saifuddin berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk yang tidak menawarkan subjek Sastera disaran memberi dorongan kepada mahasiswa dalam penganjuran program kokurikulum berasaskan sastera, sekali gus bertepatan dengan penekanan kemahiran kemanusiaan dan sampingan di kalangan pelajar.
“Nilai insaniah yang diterap dalam mata pelajaran Sastera, selaras dengan langkah kementerian untuk mengembangkan kemahiran insaniah di kalangan mahasiswa yang membantu mereka berfikiran kritis, etika dan komunikasi,” katanya.
Beliau berkata, mahasiswa yang mengambil mata pelajaran Sastera atau berminat dengan bidang itu, perlu menjadikan diri mereka sebagai pejuang sastera kerana ada banyak isu yang perlu diperjuangkan untuk memartabatkan sastera, termasuk isu sastera sebagai mata pelajaran atau aliran dalam sistem pendidikan formal yang sedia ada.
No comments:
Post a Comment